Home / Dasar Umum Islam / Keperibadian / Bersyukur Kepada Allah Subhanahuwata’ala Atas Nikmat-Nya Yang Amat Banyak

Bersyukur Kepada Allah Subhanahuwata’ala Atas Nikmat-Nya Yang Amat Banyak

Nikmat Allah Subhanahuwta’ala yang banyak

Marilah kita terus bersyukur ke hadrat Allah Subhanahuwata‘ala kerana kita terpilih menjadi orang yang beriman ditengah-tengah majoriti masyarakat dunia yang tidak beriman kepada Allah Subhanahuwata‘ala.

الحمد لله الذى هدانا لهذا وما كنا لنهتدي لولا أن هدانا الله

Puji-pujian dirafa’kan kepada Allah Subhanahuwata‘ala yang telah memberi hidayah kepada kita ke jalan ini (jalan iman atau jalan Islam).

Sebenarnya kita tidak akan mendapat hidayah itu sekiranya tidak dikurniakan oleh Allah Subhanahuwata‘ala.

Hakikatnya, nikmat Allah Subhanahuwata‘ala ke atas kita tidak terhitung banyaknya. Allah Subhanahuwata‘ala telah tegaskan di dalam al-Quran ayat 34 Surah Ibrahim:

وَإِن تَعُدُّواْ نِعۡمَتَ ٱللَّهِ لَا تُحۡصُوهَآۗ

Jika kamu menghitung nikmat Allah, nescaya kamu tidak dapat (tidak mampu) menghitungnya.

(Surah Ibrahim: 34)

Oleh itu wajarlah kita sentiasa bersyukur ke hadrat Allah Subhanahuwata‘ala. Ustaz Muhammad Syadid di dalam kitabnya: منهج القرءان في التربية menjelaskan bahawa kepekaan yang berterusan terhadap nikmat-nikmat Allah dan kurniaan-Nya, akan menyuburkan lagi rasa cinta kepada Allah Subhanahuwata‘ala dan mengangkat jiwa kepada maqam (martabat) syukur.

Cara bersyukur kepada Allah atas segala nikmat-Nya,  tidaklah hanya sekadar dengan ucapan lisan ‘Alhamdulillah’ (الحمد لله), bahkan bersyukur dalam bentuk amali dan praktikal akan membuktikan seseorang itu benar-benar bersyukur ke hadrat Allah Subhanahuwata‘ala.

Nikmat Allah Subhanahuwata‘ala sangat banyak:

  1. Pancaindera dan anggota tubuh badan adalah nikmat Allah Subhanahuwata‘ala. Apabila digunakan dan dimanafaatkan pancaindera dan anggota-anggota badan itu pada perkara-perkara, kerja-kerja dan aktiviti-aktiviti yang diredhai oleh Allah Subhanahuwata‘ala maka seseorang itu dikira telah bersyukur kepada Allah Subhanahuwata‘ala.
  1. Aqal yang baik lagi waras adalah nikmat Allah Subhanahuwata‘ala. Apabila akal itu digunakan dan dimanafaatkan untuk memahami kitab Allah dan din Allah (دين الله), juga berfikir terhadap nikmat dan kejadian-kejadian ciptaan Allah Subhanahuwata‘ala, maka ia termasuk di dalam ertikata bersyukur ke hadrat Allah Subhanahuwata‘ala.
  1. Harta benda dan wang ringgit adalah nikmat Allah Subhanahuwata‘ala. Apabila harta benda itu diinfaqkan dan dibelanjakan pada Jalan Allah ( فى سبيل الله ) atau di dalam batas-batas syara’ atau pada perkara-perkara yang dihalalkan oleh syara’, maka ia juga dinamakan bersyukur ke hadrat Allah Subhanahuwata‘ala.
  1. Ilmu pengetahuan, kemahiran dan kepakaran adalah nikmat Allah Subhanahuwata‘ala. Apabila dimanafaatkan untuk kebaikan diri dan disebarkan, dikembangkan dan disampaikan untuk kebaikan ummah, maka ia juga dikira bersyukur ke hadrat Allah Subhanahuwata‘ala.

Nikmat yang paling besar

Sesungguhnya nikmat Allah itu amat banyak dan tidak termampu kita menghitungnya satu persatu.

Namun, sewajarnya kita menyedari bahawa nikmat Allah yang paling besar ialah nikmat iman dan nikmat Islam (نعمة إيمان – نعمة إسلام). Atau dengan kata lain: nikmat kita mendapat Hidayah Allah Subhanahuwata‘ala. Maka tanda kesyukuran kita kepada Allah Subhanahuwata‘ala yang telah mengurniakan nikmat agung itu, hendaklah kita benar-benar beriman dan menerima din Islam seluruhnya tanpa sebarang penolakan.

Firman Allah Subhanahuwata‘ala dalam ayat 208 Surah al Baqarah:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱدۡخُلُواْ فِي ٱلسِّلۡمِ كَآفَّةٗ وَلَا تَتَّبِعُواْ خُطُوَٰتِ ٱلشَّيۡطَٰنِۚ إِنَّهُۥ لَكُمۡ عَدُوّٞ مُّبِينٞ ٢٠٨

Wahai orang yang beriman masuklah (anutlah) Islam seluruhnya dan janganlah kamu mengikut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh kamu yang nyata (musuh ketat terhadap manusia).

(Surah Al-Baqarah: 208)

Islam: Din yang sempurna dan selamat

Islam adalah din Allah Subhanahuwata‘ala yang sempurna, meliputi peraturan, aqidah, ibadah, akhlak dan apa jua yang menyentuh kehidupan manusia dan alam seluruhnya. Ini kerana Islam diturunkan oleh Allah Subhanahuwata‘ala untuk manusia dan alam seluruhnya. Allah Maha Mengetahui apakah jalan hidup yang baik dan selamat untuk makhluk-Nya di dunia dan akhirat nanti. Oleh itu kita sewajibnya bersyukur ke hadrat Allah Subhanahuwata‘ala kerana kita terpilih untuk beriman dan menerima din Allah, yakni din Islam yang dibawa oleh para rasul, dan rasul yang terakhir ialah Rasulullah Nabi Muhammad Sallallahu‘alaihiwasallam, dimana Islam itu disempurnakan pada zaman kerasulan Nabi Muhammad Sallallahu‘alaihiwasallam berdasarkan kepada ayat 3 Surah al-Maidah:

ٱلۡيَوۡمَ أَكۡمَلۡتُ لَكُمۡ دِينَكُمۡ وَأَتۡمَمۡتُ عَلَيۡكُمۡ نِعۡمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ ٱلۡإِسۡلَٰمَ دِينٗاۚ

Pada hari ini (hari diturunkan ayat ini, di ‘arafah pada masa Nabi Muhammad Sallallahu’alaihiwasallam mengerjakan hajjatul wida’ (حجة الوداع) tahun 10 Hijrah ). Aku telah sempurnakan bagi kamu din kamu dan Aku telah sempurnakan atas kamu nikmat-Ku dan Aku redhalah Islam itu sebagai din kamu

(Surah Al-Maidah: 3)

Penentu kebenaran

Walaupun Islam itu din Allah dan diberi jaminan selamat dunia dan akhirat oleh Allah Subhanahuwata‘ala kepada sesiapa yang benar-benar menganutnya, tetapi majoriti manusia dan umat di dunia ini tidak menerimanya, bahkan menentangnya. Dan telah ternyata buktinya di dalam sejarah bahawa kebanyakan manusia menentang dan menolak ajaran Allah Subhanahuwata‘ala yang telah dibawa oleh para Rasul sehingga ada sebilangan nabi dan rasul yang dibunuh seperti Nabi Zakaria Alaihissalam dan Nabi Yahya Alaihissalam. Mereka dibunuh oleh orang Yahudi.

Bahkan, Nabi Muhammad Sallallahu‘alaihiwasallam sendiri dikepung di rumah baginda oleh masyarakat Arab Quraisy untuk membunuh baginda. Namun ia tidak diizinkan oleh Allah Subhanahuwata‘ala, yang mana akhirnya berlakulah peristiwa Hijrah Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam dari Makkah ke Kota Madinah (Yathrib) seperti yang terakam di dalam sirah Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam.

Satu persoalan, apakah penentu kebenaran itu berdasarkan bilangan sokongan? (ramai orang menyokong atau tidak ada orang menyokong?). Sebenarnya penentuan kebenaran (الحق) bukanlah ditentukan oleh manusia tetapi ditentukan oleh Allah Subhanahuwata‘ala berdasarkan ayat 147 Surah al Baqarah:

ٱلۡحَقُّ مِن رَّبِّكَ فَلَا تَكُونَنَّ مِنَ ٱلۡمُمۡتَرِينَ ١٤٧

Kebenaran itu datangnya daripada Allah (Pencipta, Pemilik, Penjaga kamu ), maka janganlah sekali-kali kamu termasuk di dalam golongan orang yang ragu.

(Surah Al-Baqarah: 147)

Juga didasarkan kepada Qaedah Syara’:

الحسن ما حسنه الشرع والقبيح ما قبحه الشرع

Perkara yang baik ialah apa yang dihukum baik oleh syara’ (oleh Allah) dan perkara yang buruk ialah apa yang dihukum buruk oleh syara’ (oleh Allah).

Oleh itu apabila terdapat percanggahan antara apa-apa yang ditetapkan oleh syara’ (oleh Allah) dengan penilaian manusia yang mengikut hawanafsu, maka mestilah diambil pakai apa-apa yang ditentukan/dihukumkan oleh syara’. Dengan ini, barulah tepat dengan pengakuan-pengakuan kita: kita hamba Allah, kita penganut Islam, kita orang yang beriman, kita ahlussunnah wal jama’ah (أهل السنة والجماعة), kita generasi rabani dan pengakuan-pengakuan lain yang bersifat Islam.

Marilah sama-sama kita bina keyakinan diri kita yang tidak berbelah bahagi kepada din Allah (din Islam) dan marilah sama-sama kita berusaha dengan penuh rasa taqwa dan bertanggungjawab kepada Allah Subhanahuwata‘ala bagi meletakkan kembali Islam dalam kehidupan masyarakat, setelah ia terabai atau diabaikan oleh majoriti manusia.

Semoga kita – dengan izin Allah Subhanahuwata‘ala – dapat berkongsi pahala dan ganjaran baik di sisi-Nya. Allah Subhanahuwata‘ala berfirman dalam ayat 22 Surah Luqman:

۞وَمَن يُسۡلِمۡ وَجۡهَهُۥٓ إِلَى ٱللَّهِ وَهُوَ مُحۡسِنٞ فَقَدِ ٱسۡتَمۡسَكَ بِٱلۡعُرۡوَةِ ٱلۡوُثۡقَىٰۗ وَإِلَى ٱللَّهِ عَٰقِبَةُ ٱلۡأُمُورِ ٢٢

Sesiapa yang menyerah dirinya kepada Allah (dengan penuh keikhlasan), sedang ia berusaha melaksanakan kebaikan, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan tali (din Islam) yang kukuh. Dan (ingatlah) kepada Allah tempat kembali (kesudahan) segala urusan.

(Surah Luqman: 22)

Rujukan:

Khutbah Ustaz Omar Haji Salleh

(4 Rejab 1425H, 20 Ogos 2004)

Check Also

Menahan Bisikan Nafsu Dan Gejolak Jiwa

Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersabda: إِذَا حَاكَ فِي قلبِكَ شَيْءٌ فَدَعْهُ Apabila ada sesuatu yang bergejolak dalam …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *