Cinta

Pengertian cinta

Cinta adalah perasaan jiwa seperti kegembiraan, kebahagiaan, ketenangan dan pengharapan kepada sesuatu. Cinta juga bermakna keinginan, tarikan dan keterikatan dengan sesuatu. Cinta merupakan perasaan semula jadi (fitrah) yang menjadi satu sifat daripada sifat-sifat manusia.

Sifat cinta

Sebagaimana sifat hati yang sering berubah-ubah, maka begitu jugalah sifat cinta yang menjadikan hati sebagai tahktanya. Cinta boleh berubah sejajar dengan perubahan hati.

Tanda hadirnya perasaan cinta

Antara tanda hadirnya perasaan cinta ialah:

  1. Apabila suka mendengar nama sesuatu yang dicintai itu disebut-sebut.
  2. Apabila suka melihat sesuatu yang dincintai.
  3. Apabila suka duduk berdekatan atau bersama-sama dengan sesuatu yang dicintai.
  4. Apabila suka dengan segala sesuatu yang berkaitan dengan perkara yang dicintai.

Hikmah percintaan

Hikmah percintaan adalah sebagai ujian dan dugaan bagi manusia. Manusia akan melakukan pelbagai cara dan taktik untuk mendapatkan apa yang dicintai. Namun di sana, ada cinta yang mulia dan ada cinta yang keji. Untuk mendapatkan sesuatu yang dicintai, ada cara-cara yang mulia dan ada pula cara-cara yang keji.

Cinta adalah faktor pemakmuran ‘alam ciptaan Allah Subhanahuwata‘ala. Cinta juga adalah faktor penyambungan zuriat dan penerusan kehidupan manusia. Cinta adalah ikatan yang kukuh yang menyatukan umat manusia.

Hakikat percintaan dan kasih sayang yang sebenar adalah percintaan dan kasih sayang yang berdasarkan keimanan kepada Allah Subhanahuwata‘ala. 

Darjat-darjat percintaan

Allah Subhanahuwata‘ala menjadikan manusia dan mengetahui selok belok hati manusia. Islam yang diturunkan-Nya mengiktiraf perasaan cinta sebagai sebahagian daripada fitrah kejadian manusia. Islam telah menggariskan beberapa tingkat atau darjat percintaan, iaitu:

1. Cinta yang agung

Bagi mu’min yang bertaqwa tidak ada suatupun yang mungkin menyamai kelebihan, kedudukan dan ketinggian cintanya kepada Allah Subhanahuwata‘ala, Rasul-Nya dan berjihad di jalan-Nya, sebagaimana firman Allah Subhanahuwata‘ala:

قُلۡ إِن كَانَ ءَابَآؤُكُمۡ وَأَبۡنَآؤُكُمۡ وَإِخۡوَٰنُكُمۡ وَأَزۡوَٰجُكُمۡ وَعَشِيرَتُكُمۡ وَأَمۡوَٰلٌ ٱقۡتَرَفۡتُمُوهَا وَتِجَٰرَةٞ تَخۡشَوۡنَ كَسَادَهَا وَمَسَٰكِنُ تَرۡضَوۡنَهَآ أَحَبَّ إِلَيۡكُم مِّنَ ٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ وَجِهَادٖ فِي سَبِيلِهِۦ فَتَرَبَّصُواْ حَتَّىٰ يَأۡتِيَ ٱللَّهُ بِأَمۡرِهِۦۗ وَٱللَّهُ لَا يَهۡدِي ٱلۡقَوۡمَ ٱلۡفَٰسِقِينَ ٢٤

Katakanlah: “Jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya, dan tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya dan daripada berjihad di jalan- Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan Nya”, dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang yang fasik.

(Surah At-Taubah: 24)

Seorang mu’min meyakini bahawa Allah-lah Pencipta dan Pemilik alam semesta. Maka dirinya juga adalah milik Allah Subhanahuwata‘ala dan wajarlah seluruh kecintaannya hanya untuk Allah Rabbulalamin. Inilah cinta teragung.

Sepatutnya manusia meletakkan kecintaan yang tertinggi kepada Allah Subhanahuwata‘ala kerana Dia telah memilih manusia sebagai makhluk pilihan-Nya. Firman Allah Subhanahuwata‘ala:

وَرَبُّكَ يَخۡلُقُ مَا يَشَآءُ وَيَخۡتَارُۗ مَا كَانَ لَهُمُ ٱلۡخِيَرَةُۚ سُبۡحَٰنَ ٱللَّهِ وَتَعَٰلَىٰ عَمَّا يُشۡرِكُونَ ٦٨

Dan Rabmu menciptakan apa yang dirancangkan berlakunya, dan Dialah juga yang memilih (daripada makhluk-Nya untuk suatu tugas, keutamaan atau kemuliaan), tidaklah layak dan tidaklah berhak bagi sesiapapun memilih (selain daripada pilihan Allah). Maha Suci Allah dan Maha Tinggilah keadaaan-Nya daripada apa yang mereka sekutukan dengan-Nya.

(Surah Al-Qasas: 68)

Natijah asas daripada kecintaan yang agung ini ialah redha dengan Allah Subhanahuwata‘ala. Firman-Nya:

وَمَا كَانَ لِمُؤۡمِنٖ وَلَا مُؤۡمِنَةٍ إِذَا قَضَى ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥٓ أَمۡرًا أَن يَكُونَ لَهُمُ ٱلۡخِيَرَةُ مِنۡ أَمۡرِهِمۡۗ وَمَن يَعۡصِ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ فَقَدۡ ضَلَّ ضَلَٰلٗا مُّبِينٗا ٣٦

Dan tidaklah patut bagi lelaki yang mu’min dan tidak (pula) bagi perempuan yang mu’min, apabila Allah dan rasul-Nya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka, dan barangsiapa menderhakai Allah dan Rasul-Nya, maka sungguhlah dia telah sesat, sesat yang nyata.

(Surah Al Ahzab: 36)

Seorang mu’min meyakini bahawa apa sahaja yang diputus dan disusun oleh Allah Subhanahuwata‘ala adalah yang sebaik-baiknya. Segala penentuan Allah Subhanahuwata‘ala benar-benar akan mendatangkan hikmah dan kenikmatan kepadanya dan menjauhkannya daripada kerosakan dan kebinasaan. Firman-Nya lagi:

فَمَنِ ٱتَّبَعَ هُدَايَ فَلَا يَضِلُّ وَلَا يَشۡقَىٰ ١٢٣ وَمَنۡ أَعۡرَضَ عَن ذِكۡرِي فَإِنَّ لَهُۥ مَعِيشَةٗ ضَنكٗا وَنَحۡشُرُهُۥ يَوۡمَ ٱلۡقِيَٰمَةِ أَعۡمَىٰ ١٢٤

Maka barangsiapa yang mengikut petunjuk-Ku, ia tidak akan sesat dan tidak akan celaka. Dan barangsiapa berpaling daripada peringatan-Ku, maka sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit, dan Kami akan menghimpunkannya pada hari kiamat dalam keadaan buta.

(Surah Taha: 123-124)

Tidak syak lagi bahawa seseorang yang telah mengecapi kelazatan iman di dalam dadanya akan tertarik dengan sepenuh hati untuk mencintai Allah Subhanahuwata‘ala dan Rasul-Nya, yang telah menyampaikan Risalah-Nya kepada umat manusia.

Lantaran keimanan dan keyakinannya kepada Allah Subhanahuwata‘ala dan keyakinannya kepada janji-janji-Nya, maka seorang mu’min akan mencintai jihad untuk menegakkan din-Nya dan meninggikan kalimah tauhid-Nya di muka bumi ini agar seluruh manusia turut merasai nikmat Islam dan keindahan hidup di bawah naungannya.

Cinta kepada Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam adalah natijah daripada cintakan Allah Subhanahuwata‘ala. Inilah tabiat cintakan Allah yang bertakhta di hati para mu’minin.

Marilah kita sama-sama merenung beberapa kisah yang menggambarkan cinta para sahabat Radiallahu’anhum terhadap Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam.

Kisah 1:

Imam Baghawi meriwayatkan daripada Thauban maula Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam dimana beliau amat kasihkan Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam dan tidak sabar-sabar lagi untuk menatap wajah baginda.

Pada suatu hari Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam datang kepadanya. Ketika itu air mukanya berubah, lalu baginda bersabda: Kenapakah air mukamu berubah wahai Thauban?.

Lalu jawabnya: Wahai Rasulullah, aku tidak sakit tetapi sesungguhnya apabila aku tidak dapat melihat wajahmu maka aku akan keluh kesah sehinggalah aku dapat bertemu denganmu. Kemudian aku teringatkan Hari kiamat dan aku bimbang tidak akan dapat melihat kamu kerana kamu akan diangkat bersama-sama para nabi. Sekalipun aku dapat masuk syurga maka aku langsung tidak akan dapat melihat kamu.

Maka turunlah ayat Al-Quran berikut (sebagai menjawab persoalan Thauban):

وَمَن يُطِعِ ٱللَّهَ وَٱلرَّسُولَ فَأُوْلَٰٓئِكَ مَعَ ٱلَّذِينَ أَنۡعَمَ ٱللَّهُ عَلَيۡهِم مِّنَ ٱلنَّبِيِّ‍ۧنَ وَٱلصِّدِّيقِينَ وَٱلشُّهَدَآءِ وَٱلصَّٰلِحِينَۚ وَحَسُنَ أُوْلَٰٓئِكَ رَفِيقٗا ٦٩

Dan barangsiapa yang mentaati Allah dan Rasul(Nya), mereka itu akan bersama-sama dengan orang yang dianugerahi nikmat oleh Allah, iaitu: Nabi-nabi, para siddiqin, orang yang mati syahid, dan orang soleh, dan mereka itulah teman yang sebaik-baiknya.

(Surah An-Nisa’: 69)

Kisah 2:

Diriwayatkan daripada Al-Baihaqi bahawa terdapat seorang wanita daripada kaum Ansar di mana bapa, suami dan saudaranya terbunuh di dalam medan perang Uhud. Sebaik saja disampaikan berita itu lalu ia berkata: Bagaimanakah Rasulullah?. Maka jawab para sahabat: Baginda dalam keadaan baik seperti yang kamu sukakan. Kata wanita lagi: Tunjukkanlah kepadaku agar aku dapat melihatnya. Setelah beliau melihat baginda lalu beliau berkata: Setiap bencana selepas kamu (selepas kamu terselamat), akan datang kegembiraan.

2. Cinta pertengahan

Maksud cinta pertengahan ialah tarikan hati, ikatan perasaan dan emosi yang lahir daripada aqidah atau iman seseorang insan terhadap keturunan, keluarga, kaum kerabat, harta benda dan sebagainya. Maka hasilnya ia akan berhubung erat dengan apa yang dicintainya itu dengan cara yang diredhai Allah Subhanahuwata‘ala.

Allah Subhanahuwata‘ala mengiktiraf kesemua perasaan hati ini tetapi ia menduduki tempat yang kedua, iaitu selepas kecintaan kepada Allah, Rasul dan jihad di jalan-Nya.

Contoh-contoh cinta dalam ketegori ini:

Contoh 1: Cinta antara suami isteri

Jika kecintaan suami dan isteri tidak berasaskan ikatan aqidah, maka tentunya zuriat yang lahir tidak akan mendapat pendidikan dan penjagaan iman yang sempurna.

Contoh 2: Cinta antara anak dan ibu bapa

Hubungan anak dan ibu bapa hanya akan menjadi hubungan kerana kepentingan dunia sahaja jika tidak berpaksikan aqidah kepada Allah Subhanahuwata‘ala.

Contoh 3: Cinta dalam ummah Islamiyah

Tanpa ikatan aqidah, tidak akan terbangun cinta atau ukhuwah Islamiyah yang akan menghiasi kehidupan dan pembangunan ummah.

Perkara yang perlu dipelihara ialah cinta pertengahan ini tidak boleh mendahului cinta kepada Allah, Rasul dan berjihad di jalan-Nya. Cinta kepada Allah, Rasul dan berjihad di jalan-Nya hendaklah dijadikan keutamaan. Firman Allah Subhanahuwata‘ala:

قُلۡ إِن كَانَ ءَابَآؤُكُمۡ وَأَبۡنَآؤُكُمۡ وَإِخۡوَٰنُكُمۡ وَأَزۡوَٰجُكُمۡ وَعَشِيرَتُكُمۡ وَأَمۡوَٰلٌ ٱقۡتَرَفۡتُمُوهَا وَتِجَٰرَةٞ تَخۡشَوۡنَ كَسَادَهَا وَمَسَٰكِنُ تَرۡضَوۡنَهَآ أَحَبَّ إِلَيۡكُم مِّنَ ٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ وَجِهَادٖ فِي سَبِيلِهِۦ فَتَرَبَّصُواْ حَتَّىٰ يَأۡتِيَ ٱللَّهُ بِأَمۡرِهِۦۗ وَٱللَّهُ لَا يَهۡدِي ٱلۡقَوۡمَ ٱلۡفَٰسِقِينَ ٢٤

Katakanlah: “Jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya, dan tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya dan daripada berjihad di jalan- Nya, Maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan Nya”, dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang yang fasik.

(Surah At-Taubah: 24)

Seandainya cinta kepada manusia, harta dan dunia berasaskan hawa nafsu semata-mata (tidak berasaskan aqidah yang benar), maka ia akan menjatuhkan seseorang kepada cinta yang hina.

3. Cinta yang hina

Cinta yang hina akan menjatuhkan darjat dan nilai kemanusiaan. Antaranya:

  1. Cinta atau kasihkan taghut serta bertuhankan manusia atau sesama makhluk. Contohnya:
    • Cinta atau menyembah patung dan berhala.
    • Cinta serta memuja artis-artis, ahli-ahli sukan dan sebagainya.
  2. Cinta atau kasih terhadap musuh-musuh Allah Subhanahuwata‘ala.
  3. Cinta dan menurut kemahuan hawa nafsu atau syahwat yang keji dan berdosa. Ghairah melakukan perbuatan maksiat.
  4. Mengutamakan kasih terhadap ibu bapa, anak-anak, isteri, keluarga, harta kekayaan dan perniagaan melebihi kasihkan Allah Subhanahuwata‘ala, Rasul-Nya dan berjihad di jalan-Nya.

قال عمر بن الخطاب-رضي الله عنه والله يا رسول الله لأنت أحب إلي من كل شيء إلا من نفسي, فقال رسول الله صل الله عليه وسلّم, لايؤمن أحدكم حتّى أكون أحبّ إليه من نفسه. فقال عمر: فأنت الآن-والله-أحّب إلي من نفسي, فقال رسول الله: الآن يا عمر.

Kata Omar bin Al-Khattab Radhiallahu’anhu: ‘Demi Allah, ya Rasulullah sesungguhnya kamu yang paling aku cintai daripada segala sesuatu kecuali diriku’. Maka Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda: ‘Tidak beriman seseorang kamu sehingga aku menjadi orang yang paling dicintai daripada dirinya sendiri’. Maka berkata Omar: ‘Maka engkau sekarang, demi Allah, adalah orang yang paling aku kasihi lebih daripada diriku sendiri’. Sabda Rasulullah: ‘Sekarang barulah engkau beriman ya Omar’.

(Riwayat al-Bukhari)

 5. Cinta kepada bisikan syaitan seperti bisikan untuk berhasad dengki, mengumpat dan sebagainya.

Penutup

Oleh itu cinta merupakan perasaan jiwa yang diiktiraf oleh Allah Subhanahuwata‘ala. Persoalannya ialah sejauh manakah manusia mengambil neraca Allah Subhanahuwata‘ala dalam urusan cinta ini. Sabda Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam yang berikut boleh dijadikan panduan:

ثلاثٌ من كنَّ فيه وجد بهنَّ حلاوةَ الإيمانِ . من كان اللهُ ورسولُه أحبَّ إليه ممَّا سواهُما . وأنْ يحبَّ المرءَ لا يحبُّه إلَّا للهِ . وأنْ يكرهَ أنْ يعودَ في الكفرِ بعد أنْ أنقذَه اللهُ منه ، كما يكرهُ أنْ يُقذَفَ في النَّارِ

Tiga perkara siapa yang ada pada dirinya, dia akan merasai kemanisan iman – bahawa ia menjadikan Allah dan Rasul-Nya paling dicintai daripada segala yang lain (melainkan Allah dan rasul). Dan bahawa ia mencintai seseorang, tidak menyintainya melainkan kerana Allah. Dan bahawa ia membenci untuk kembali kepada kekufuran, selepas Allah mengeluarkannya daripada kekufuran, sepertimana ia benci dimasukkan ke dalam api neraka.

(Riwayat Muslim)[1] 

 [1] Sahih Muslim, no.hadits: 43

Check Also

Menahan Bisikan Nafsu Dan Gejolak Jiwa

Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersabda: إِذَا حَاكَ فِي قلبِكَ شَيْءٌ فَدَعْهُ Apabila ada sesuatu yang bergejolak dalam …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *