Home / Jalan Dakwah & Tarbiah / Fiqh Harakah / Definisi Gerakan Organisasi Dakwah

Definisi Gerakan Organisasi Dakwah

Organisasi dakwah adalah merupakan himpunan tenaga para da’i yang bergerak dan bekerja untuk melaksanakan keperluan Islam di tahap-tahap tertentu.

Manakala Gerakan Organisasi dakwah pula ialah segala aktiviti yang teratur yang lahir daripada organisasi tersebut. Ianya dapatlah disamaertikan dengan ‘amal jama’i iaitu: Kegiatan-kegiatan yang lahir bersumber daripada satu jama’ah yang teratur (berorganisasi), menepati skima tertentu dan menjurus ke arah meatlamat tertentu.[1]

Organisasi Dakwah ini berbeza dengan organisasi-organisasi lain yang bersifat pentadbiran kerana kewujudan dan kelahirannya, serta gerakan dan kegiatannya, adalah untuk menyelesaikan permasalahan Islam (qadhiyah Islamiyah), baik di segi siasah mahupun dari segi fikrah untuk mengembalikan masyarakat manusia sama ada individu dan masyarakat supaya memurnikan perhambaan hanya sanya kepada Allah Subhanahuwata’ala dan bekerja bagi mendirikan  masyarakat Islam yang mana  segala hukum dan peraturannya diambil daripada Kitab Allah Subhanahuwata’ala dan Sunnah Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam.[2]

Oraganisasi Dakwah bersifat Rabbani kerana seluruh konsep, hukum, akhlak, tatasusila dan pemikirannya adalah bersumberkan kepada agama Allah Subhanahuwata’ala yang kekal dan terakhir. Seruannya adalah kepada Allah bukan untuk kepentingan orang yang bekerja atau orang yang memikul gerakan tersebut.

Tidak pula bersifat seperti organisasi-organisasi politik biasa, juga bukan sebagai sebuah organisasi yang menjadi tempat perebutan kuasa pucuk pimpinan yang hanya bermatlamatkan keuntungan dan kepentingan peribadi seperti yang terdapat di dalam organisasi-organisasi yang wujud pada hari ini. Perkara asas dan penting kepada Gerakan Organisasi Dakwah ialah golongan atasan dan pimpinannya terlebih dahulu tunduk dan patuh kepada syari’at Allah Subhanahuwata’ala sebelum golongan bawahan dan anggota biasa.

Gerakan Organisasi Dakwah bersifat unik, jauh daripada dipengaruhi atau dikuasai, dan diperalatkan oleh pemerintah dan ahli-ahli politik yang berkepentingan, sekalipun biasanya terdapat di dalamnya anggota-anggota yang terdiri dari golongan pemerintah dan ahli-ahli politik. Juga jauh daripada sebarang perselisihan di dalam masalah-masalah fiqah yang ranting, kerana dakwahnya adalah untuk menyatupadukan umat Islam di dalam masalah pokok dan kaedah. Dakwahnya bersifat sempurna dan menyeluruh dalam segenap aspek hidup. Mengajak supaya manusia kembali kepada sumbernya yang suci – al-Quran dan Sunnah Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam. Bekerja untuk menjaga dan memelihara urusan umat Islam di dalam semua bidang dan peringkat.[3]

Islam telah berkembang dengan luas dan pesat tetapi perkembangan pendidik (murabbi) untuk mendidik, memberi kefahaman dan kesedaran Islam tidak secepat perkembangan Islam itu sendiri. Ini menyebabkan umat Islam telah jauh daripada ajaran Islam yang sebenarnya. Dengan kewujudan gerakan organisasi dakwah, di samping menyampaikan kesedaran Islam, dapat pula mendidik dan membentuk masyarakat ke arah kefahaman Islam yang sebenar, dan melahirkan orang yang memiliki syakhsiah Islamiyah yang mampu dan berkeupayaan untuk berdepan dengan jahiliah[4] yang tidak sahaja bergerak secara teori malah di dalam bentuk organisasi,[5] bersifat sejagat yang telah lama bertapak dan berakar umbi dalam masyarakat.

Justeru itu Sayyid Qutb mendefinisikan organisasi (harakah) sebagai himpunan faktor kebendaan yang perlu di dalam usaha untuk membasmikan kewujudan sistem hidup jahiliah serta menggantikan tempatnya dengan sistem hidup Islam.[6] Pendapat ini pula disokong oleh Dr. ‘Abdul Karim Othman yang menegaskan:

 “Sesungguhnya Allah telah mewajibkan amar ma’ruf dan nahi mungkar, dan perkara ini tidak akan sempurna kecuali dengan kekuatan dan pemerintahan, sepertimana amar ma’ruf dan nahi mungkar serta keseluruhan yang diwajibkan oleh Allah sama ada jihad, menjalankan keadilan, melaksanakan hudud dan lain-lain, tidak mungkin sempurna tanpa kekuatan dan pemerintahan.”[7]

Oleh: Ustaz Abdul Hadi Osman

__________________

[1] Siddiq Fadil, Amal Jama’iyy – Suatu Rumusan, Institute Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu, UKM, Bangi, 17hb Muharram, 1400H., h. 2.

[2] Yakan, Fathi, Maza Ya’ni Intima’i Li al-Islam, cetakan 2, (Beirut, Muassasah al-Risalah, 1398H.), h. 109

[3] Ibid., h. 113-115

[4] Dimaksudkan dengan jahiliah ialah apa sahaja yang berlawanan dengan Islam – menurut definisi yang diberikan oleh Muhammad Qutb di dalam bukunya al-Jahiliah Fi Qarni al-‘Asyrin.

[5] Lihat Qutb, Sayyid, Ma’alim Fi al-Tariq, (al-Ittihad al-Islami Li al-Munzimat al-Talabiyah, 1398H), h. 48

[6] Barakat, Muhammad Taufiq, Sayyid Qutb, Khulasatu Hayatihi, Minhajihi Fi al-Harakah, al-Naqdu al-Muwajah Ilaihi, (Beirut, Dar al-Da’wah, tanpa tarikh), h. 121.

[7] Othman, Abdul Karim, al-Nizam al-Siyasi Fi al-Islam, cetakan 1, (Beirut, Dar al-Irsyad, 1388H), h. 15

Check Also

WhatsApp Image 2017-11-19 at 7.07.12 AM

Ciri-Ciri Keistimewaan Bergerak Secara Organisasi (Ciri 5)

CIRI 5: BERANSUR-ANSUR DAN BERPERINGKAT DI DALAM GERAKAN (AL-TADARRUJ FI AL-KHATAWAT) Oleh kerana perjalanan terlalu …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *