Home / Tsaqafah / Ilmu Waqi' / Cabaran Serangan Pemikiran (Ghazwul Fikri)

Cabaran Serangan Pemikiran (Ghazwul Fikri)

Muqaddimah

Alhamdulillah, kita bersyukur ke hadrat Allah Subhanahuwata’ala kerana dengan izin-Nya dan perkenan-Nya dipertemukan kita di sini untuk menambahkan lagi pengetahuan berhubung dengan ajaran Allah Subhanahuwata’ala.

Kita perlu terus berusaha mendidik dan mengasuh hati dan jiwa kita dengan ajaran Allah Subhanahuwata’ala, iaitu ajaran Islam yang dibawa oleh Nabi besar kita Muhammad Sallallahu’alaihiwasallam. Dengan ini, mudah-mudahan akan bertambah kukuh lagi pegangan dan keimanan kita kepada Allah Subhanahuwata’ala, dan akan bertambah kuat lagi keazaman kita untuk memikul amanah Allah Subhanahuwata’ala iaitu membawa Islam ini dalam kehidupan kita, keluarga dan ummah,  sebagaimana  yang dituntut dalam ajaran Allah Subhanahuwata’ala. Semoga, insyaAllah, kita akan sentiasa istiqamah di atas jalan-Nya hinggalah kita dipanggil pulang atau kembali mengadap-Nya dalam keadaan redha meredhai.

InsyaAllah kita akan cuba meninjau sedikit tentang satu perkara yang bertajuk “Tahaddiyat Al-Ghazwul Fikri” iaitu cabaran serangan pemikiran. Cabaran serangan pemikiran ini suatu perkara yang memang dihadapi oleh masyarakat khususnya masyarakat Islam dewasa ini. Perkara ini ada ditulis oleh seorang ulama Islam iaitu Dr. Abdullah Nasih Ulwan dalam kitabnya “Assyabab Al Muslim Fi Muwajehati Attahaddiyat”. Mudah-mudahan InsyaAllah kita dapat mengetahui sedikit sebanyak walaupun secara ringkas berkaitan dengan Tahaddiyat Al-Ghazwul Fikri. Beliau telah menjelaskan:

“Di antara cabaran besar yang mencabar generasi Islam hari ini khususnya angkatan muda ialah cabaran berbentuk serangan pemikiran yang melanda alam Islam, boleh dikatakan, seluruhnya pada hari ini.”

Barat telah menjulang panji-panji ilmaniah ataupun sekularisme, yakni pemisahan agama daripada kehidupan. Barat telah mengangkat dan menjulang panji-panji ini. Kefahaman sekular ini telah mengurungkan agama  dalam lingkungan dinding-dinding tempat ibadat sahaja. Barat telah mengangkat, berjuang dan mengetengahkan pemikiran sekular yang memisahkan kehidupan agama daripada kehidupan bermasyarakat. Agama tidak dibenarkan memainkan peranan dalam membangunkan kemajuan umat.

Kita dapati bahawa teori, perinsip, idea dan pemikiran barat telah menyerang masyarakat Islam menerusi pelbagai uslub dan cara. Contoh-contoh Islam yang baik, prinsip, moral dan akhlak Islam dijauhkan daripada umat. Akhirnya masyarakat Islam sendiri tidak mengambil nilai, perinsip, contoh dan akhlak Islam. Pada hal ini semua merupakan kemuliaan dan kekuatan bagi umat Islam.

Barat terus menerus mengangkat dan menjulang panji-panji sekularisme, sehingga agama tidak diberi peluang dan peranan untuk membangunkan masyarakat dan umat.  Dunia timur pula menjulang panji-panji sosialis yang menyesatkan golongan bawahan seperti pekerja dan peladang.

Akibatnya orang Islam tercengang-cengang, terumbang-ambing dan hilang pedoman selepas mereka ditimpa kehinaan dan kemunduran, setelah dipisahkan jauh daripada manhaj Allah Subhanahuwata’ala (manhaj Islam yang sebenar). Umat Islam hidup berpecah-belah dan hilang kepimpinan yang sebenar.

Kenapa musuh Islam di barat dan timur menyerang Islam? Ini kerana Islam amat istimewa dan mengkagumkan. Sejak dahulu Islam dikenali dan berjaya meninggikan akal, roh, akhlak dan kehidupan duniawi dengan begitu hebat dan mengkagumkan. Ramai manusia memeluk Islam secara sukarela atau atas pilihan mereka sendiri,  kerana risalah Islam kekal abadi dengan keistimewaan, kelebihan dan keutamaannya.

Keistimewaan Islam

1. Islam Bersifat Rabbaniyyah

Islam datangnya daripada Allah Subhanahuwata’ala yang mentadbir dan mencipta alam ini. Allah Subhanahuwata’ala Maha Bijaksana dan Maha Mengetahui, ilmu-Nya amat luas meliputi segala sesuatu. Dia meletakkan sesuatu pada tempatnya dengan penuh hikmah dan munasabah. Tidak terlepas, walau sebesar zarah pun, segala yang ada dilangit dan dibumi melainkan semuanya dalam pengetahuan Allah Subhanahuwata’ala. Islam  adalah ciptaan Allah Subhanahuwata’ala yang bersifat Rabbani. Islam datang daripada Allah Subhanahuwata’ala yang Maha Bijaksana dan luas ilmu pengetahuan-Nya. Islam diturunkan oleh Allah Subhanahuwata’ala yang mentadbir alam dengan Maha Bijaksana penuh hikmah. Tiada peraturan, sistem dan hukum yang lebih baik daripada apa yang diturunkan oleh Allah Subhanahuwata’ala.

أَفَحُكۡمَ ٱلۡجَٰهِلِيَّةِ يَبۡغُونَۚ وَمَنۡ أَحۡسَنُ مِنَ ٱللَّهِ حُكۡمٗا لِّقَوۡمٖ يُوقِنُونَ

Apakah hukum jahiliyah yang mereka kehendaki, dan (hukum) siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang yang yakin ?

(Surah Al-Maidah : 50)

Adakah wujud hukum dan peraturan lain yang lebih baik daripada hukum Allah Subhanahuwata’ala? Siapa lagi yang lebih baik daripada Allah Subhanahuwata’ala bagi orang yang yakin. Orang yang benar-benar yakin hanyalah orang yang benar-benar beriman kepada Allah Subhanahuwata’ala. Mereka yakin tiada hukum yang lebih baik daripada hukum Allah Subhanahuwata’ala.

Keyakinan orang beriman adalah Islam bersifat rabbaniyyah. Tiada hukum, sistem dan peraturan yang lebih baik daripada apa yang diturunkan oleh Allah Subhanahuwata’ala. Sekiranya ada orang yang berpendapat dan mengatakan ada hukum yang lebih baik daripada hukum Allah Subhanahuwata’ala, maka dia sebenarnya tidak memahami hakikat din Allah Subhanahuwata’ala.

Salah satu sebab Islam diserang oleh musuhnya adalah kerana ia bersifat rabbaniyyah. Hanya Islam bersifat rabbaniyyah, bukan ciptaan manusia.

2. Islam Bersifat Abadi (Khulud)

Khulud maknanya abadi dan kekal sepanjang zaman sampai hari kiamat. Islam kekal abadi dan terpelihara dengan pemeliharaan Allah Subhanahuwata’ala sampai hari kiamat. Firman Allah Subhanahuwata’ala :

إِنَّا نَحۡنُ نَزَّلۡنَا ٱلذِّكۡرَ وَإِنَّا لَهُۥ لَحَٰفِظُونَ

Sesungguhnya Kami-lah yang menurunkan Al-Quran, dan sesungguhnya Kami benar-benar memeliharanya.

(Surah Al-Hijr : 9)

Ini menunjukkan bahawa Islam itu dipelihara oleh Allah Subhanahuwata’ala. Sifatnya berkekalan kerana ia dipelihara oleh Allah Subhanahuwata’ala.

3. Islam Bersifat ‘Alami (Alamiyyah)

Islam itu sifatnya alami, sejagat atau universal. Dia bukan bersifat lokal atau tempatan. Dia bersifat antarabangsa untuk semua manusia. Pembawa risalah Islam, Nabi Muhammad Sallallahu’alaihiwasallam diutuskan oleh Allah Subhanahuwata’ala untuk seluruh umat manusia dan tidak terbatas kepada sesuatu kaum sahaja. Itu bermakna Islam bersifat alamiyyah.  Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam datang untuk menyeru kepada semua manusia, bukan untuk orang arab sahaja walaupun pada mulanya Nabi Muhmmad Sallallahu’alaihiwasallam menyampaikan ajaran Islam kepada orang arab Quraisy. Namun hakikat sebenarnya Islam itu bersifat ‘alamiyyah sebagaimana firman Allah Subhanahuwata’ala yang berbunyi :

وَمَآ أَرۡسَلۡنَٰكَ إِلَّا كَآفَّةٗ لِّلنَّاسِ بَشِيرٗا وَنَذِيرٗا وَلَٰكِنَّ أَكۡثَرَ ٱلنَّاسِ لَا يَعۡلَمُونَ

Dan Kami tidak mengutus kamu, melainkan kepada umat manusia seluruhnya sebagai pembawa berita gembira dan sebagai pemberi peringatan, tetapi kebanyakan manusia tiada mengetahui.

(Surah Saba’ : 28)

Ini menunjukkan bahawa keistimewaan Islam itu ianya bersifat ‘alamiyyah, sejagat dan antarabangsa.

4. Islam Bersifat Syumul (Syumuliyyah)

Islam bersifat syumul mencakup seluruh bidang kehidupan. Ia merangkumi semua urusan dan peraturan yang diperlukan oleh manusia. Dalam urusan din dan dalam urusan dunia. Ketika aman dan ketika peperangan. Semua yang diperlukan oleh manusia ada dalam Islam. Kerana itulah Islam bersifat syumul, komprehensif, syamil dan kamil, mencakupi semua urusan kehidupan. Firman Allah Subhanahuwata’ala :

وَنَزَّلۡنَا عَلَيۡكَ ٱلۡكِتَٰبَ تِبۡيَٰنٗا لِّكُلِّ شَيۡءٖ وَهُدٗى وَرَحۡمَةٗ وَبُشۡرَىٰ لِلۡمُسۡلِمِينَ

dan Kami turunkan kepadamu Al-kitab (Al-Quran) untuk menjelaskan segala sesuatu dan petunjuk serta rahmat dan kabar gembira bagi orang yang muslim (berserah diri).

(Surah An-Nahl : 89)

 Dapatlah difahami di sini bahawa ‘menjelaskan segala sesuatu’ itu menunjukkan Islam bersifat syumul dan menyeluruh. Apa sahaja peraturan yang diperlukan dalam kehidupan manusia di dunia ini semuanya telah ditentukan oleh Allah Subhanahuwata’ala.

5. Islam Bersifat Inqilabiyyah

Islam merubah dan menguasai keseluruhannya. Ajaran yang di bawa oleh Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam meliputi ajaran nabi-nabi terdahulu. Islam datang melengkapkan seluruh ajaran nabi sebelumnya. Islam sahaja yang Allah Subhanahuwata’ala redha untuk dizahirkan sebagai satu-satu sistem atau peraturan hidup terbaik untuk manusia. Islam bersifat inqilabiyyah, merubah seluruhnya dan meliputi semua ajaran yang dibawa oleh nabi terdahulu. Nabi Muhammad Sallallahu’alaihiwasallam didatangkan sebagai pelengkap yang menyempurnakan seluruh ajaran Islam.

Firman Allah Subhanahuwata’ala :

وَأَنزَلۡنَآ إِلَيۡكَ ٱلۡكِتَٰبَ بِٱلۡحَقِّ مُصَدِّقٗا لِّمَا بَيۡنَ يَدَيۡهِ مِنَ ٱلۡكِتَٰبِ وَمُهَيۡمِنًا عَلَيۡهِۖ

Dan Kami telah turunkan kepadamu Al-Quran dengan membawa kebenaran, membenarkan apa yang telah diturunkan (iatu Kitab-Kitab yang diturunkan sebelumnya) sebagai penyaksi atasnya.

(Surah Al-Maidah : 48)

Ayat ini menyatakan bahawa kedatangan Islam itu membenarkan ajaran yang telah diturunkan oleh Allah Subhanahuwata’ala kepada nabi dan utusan terdahulu. Ajaran Islam yang disampaikan oleh Nabi Muhmmad Sallallahu’alaihiwasallam ialah pelengkap dan penyempurna ajaran yang dibawa oleh nabi dan utusan terdahulu. Oleh itu sepatutnya semua manusia di dunia ini mengambil Islam sebagai satu-satunya peraturan hidup mereka.

6. Kesempurnaan Perundangan (Syari’at)

Islam telah lama terkenal dengan kesempurnaan undang-undangnya. Di dalam syari’at Islam ada medan ijtihad berasaskan  prinsip-prinsip am, kaedah-kaedah kulliyah (umum) dan masalah-masalah usul. Islam membawa prinsip-prinsip umum, kaedah-kaedah bersifat kulli dan masalah-masalah usul yang dapat menunaikan hajat-hajat atau keperluan-keperluan zaman.

Dengan prinsip-prinsip umum, kaedah-kaedah bersifat kulli dan masalah-masalah usul, Islam dapat menunaikan semua keperluan dan hajat manusia dalam menjalani kehidupan di setiap zaman dan tamadun. Walaupun zaman berubah tetapi prinsip-prinsip am, kaedah-kaedah umum dan masalah-masalah usul yang terdapat dalam syari’at Islam tetap dirujuk dan berkemampuan menjawab semua permasalahan kehidupan meliputi hal-hal berkaitan hukum-hukum muamalat, permasalahan sosial, perlembagaan, ekonomi, hubungan kemasyarakatan, kenegaraan, hubungan antarabangsa dan sebagainya.

Islam bukan sahaja sesuai pada zaman dahulu, tetapi tetap sesuai dengan perubahan-perubahan zaman sampailah ke hari kiamat. Dalam Islam tiada apapun yang diabaikan atau di alpakan. Ayat Al-Quran menegaskan seperti berikut :

مَّا فَرَّطۡنَا فِي ٱلۡكِتَٰبِ مِن شَيۡءٖۚ

Tiadalah Kami alpakan sesuatu pun di dalam Al-Kitab.

(Surah Al-An’am : 38)

Ayat atas menjelaskan bahawa segala sesuatu dalam kehidupan manusia boleh dirujukkan kepada kaedah-kaedah yang dibawa oleh al-Quran, yang ditanzilkan oleh Allah Subhanahuwata’ala. Inilah yang dikatakan kesempurnaan perundangan atau syari’at yang dibawa oleh Islam yang diturunkan oleh Allah Subhanahuwata’ala.

Bertolak daripada kelebihan dan keistimewaan yang terkandung dalam risalah Islam ini, maka Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam telah mengiklankan di hadapan orang ramai yang berhimpun semasa mengerjakan hajjatul wida’ (haji perpisahan) dengan ayat yang berbunyi:

ٱلۡيَوۡمَ أَكۡمَلۡتُ لَكُمۡ دِينَكُمۡ وَأَتۡمَمۡتُ عَلَيۡكُمۡ نِعۡمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ ٱلۡإِسۡلَٰمَ دِينٗاۚ

Pada hari ini telah Kusempurnakan untuk kamu dinmu (agamamu), dan telah Ku-cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Ku-ridhai Islam itu menjadi din bagimu.

(Surah Al-Maidah : 3)

Dengan ayat ini Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam mengistiharkan bahawa Islam telah disempurnakan oleh Allah Subhanahuwata’ala dan hanya Islam sahaja satu-satunya din yang diredhai-Nya.

Kerja Musuh-Musuh Islam

Musuh-musuh Islam sentiasa berikhtiar dan mencari jalan untuk menghapuskan Islam. Musuh-musuh Islam di barat dan di timur membuka teropong dan menghala pandangan mereka kepada umat Islam serta mencari jalan untuk memusnahkannya. Mereka berusaha merosakkan generasi Islam sejak dari zaman dahulu hinggalah sekarang. Mereka tidak pernah berhenti daripada usaha  memusnahkan Islam.

Apabila mereka gagal menggunakan besi dan api (gagal dalam penggunaan senjata, pedang dan sebagainya) untuk menghancurkan Islam dan gagalnya tentera salibi menghadapi tentera Salahuddin Al-Ayubi, maka musuh-musuh Islam telah berfikir bagaimana uslub atau cara baru menyerang Islam.

Samalah realitinya, apabila PKM (Parti Komunis Malaya) mengistiharkan genjatan senjata gerila dan tidak mahu berperang lagi, jangan kita fikir bahawa umat Islam sudah aman lalu leka dengan janji tersebut. Sebenarnya mereka ada strategi lain untuk menghancurkan Islam. Ini kita boleh kiaskan juga dengan apa yang telah berlaku kepada tentera salib dulu.  Kita ambil pengajaran bahawa barat dengan timur ada pertalian dan kerja sama. Mereka saling bantu membantu dalam strategi untuk menghancurkan Islam. Antara strateginya ialah melalui serangan pemikiran (al-Ghazwul fikri).

Hakikatnya musuh-musuh Islam di timur dan barat, yang terdiri daripada golongan  misioneris, kristian, orientalis, penjajah, komunis dan yahudi, semua bekerja siang dan malam dengan satu tujuan iaitu untuk mengeluarkan orang Islam daripada Islam. Inilah matlamat mereka iaitu mengeluarkan atau menjauhkan umat Islam daripada ajaran Islam sebenar. Paling kurang mereka menimbulkan keraguan terhadap aqidah Islam itu sendiri. Mereka berusaha bebaskan umat Islam daripada ikatan aqidah, moral dan prinsip-prinsip akhlak yang mulia.

Permusuhan ini terlaksana dalam pelbagai perancangan dan strategi. Jika boleh mereka mahu ke tahap memasukkan orang Islam ke dalam agama mereka. Oleh itu kita perlulah berwaspada dan berikhtiar menjaga aqidah dan keperibadian umat Islam. Kita tidak boleh lepas tangan dalam hal ini kerana ikhtiar itu merupakan satu perkara yang diwajibkan oleh Allah Subhanahuwata’ala. Walaupun Allah Subhanahuwata’ala berjanji akan memenangkan Islam tetapi kita diwajibkan untuk berusaha dan berikhtiar untuk menjaga  Islam.

Janji Kemenangan Islam

Bagaimana hebat sekalipun usaha-usaha jahat yang dirancang oleh musuh Islam, namun Allah Subhanahuwata’ala berjanji bahawa Islam tetap akan dimenangkan.  Terdapat banyak ayat dalam al-Quran dimana Allah Subhanahuwata’ala berjanji mengenai perkara ini, antaranya Surah As-Saff ayat 8, Allah telah berfirman:

يُرِيدُونَ لِيُطۡفِ‍ُٔواْ نُورَ ٱللَّهِ بِأَفۡوَٰهِهِمۡ وَٱللَّهُ مُتِمُّ نُورِهِۦ وَلَوۡ كَرِهَ ٱلۡكَٰفِرُونَ

Mereka ingin memadamkan cahaya Allah dengan mulut (tipu daya) mereka, tetapi Allah (justru) menyempurnakan cahaya-Nya, walau orang kafir membencinya”

(Surah As-Saff : 8)

Janji Allah Subhanahuwata’ala ialah menyempurnakan cahaya-Nya. Namun kita tidak boleh tinggalkan tugas untuk mendukung dan mempertahankan aqidah dan ajaran Islam sebagaimana dilaksanakan oleh Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam dan para sahabat. Allah Subhanahuwata’ala berfirman:

يُرِيدُونَ أَن يُطۡفِ‍ُٔواْ نُورَ ٱللَّهِ بِأَفۡوَٰهِهِمۡ وَيَأۡبَى ٱللَّهُ إِلَّآ أَن يُتِمَّ نُورَهُۥ وَلَوۡ كَرِهَ ٱلۡكَٰفِرُونَ

Mereka berkehendak memadamkan cahaya (agama) Allah dengan mulut (ucapan-ucapan) mereka, dan Allah tidak menghendaki selain menyempurnakan cahaya-Nya, walaupun orang yang kafir tidak menyukai.

(Surah At-Taubah : 32)

Walaupun Allah Subhanahuwata’ala berjanji menyempurnakan cahayanya, namun kita tidak boleh lepas tangan. Kita wajib berusaha, bekerja, mendukung, mengangkat dan mengembangkan Islam di muka bumi ini. InsyaAllah pertolongan Allah Subhanahuwata’ala akan sampai.

Perancangan musuh Islam

Berasaskan penyelidikan dari kalangan umat Islam sendiri, banyak perancangan musuh sedang berjalan, antaranya ialah:

1. Menghapuskan Hukum Islam Di Negara Islam.

Ini telah pun berlaku. Setelah kerajaan Islam terakhir, Khilafah Islamiyah di Turki dijatuhkan, maka pihak salibi telah memainkan peranan menggunakan orang yang dididik dan diasuh oleh mereka, iaitu Mustafa Kamal Atarturk, untuk menukarkan corak pemerintahan Turki daripada pemerintahan Khilafah Islamiyah kepada pemerintahan sekular. Dustur (perlembagaan) dan hukum telah diubah sehinggakan azan pun ditukar ke bahasa Turki. Perempuan-perempuan mereka dilarang menutup aurat dan diperintahkan membuka hijab. Inilah perancangan gerakan salibi  menghapuskan hukum Islam di negara Islam.

2. Cubaan Menghapuskan al-Quran.

Inilah usaha mereka sejak dahulu lagi. Walaupun Allah Subhanahuwata’ala akan tetap memelihara al-Quran namun mereka terus berusaha agar al-Quran  dilenyapkan daripada umat Islam.

Mereka menjalankan usaha supaya umat Islam buta al-Quran. Cara yang mereka gunakan ialah menjauhkan umat Islam daripada al-Quran. Mereka menjalankan program yang menjadikan umat Islam buta al-Quran. Jika boleh mereka mahu  al-Quran hilang daripada lidah atau sebutan umat Islam.

Mereka galakkan umat Islam  bercakap bahasa Arab pasar (ammi) bukan bahasa Arab fushah. Bahasa Arab fushah ialah bahasa Arab yang fasih mengikut uslub dan susunan yang betul. Hatta di Universiti al Azhar pun pensyarah-pensyarah bercakap bahasa Arab ammi. Orang Arab sendiri lebih gemar bercakap bahasa Arab ammi. Ini menunjukkan perancangan musuh untuk menghapuskan bahasa Al-Quran dengan cara halus telah berjalan sekian lama.

3. Menghancurkan Fikrah (Pemikiran) Islam.

Musuh-musuh Islam terus menerus berusaha untuk menghancur dan memusnahkan pemikiran atau fikrah Islam. Mereka berikhtiar putuskan hubungan umat Islam  dengan ajaran Islam, khususnya daripada kalangan generasi muda mudi agar tidak kenal dan memahami hakikat Islam sebenar. Mereka tidak mahu umat Islam berfikir mengikut cara Islam. Dalam ertikata lain mereka mahu umat Islam tidak lagi memiliki fikrah Islam yang betul. Mereka terus berusaha bersungguh-sungguh agar setiap muslim terkeluar daripada ajaran Islam sebenar. Seorang misionari salibi yang bernama Zueyma dalam sebuah muktamar salibi mereka, yang diadakan pada tahun 1935 masihi, telah menukilkan kata-kata berikut, ”Peranan kamu ialah mengeluarkan umat Islam supaya mereka menjadi makhluk yang tiada lagi hubungan dengan Allah dan seterusnya tiada hubungan yang mengikat mereka dengan akhlak-akhlak Islam”. Kata-kata ini ditujukan kepada angkatan kerja dan petugas salibi yang dilatih semenjak tahun 1935 sampailah ke hari ini. Mereka bekerja dan memainkan peranan mereka menghancur dan memusnahkan cara berfikir umat Islam. Mereka berusaha merosak dan menghancurkan umat Islam supaya menjadi makhluk yang tidak ada hubungan dengan Allah Subhanahuwata’ala dan tidak terikat dengan akhlak Islam.

4. Menghapuskan Kesatuan Umat Islam    

Mereka seterusnya berusaha menghapus dan merosakkan kesatuan umat Islam. Mereka berusaha agar umat Islam mundur, lemah, hina dan berpecah belah. Dalam tahun 1907, dalam satu kongres misionari, mereka telah membuat keputusan bahawa orang Islam adalah pihak yang paling merbahaya, bahkan boleh menggugat Eropah. Ahli-ahli kongres itu telah mengambil kata sepakat menyatakan bahawa Islam, jika tidak dihapuskan, boleh menggugat tamadun Eropah. Maka mereka merancang dan menggerakkan usaha-usaha untuk mencegah daripada berlakunya kesatuan umat di kalangan negara-negara Islam khususnya di Timur Tengah. Mereka faham jika wujud kesatuan umat Islam di negara-negara Timur Tengah, kedudukan Eropah dan tamadun barat akan tergugat dan masa depan mereka akan musnah.     Inilah perancangan mereka, yang telah berjalan sekian lama, untuk menjadikan umat Islam kehilangan kesatuan, kehebatan dan kemuliaan. Mereka menghendaki agar Islam tidak lagi memiliki kekuatan, menjadi hina dan umatnya sentiasa bersengketa sesama sendiri serta berpecah belah.

5. Merosakkan Wanita Islam.

Usaha mereka seterusnya ialah mensasarkan kaum wanita Islam. Mereka melaungkan slogan-slogan modenisasi yang mengajak kaum wanita menuntut hak kebebasan wanita dan hak sama rata antara lelaki dan perempuan. Mereka berusaha merosakkan kaum wanita dengan pelbagai cara seperti membuang peraturan berhijab atau menutup aurat. Inilah perancangan musuh yang telah berjalan sekian lama.

Maka tidak hairanlah jika kita lihat dan perhatikan kepada fenomena kehidupan umat Islam kini.  Apa yang terjadi hari ini adalah natijah (hasil) daripada perancangan dan usaha musuh-musuh Islam, khususnya daripada kalangan Yahudi dan Nasrani, yang tidak redha dengan Islam, sepertimana dinyatakan oleh Allah Subhanahuwata’ala dalam al-Quran menerusi firman-Nya iaitu:

وَلَن تَرۡضَىٰ عَنكَ ٱلۡيَهُودُ وَلَا ٱلنَّصَٰرَىٰ حَتَّىٰ تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمۡۗ

Orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan redha kepadamu (wahai Muhammad) sehinggalah engkau menuruti agama mereka (yang terpesong itu).

(Surah Al-Baqarah : 120)

Terdapat banyak lagi perancangan yang mereka jalankan di seluruh dunia. Dalam negara-negara Islam sendiri ada pelbagai cara dan strategi, termasuklah mendiayahkan bahawa bahasa Arab Fushah adalah bahasa yang susah. Mereka mengemukakan dakwaan-dakwaan yang mengatakan bahawa bahasa Arab Fushah itu sudah tidak sesuai di masa sekarang dan sukar untuk dikuasai berbanding dengan bahasa Arab Ammi (bahasa Arab pasar). Inilah satu taktik dan uslub untuk menjauhkan umat Islam daripada ajaran Islam sebenar.

Mereka juga cuba menghidup dan membangunkan kembali tamadun Firaun. Tamadun Firaun diperbesar-besar dan cuba dihidupkan semula.

Mereka juga mendakwa bahawa sebab-sebab kemunduran umat Islam ialah kerana umat Islam berpegang dengan ajaran Islam. Banyak suara di kalangan mereka yang mendakwa sekiranya ingin maju mesti ikut barat, jangan ikut Islam.

Begitulah  musuh-musuh Islam yang terdiri daripada misionari, oreintalis dan penjajah mengatur propaganda untuk menarik masyarakat Islam agar meninggalkan Islam. Mereka mengajak masyarakat ke arah sifat-sifat haiwaniah atau sifat kebinatangan yang hanya ingin makan, puaskan hawa nafsu dan tenggelam dalam kelazatan hidup begitu sahaja. Umat Islam disogokkan dengan pelbagai perancangan bersifat hiburan yang  meleka dan melalaikan.

Umat Islam sebenarnya sentiasa berdepan dengan pelbagai serangan yang datang daripada musuh-musuh Islam. Mereka tidak pernah berhenti menyerang menerusi serangan pemikiran dengan pelbagai taktik, teknik dan strategi.

Manakala kita, sebagai umat Islam, amatlah yakin akan pertolongan Allah Subhanahuwata’ala. Pada masa sama kita kena usaha menangkis serangan musuh setelah kita tahu mereka berada di sekelililing kita. Kita perlu berwaspada dan jangan berpuas hati dengan apa yang disogokkan oleh mereka. Kita perlu bina sahsiah kita yakni  syahsiah ummah  Islam yang berbeza dengan sahsiah yang lain. Apabila kita jaga dan pertahankan syahsiah Islamiah insyaAllah akan terjaga dan terkawallah aqidah kita.

Mudah-mudahan kita sentiasa berada dalam golongan yang mempertahan dan menegakkan Islam. Firman Allah Subhanahuwata’ala :

وَلَيَنصُرَنَّ ٱللَّهُ مَن يَنصُرُهُۚ

Sekiranya kamu menolong Allah(untuk menegakkan deen Allah Subhanahuwata’ala), maka Allah akan menolong kamu.

(Surah Al-Hajj : 40)

Dalam ayat lain Allah Subhanahuwata’ala berfirman:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِن تَنصُرُواْ ٱللَّهَ يَنصُرۡكُمۡ وَيُثَبِّتۡ أَقۡدَامَكُمۡ

Wahai orang beriman, jika kamu menolong Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu.

(Surah Muhammad : 7)

Allah Subhanahuwata’ala berjanji akan memberi pertolongan kepada kita dan menetapkan pendirian kita untuk terus beristiqamah dalam perjuangan kita. Sebab itu kita perlu sentiasa berusaha dengan ikhlas dan berdoa dalam setiap perkara agar Allah Subhanahuwata’ala mengampunkan segala kesilapan, kelemahan dan keterlanjuran kita. Kita perlu selalu meminta agar Allah tetapkan kaki kita, yakni pendirian kita, dan berjaya mengatasi orang kufur.

 Oleh: Ustaz Omar Haji Salleh

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *