Fiqh Harakah

Faktor-Faktor Yang Menggendalakan Gerakan Organisasi (Faktor 3): Faktor Individu

FAKTOR 3: FAKTOR INDIVIDU

 

1. Tidak sabar menempuh jalan yang jauh dan penuh dengan kesukaran serta ingin segera melihat natijah tanpa memperhitungkan tahap dan kemampuan gerakan organisasi. Membelakangkan kaedah: Sesiapa yang ingin cepat mencapai sesuatu sebelum sampai masanya, dibalas di sebaliknya (Man ista’jala syai’an qabla awanihi ‘uqiba bihirmanihi).

Sebab itu Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam mengingatkan, maksudnya:

Sesiapa yang bersabar akan ditambah kesabarannya oleh Allah, dan tidak ada suatu pemberian yang dianugerahkan kepada seseorang itu lebih baik dan lebih besar daripada kesabaran.[1]

…bersiap sedialah kamu sesungguhnya perkara ini berat … dan perjalanan adalah jauh…[2]

Firman Allah SWT:

لَوۡ كَانَ عَرَضٗا قَرِيبٗا وَسَفَرٗا قَاصِدٗا لَّٱتَّبَعُوكَ وَلَٰكِنۢ بَعُدَتۡ عَلَيۡهِمُ ٱلشُّقَّةُۚ

Kalau apa yang kamu serukan kepada mereka itu keuntungan yang mudah diperolehi dan perjalanan yang tidak berapa jauh, sudah tentu mereka mengikutimu, tetapi tempat yang dituju itu amat jauh terasa oleh mereka.

(Surah al-Taubah : 42)

2. Tidak tahan dan tidak sanggup menghadapi ujian yang sememangnya menjadi asam garam dan sunnah Allah SWT dalam berdakwah – jalan ke syurga penuh dengan kesukaran dan jalan ke neraka penuh dengan daya tarikan dan nafsu – (khuffat al-Jannah bil makarih wa khuffat al-Nar bi al-syahhawat).

Al-Maududi telah menggariskan sifat-sifat asas bagi individu (da’i) iaitu hendaklah sentiasa berjihad terhadap diri sehingga berterusan berada dalam taat, tunduk dan patuh kepada Allah SWT dan Rasul-Nya.

Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam pernah menerangkan dalam sabdanya yang bermaksud:

Orang yang berjihad ialah orang yang berjihad terhadap diri untuk taat kepada Allah.[3]

Oleh itu para da’i mesti menyedari hakikat bahawa mereka bukanlah orang yang pertama dan terakhir diuji malah mereka merupakan ahli-ahli dalam angkatan yang sama melalui pelayaran menuju keredaan Allah SWT.

Firman Allah dalam Surah al-Ahzab, ayat 23:

فَمِنۡهُم مَّن قَضَىٰ نَحۡبَهُۥ وَمِنۡهُم مَّن يَنتَظِرُۖ وَمَا بَدَّلُواْ تَبۡدِيلٗا ٢٣

…maka di antara mereka ada yang gugur dan di antara mereka ada (pula) yang menunggu dan mereka sedikit pun tidak merubah (janjinya).

(Surah Al-Ahzab : 23)

3. Bersikap kasar, angkuh, riya’, kikir (kedekut untuk mengorbankan masa, tenaga dan harta) dan mementingkan diri sendiri. Sifat-sifat ini memang ada pada setiap diri manusia tetapi ia boleh dikalahkan dengan mengingati akhirat dan apa yang disediakan oleh Allah Subhanahuwata’ala.

وَأَمَّا مَنۡ خَافَ مَقَامَ رَبِّهِۦ وَنَهَى ٱلنَّفۡسَ عَنِ ٱلۡهَوَىٰ ٤٠ فَإِنَّ ٱلۡجَنَّةَ هِيَ ٱلۡمَأۡوَىٰ ٤١

Dan ada pun orang yang takut kepada kebesaran Rabbnya dan menahan diri daripada keinginan hawa nafsunya, maka sesungguhnya syurgalah tempat tinggal (nya).

 (Surah al-Nazi’at : 40-41)

وَلِمَنۡ خَافَ مَقَامَ رَبِّهِۦ جَنَّتَانِ ٤٦

Dan bagi orang yang takut akan saat mengadap Rabbnya ada dua syurga.

(Surah al-Rahman : 46)

Sifat ini dan sifat-sifat yang lain seperti sifat bakhil (syukh al-muta’), menurut hawa nafsu dan terpesona dengan keseronokan hidup di dunia adalah merupakan sifat-sifat yang tidak sewajarnya wujud di dalam organisasi. Kewujudannya akan mendatangkan bahaya kepada organisasi. Oleh itu setiap hati perlu disuburkan dan dimakmurkan dengan sifat takut kepada Allah SWT.

Faktor-faktor yang dinyatakan jika tidak diawasi boleh menggendalakan dan menghancurkan gerakan organisasi.


[1] Lihat al-Munziri, al-Targhib Wa al-Tarhib, J. 4, h. 43

[2] Yakan, Fathi, Qawaribu al-Najah Li Hayat al-Du’at

[3] Lihat al-Maududi, Tazkirah Du’at al-Islam, h. 41

Print Friendly, PDF & Email

Ali Ahmad Foudzi

Editor dakwahdantarbiah.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button