Home / Tsaqafah / Fiqh Islam / Bersuci: Mandi Wajib

Bersuci: Mandi Wajib

Mandi wajib ialah mandi yang bertujuan menyucikan seseorang daripada hadas besar agar sah ibadahnya.

Sebab-sebab Dimestikan Mandi Wajib

  1. Janabah/Junub
  2. Haid
  3. Wiladah
  4. Nifas
  5. Mati

1. Janabah/Junub

 Sebab-sebab seseorang itu berjunub ialah:

  • Keluar air mani, samada daripada kalangan orang lelaki atau orang perempuan, dengan cara bermimpi, bermain-main, melihat sesuatu yang menaikkan nafsu, berfikir yang bukan-bukan atau keluar mani tanpa apa-apa sebab.
  • Berjima’ atau bersetubuh sekalipun tanpa keluar mani. Seseorang yang melakukan jima’ dikira berjunub walaupun tidak keluar air mani. Yang dimasukkan dengan jima’ ialah memasukkan kepala zakar ke dalam lubang faraj sekalipun faraj binatang atau mayat.

 Seseorang yang berjunub wajib baginya melakukan mandi wajib, untuk mensucikan dirinya, bagi membolehkannya melakukan ibadah seperti solat.

2. Haid dan Istihadhah

Haid, dari segi bahasa bererti mengalir. Dari segi syara’ haid ialah darah tabiat yang keluar dari pangkal rahim perempuan selepas ia baligh dalam keadaan sihat jasmaninya pada waktu-waktu tertentu.

Haid ialah suatu tabiat yang dialami oleh kebanyakan wanita. Seorang wanita mungkin mengalami haid dengan kekerapan dua kali dalam sebulan, sekali dalam empat bulan, sekali dalam enam bulan atau sekali dalam setahun.

Bagi seseorang yang mengalami haid, setelah tamat tempoh haidnya, maka wajib baginya melakukan mandi wajib, untuk mensucikan dirinya, bagi membolehkannya melakukan ibadah seperti solat.

Istihadhah pula ialah darah yang keluar daripada rahim wanita melalui farajnya di luar dari tempoh haid atau nifas. Darah istihadhah ialah darah penyakit yang kemungkinan disebabkan oleh kerosakan organ tubuh atau disebabkan oleh  kesihatan yang tidak stabil.

Seseorang wanita yang mengalami istihadhah, wajib baginya melakukan solat, puasa dan ibadah wajib yang lain. Untuk melakukan solat fardhu, wajiblah dia menyucikan darah tersebut sebelum melakukan solat. Dia wajib mengikuti peraturan berikut secara tertib:

  • Melakukan hal berikut setelah masuk waktu solat.
  • Bersuci dan memakai sesuatu untuk menahan keluarnya darah.
  • Berwudhuk
  • Terus melakukan solat

Kaifiat sebegini wajib dilakukan pada setiap kali hendak menunaikan solat fardhu. Adapun untuk solat-solat sunat, harus ia mengerjakan seberapa banyak solat sunat yang ia mahu dengan satu wudhuk.

3. Wiladah

 Wiladah bererti beranak, bersalin atau melahirkan anak. Sekiranya seseorang wanita melahirkan anak (samada anak tersebut sempurna sifatnya ataupun tidak, seperti berlakunya keguguran sekalipun berupa segumpal daging) walaupun tidak diiringi dengan darah, maka hukum bagi wanita itu ialah wajib melakukan mandi wajib (sama seperti orang berjunub).

Seorang wanita dikira wiladah meskipun bayi dilahirkan melalui proses pembedahan. Wanita itu wajib melakukan mandi wajib setelah selesai melahirkan anak dan bertenaga kembali.

Apabila kelahiran diiringi dengan darah, maka darah itu disebut darah nifas.

4. Nifas

Pengertian nifas dari segi bahasa bermaksud kelahiran atau melahirkan. Dari sudut syarak pula ialah darah yang keluar sesudah kosongnya rahim daripada anak.

Imam As-Syafi’e  RH menambah bahawa darah yang keluar di antara dua bayi yang lahir kembar tidak dinamakan darah nifas. Darah itu ialah darah fasid (rosak). Dengan ini wajiblah siibu melakukan solat jika keluar darah sebelum melahirkan anak (pecah ketuban). Jika tidak ada kemampuan, maka wajib beliau qada’.

Perkara Yang Haram Dilakukan Oleh Seseorang Yang Berjunub Atau Berhadas Besar

  1. Solat fardhu atau solat sunat.
  2. Berhenti dalam masjid atau duduk dalamnya. Di ketika ada keperluan, seseorang yang berjunub hanya dibolehkan lalu atau melintasi masjid.
  3. Tawaf fardhu atau tawaf sunat
  4. Membaca Al-Quran. Tetapi jika diniatkan sebagai wirid, doa atau mengambil dalil, maka hukumnya adalah harus.
  5. Menyentuh atau menanggung Al-Quran, termasuk menyentuh kertasnya atau kulitnya.

 Rukun-rukun Mandi Wajib

  1. Menghilangkan apa-apa benda yang mencegah air daripada sampai kepada ke kulit, kuku dan bulu.
  2. Niat pada permulaan Lafaznya:

Sahaja aku mandi wajib….” ataupun “ Sahaja aku mengangkat hadas besar fardhu ke atasku kerana Allah Ta’ala.”

  1. Membasuh dengan air ke semua zahir tubuh yang meliputi kulit, kuku dan bulu. Oleh itu:
  • Wajib menyampaikan air ke akar rambut dan kulit kepala.
  • Wajib menyampaikan air ke bawah kuku.
  • Wajib menyampaikan air ke bahagian lubang dubur yang zahir (ketika buang air besar) dan kawasan zahir faraj ketika duduk. Kerana itu ada ulama’ mengatakan wajib duduk ketika membasuh tempat-tempat tersebut ketika mandi wajib kerana dibimbangi air tidak sampai kepadanya. Begitu juga wajib membasuh lapisan di bawah kulit zakar bagi mereka yang belum berkhatan.
  • Tidak wajib tertib di dalam membasuh anggota. Dibolehkan seseorang itu memulakan dengan kaki atau anggota-anggota lain. Tetapi yang afdhal memulakan basuhan di kepala.

 Amalan Sunat Ketika Mandi 

  1. Membaca bismillah ( بسم الله الرحمن الرحيم ) dan mengadap kiblat di permulaan hendak mandi.
  2. Membasuh kedua tangan dan menggunakan tangan kiri untuk membasuh kemaluan dan najis-najis yang ada pada badan.
  3. Mengambil wudhuk.
  4. Menyelati rambut di kepalanya sebanyak tiga kali.
  5. Memandikan bahagian kanan (bermula di bahu kanan) anggota badan kemudian diikuti dengan bahagian kiri.
  6. Menggosok-gosok seluruh tubuh dengan kedua tangan.
  7. Menekankan basuhan pada lipatan-lipatan di badan atau lubang-lubang di badan seperti ketiak, lipatan perut, lubang pusat, sekitar lubang telinga, lubang hidung dan sebagainya.

 _____________________________________________

Rujukan:

Panduan Fardhu Ain Lengkap, Abu Al-Baqir Ad-Dusuqi

Check Also

Bersuci: Wudhuk

Pengertian 1. Wudhuk ertinya membasuh dan menyapu anggota badan yang tertentu dengan niat yang tertentu. …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *