Home / Jalan Dakwah & Tarbiah / Fiqh Harakah / Ciri-Ciri Keistimewaan Bergerak Secara Organisasi (Ciri 3)

Ciri-Ciri Keistimewaan Bergerak Secara Organisasi (Ciri 3)

CIRI 3: DAPAT MEWUJUDKAN SUASANA YANG BAIK (BIAH SOLEHAH)

Sebenarnya realiti atau suasana sekitar di mana gerakan organisasi dakwah muncul dan bergerak sering tidak terarah kepada kehidupan Islam. Kehidupan individu-individu muslim terancam malah sentiasa berdepan dengan tekanan dan pertarungan daripada pelbagai pengaruh dan suasana yang tidak baik.[1]

Kerja-kerja dalam proses pembentukan dan pendidikan ke arah penghayatan Islam (tarbiah) tidak akan berjaya untuk mencapai matlamat selagi mana tidak wujudnya suasana yang baik yang sejajar dengan Islam (biat solihat). Suasana itu di dalamnya tiada tempat untuk kesan pengaruh bukan Islam menumpang di dalamnya.

Keistimewaan bergerak secara gerakan organisasi ialah adanya inisiatif ke arah mewujudkan suasana Islam bagi menyediakan individu-individu yang akan meneruskan usaha dakwah, bersih akidahnya dan wujud pemisahan rasa (‘uzlah syu’uriah) dengan masyarakat yang tidak Islamik. Wujud suasana yang berbeza antara kumpulan orang beriman dengan kumpulan orang yang tidak beriman. Perbezaan dalam bentuk perasaan, pemikiran, konsep, akhlak dan cara hidup[2]. Kumpulan orang beriman tidak larut bersama-sama dengan suasana sekeliling seperti yang diingatkan oleh Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam di dalam sabdanya yang bermaksud:

“Janganlah seseorang daripada kamu menjadi orang yang tidak mempunyai pendirian yang berkata: Aku bersama-sama orang ramai, jika mereka berbuat baik maka aku akan berbuat baik, sekiranya mereka berbuat jahat aku juga akan berbuat jahat. Tetapi kamu mestilah tetapkan pendirian, sekiranya mereka berbuat baik, hendaklah kamu berbuat baik, sekiranya berbuat jahat hendaklah kamu menjauhi daripada kejahatan mereka.”[3]

Mewujudkan suasana yang baik ini adalah penting. Justeru kejayaan pendidikan ke arah penghayatan Islam (tarbiah) adalah bergantung kepada sejauh mana baiknya suasana yang ada dan terlaksananya pemisahan hati dengan suasana yang tidak Islamik. Suasana yang baik yang sejajar dengan Islam merupakan suasana di mana seseorang individu muslim, khususnya para da’i, akan dapat mengambil tunjuk ajar bermanfaat, menyaksi akhlak yang baik, menimba ilmu pengetahuan dan mempelajari amal Islami. Selain itu dapat menjauhkan diri daripada sebarang perkara yang sia-sia, lebih-lebih lagi pada perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah Subhanahuwata’ala. Suasana di mana ilmu, amal dan zikir sentiasa berjalan.[4]

Suasana yang baik ini sesuai sekali sekiranya dapat diwujudkan di masjid-masjid. Juga diwujudkan di rumah-rumah. Seterusnya suasana ini perlu diwujudkan di merata tempat di mana para da’i dan anggota gerakan organisasi berada, supaya suasana Islam ini sentiasa berjalan dan dapat disaksikan kepada orang yang didakwahkan serta masyarakat setempat. Sehubungan dengan ini ‘Abbas al-Sisi pernah menyatakan:

“…Hasan al-Banna telah menyedari tentang pentingnya faktor suasana yang baik (biah solehah) di dalam kejayaan kerja-kerja pendidikan, lalu beliau berusaha mengadakan suasana yang munasabah untuk membentuk dan mendidik anggota-anggota Ikhwan sehingga terbentuk di kalangan mereka kumpulan orang yang beriman, berusaha dan bekerja untuk menegak dan meninggikan kalimah Allah…”[5]

 


[1] Yakan, Fathi, Musykilati al-Da’wah wa al-Da’iyah, h. 150

 

[2] Ibid., h. 120-121

 

[3] Lihat buku Maza Ya’ni Intima’i Li al-Islam, karangan Fathi Yakan, h. 121

 

[4] Hawwa, Sa’id, Fi Afaqi al-Ta’lim, h. 47

 

[5] Abbas al-Sisi, Hasan al-Banna, Mawaqifu Fi al-Da’wah Wa al-Tarbiah, cetakan 1, (Iskandariah, Dar al-Da’wah Li al-Tarbiah wa al-Nasyr Wa al-Tauzi’, 1398H), h. 47

 

 

Check Also

Ciri-Ciri Keistimewaan Bergerak Secara Organisasi (Ciri 1)

CIRI 1: WUJUDNYA PEMBENTUKAN UKHUWAH ISLAMIYAH Antara keistimewaan berdakwah secara gerakan organisasi ialah wujudnya pembentukan …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *