Home / Tsaqafah / Hadits / Hadits: Menjauhi Perkara Yang Tidak Berfaedah

Hadits: Menjauhi Perkara Yang Tidak Berfaedah

Hadits: Menjauhi Perkara Yang Tidak Berfaedah

(Hadits kedua belas daripada Himpunan Hadits Arba’in susunan Imam Nawawi)

 عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ  :“مِنْ حُسْنِ إسْلَامِ الْمَرْءِ تَرْكُهُ مَا لَا يَعْنِيهِ”.

(حديث حسن رواه الترمذي وغيره هكذا)

Daripada Abu Hurairah Radhiallahu‘anhu katanya: Telah bersabda Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam: “Di antara keelokan Islam seseorang ialah dia meninggalkan sesuatu yang tidak berkaitan dengannya.”

(Hadits hasan diriwayatkan oleh Tirmidzi dan yang lainnya)

Maksud kalimah

مِنْ حُسْنِ إسْلَامِ الْمَرْءِ : Di antara keelokan Islam seseorang. Maksudnya: di antara keelokan dan kelengkapan Islam seseorang dan tanda-tanda kebenaran imannya. Perkataan ‘seseorang (الْمَرْء)’ bermaksud manusia sama ada lelaki ataupun perempuan.

مَا لَا يَعْنِيهِ : Sesuatu yang tidak berkaitan dengannya. Maksudnya: Perkataan atau perbuatan yang tidak berkenaan dengannya sama ada daripada urusan din (agama) ataupun urusan keduniaan.

Keterangan hadits

  1. Antara tanda-tanda keelokan Islam seseorang ialah meninggalkan amalan yang sia-sia. Misalnya menjaga lidah daripada perkataan yang sia-sia, sepertimana peringatan Allah Subhanahuwata’ala:

مَّا يَلۡفِظُ مِن قَوۡلٍ إِلَّا لَدَيۡهِ رَقِيبٌ عَتِيدٞ ١٨

Tiada suatu ucapan pun yang diucapkannya melainkan ada didekatnya malaikat pengawas yang selalu hadir.

(Qaf : 18)

  1. Antara langkah untuk meninggalkan perkara yang sia-sia ialah tidak mengikut runtunan hawa nafsu.
  1. Salah faham terhadap hadits ini menyebabkan sesetengah orang meninggalkan perkara yang wajib atau yang sunat atas sangkaan perkara-perkara tersebut tidak ada kaitan dengannya.

Pengajaran hadits

  1. Seseorang mukmin dikira elok, indah dan tinggi akhlaknya apabila beliau hanya melakukan perkara-perkara yang berfaedah dan meninggalkan perkara-perkara yang tidak berfaedah.
  1. Antara perkara yang tidak berfaedah ialah bercakap kosong, berhibur dengan hiburan yang melalaikan, duduk-duduk di jalan, bertandang ke rumah orang hanya untuk berbual-bual kosong tanpa niat ziarah atau tanpa ada suatu kepentingan dan suka mengambil tahu perkara-perkara yang tiada kaitan dengan dirinya.
  1. Islam sangat mengambil berat keselamatan individu. Hak seseorang individu perlu dihormati dan tidak diganggu oleh pihak yang tidak berkenaan. Islam menggalakkan suasana saling hormat menghormati dan saling memuliakan. Antara sebab yang merosakkan masyarakat ialah ’campur tangan’ sebahagian manusia terhadap urusan orang lain, khususnya dalam perkara yang tiada kaitan dengan mereka.
  1. Setiap muslim adalah bertanggungjawab terhadap semua amalan yang dilakukan, terhadap setiap saat yang dihabiskan dan terhadap setiap kalimah yang dituturkan. Justeru itu ia hendaklah membataskan dirinya dengan sesuatu yang berfaedah sahaja.

Imam Tirmizi telah meriwayatkan daripada Anas bin Malik Rahimahullah katanya: ”Seorang sahabat Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam telah meninggal dunia, lalu seorang lelaki berkata: Bergembiralah dengan syurga.” Maka Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersabda (yang bermaksud): ”Apakah engkau mengetahui, mungkin dia telah berbicara pada sesuatu yang tidak berkaitan dengannya atau dia bakhil dengan sesuatu yang tidak membawa kekurangan kepadanya.”

  1. Hati yang sentiasa sibuk dengan Allah Subhanahuwata’ala, tidak akan memperdulikan urusan orang lain yang tidak berkenaan dengan dirinya. Maksud sibuk dengan Allah Subhanahuwata’ala ialah melakukan kerja-kerja yang Allah Subhanahuwata’ala redhai seperti beribadah, menuntut ilmu bermanfaat, menolong saudara muslim dan berda’wah kepada manusia lain.
  1. Kehidupan di dunia masa kini terlalu banyak perkara yang sia-sia, seperti yang berkaitan dengan hiburan nyanyian, televisyen, komputer, kemudahan telefon bimbit dan sebagainya. Justeru itu seorang muslim perlu bijaksana membuat keputusan dalam hidupnya agar mengamalkan sesuatu yang yang memberi faedah sahaja. Amat baik seorang muslim meninggalkan perkara yang membuang waktu dan tiada kaitan dengan tujuan manusia diciptakan iaitu untuk mengabdikan diri kepada Allah Subhanahuwata’ala. Setiap amalan akan dihisab di hadapan Allah Subhanahuwata’ala nanti. Firman-Nya:

وَمَا خَلَقۡتُ ٱلۡجِنَّ وَٱلۡإِنسَ إِلَّا لِيَعۡبُدُونِ

Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdikan diri mereka kepada-Ku

(Az-Zariyat : 56)

Firman-Nya lagi:

فَمَن يَعۡمَلۡ مِثۡقَالَ ذَرَّةٍ خَيۡرٗا يَرَهُۥ ٧  وَمَن يَعۡمَلۡ مِثۡقَالَ ذَرَّةٖ شَرّٗا يَرَهُۥ ٨

Barangsiapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarah pun, nescaya dia akan melihat (balasan)nya. Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan sebesar zarah pun, nescaya dia akan melihat (balasan)nya.

(Az-Zalzalah :7-8)

Print Friendly, PDF & Email

Check Also

Hadits : Islam, Iman Dan Ihsan

Hadits : Islam, Iman Dan Ihsan (Hadits kedua daripada Himpunan Hadits Arba’in susunan Imam Nawawi) …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *