Home / Jalan Dakwah & Tarbiah / Fiqh Dakwah / Bermanfaat Kepada Orang Lain

Bermanfaat Kepada Orang Lain

Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda:

خَيْرُ النَّاسِ أَنْفَعُهُمْ لِلنَّاسِ

Sebaik-baik manusia adalah orang paling bermanfaat bagi orang lain.

(Riwayat Ibn Hibban)[1]

SEKILAS PENJELASAN

Dalam hadits atas, Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam menjelaskan bahawa kita boleh menjadi orang yang terbaik di mata Allah Subhanahuwata‘ala mahupun di mata manusia dengan cara banyak memberikan kemanfaatan kepada orang lain. Semakin banyak kemanfaatan yang boleh kita berikan kepada mereka, bermakna semakin baik pula kedudukan kita di sisi Allah Subhanahuwata‘ala mahupun di sisi manusia.

HIKMAH TARBAWIYAH

Penilaian kebaikan dan keburukan

  1. Penilaian dalam mengukur baik atau buruk mestilah berpandukan Al-Quran dan As-Sunnah

Penilaian baik atau buruk terhadap seseorang atau kelompok hendaklah berlandaskan nilai Al-Quran dan As-Sunnah. Jika bersesuaian dengan Al-Quran dan As-Sunnah, maka ia adalah baik. Jika bertentangan dengan Al-Quran dan As-Sunnah, maka ia adalah buruk. Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda:

من عمل عملًا ليس عليه غيرُ أمرِنا فهو رَدٌّ

Barangsiapa melakukan suatu amalan yang tiada perintah daripada kami, maka amalan itu pasti tertolak.

(Riwayat Muslim)[2]

  1. Ukuran syari’at bersesuaian dengan fitrah manusia

Kebaikan yang diseru oleh syari’at seperti keadilan, kejujuran, kesetiaan dan kasih sayang diterima oleh fitrah semua manusia. Namun, penguasaan syahwat dan sifat ammarah (marah)  kadang-kadang membuatkan seseorang memilih ukuran yang lain, selain daripada syari’at, untuk menentukan samada ssesuatu baik atau buruk.

Kadang-kadang (bahkan sering) seseorang memandang baik terhadap apa-apa yang membuat dirinya senang dan memandang buruk terhadap apa-apa yang membuat dirinya susah atau menderita. Ini bertentangan dengan ayat surah al-Baqarah, ayat 216:

كُتِبَ عَلَيۡكُمُ ٱلۡقِتَالُ وَهُوَ كُرۡهٞ لَّكُمۡۖ وَعَسَىٰٓ أَن تَكۡرَهُواْ شَيۡ‍ٔٗا وَهُوَ خَيۡرٞ لَّكُمۡۖ وَعَسَىٰٓ أَن تُحِبُّواْ شَيۡ‍ٔٗا وَهُوَ شَرّٞ لَّكُمۡۚ وَٱللَّهُ يَعۡلَمُ وَأَنتُمۡ لَا تَعۡلَمُونَ

Diwajibkan atas kamu beperang, padahal berperang itu adalah sesuatu yang kamu benci. Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui sedangkan kamu tidak mengetahui.

(Surah Al-Baqarah :216)

  1. Penilaian syari’at adalah ukuran yang adil dan saksama.

Ukuran syari’at sebenarnya disesuaikan mengikut kemampuan seseorang. Sebagai contohnya, orang yang memberikan bantuan sebanyak RM10 berkemungkinan lebih baik daripada orang yang memberikan bantuan sebanyak RM100. Ini kerana bantuan RM10 itu mungkin datang daripada semua wang yang dimiliki oleh pemiliknya dan diberikan penuh keikhlasan, tanpa matlamat keduniaan. Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam  bersabda:

قال يا رسولَ اللهِ فَأيُّ الصَّدَقَةِ أفضلُ ؟ قال : جَهْدُ المُقِلِّ

Sahabat bertanya : Wahai Rasulullah apakah sedekah yang paling utama? Rasulullah menjawab : sedekah yang dikerahkan oleh orang yang memiliki sedikit harta.

(Riwayat Albani)[3]

 

Mengapa orang paling bermanfaat adalah orang terbaik?

 Orang yang paling banyak memberi manfaat kepada orang lain akan menjadi orang terbaik kerana:

  1. Beliau menjadi orang paling dicintai Allah Subhanahuwata‘ala.

Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam  bersabda:

أحَبُّ النَّاسِ إلى اللهِ أنفَعُهم للنَّاسِ

Orang paling dicintai Allah adalah orang yang paling bermanfaat bagi orang lain.

(Riwayat at-Tabrani)[4]

  1. Beliau melakukan amalan terbaik.

Dalam kaedah usul fiqh, telah ditetapkan bahawa kebaikan yang manfaatnya memberi kesan kepada orang lain lebih utama daripada kebaikan yang manfaatnya hanya boleh dirasai oleh pelakunya sahaja. Jadi orang yang paling banyak dalam memberikan manfaat kepada orang lain bermakna ia telah melakukan kebaikan yang paling utama sehingga wajar ia menjadi orang terbaik.

  1. Beliau melakukan kebaikan yang sangat besar pahalanya.

Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam lebih mengutamakan amalan yang memberikan manfaat kepada orang lain yang memerlukan bantuan daripada beriktikaf sebulan penuh di Masjid Nabawi. Baginda bersabda:

لَأَنْ أمشيَ مع أخٍ لي في حاجةٍ أحَبُّ إليَّ مِن أنْ أعتكِفَ في هذا المسجِدِ يعني مسجِدَ المدينةِ شهرًا

Seandainya aku berjalan bersama saudaraku untuk memenuhi suatu keperluan, maka hal itu lebih aku cintai daripada iktikaf sebulan di masjid ini iaitu masjid madinah nabawi selama sebulan.

(Riwayat at-Tabrani)[5]

  1. Kebaikan yang dilakukan akan mengundang kesaksian dan pujian orang beriman.

Kesaksian dan pujian orang beriman akan menentukan posisi seseorang di sisi Allah Subhanahuwata‘ala. Ibnu Mas’ud berkata:

Apa yang dipandang baik oleh orang muslim, bererti ia juga baik pada pandangan Allah.

 LANGKAH-LANGKAH AMALIYAH 

  1. Meningkatkan keimanan

Orang yang memiliki kekuatan iman sahaja yang akan mampu berbuat kebaikan dan kemanfaatan sebanyak-banyaknya untuk faedah orang lain. Beliau juga meyakini bahawa Alllah Maha Kaya dan tidak akan membiarkannya dalam keadaan susah akibat terlalu banyak memberi manfaat kepada orang lain. Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam  bersabda:

أنفِقْ يا بِلالُ ولا تَخْشَ مِن ذي العَرْشِ إِقلالًا

Bersedekahlah wahai Bilal, jangan khuatir Rab pemilik ‘Arasy akan menurunkan rezekimu.

(Riwayat at-Tabrani)[6]

  1. Mengikis sifat ego dan tamak terhadap kebendaan

 Selagi mana dua sifat ini menguasai diri seseorang, maka beliau hanya akan memikirkan untuk kesenangan dan kemaslahatan peribadinya sahaja. Oleh itu, sifat ini mesti dikikis dan digantikan dengan sifat itsar (mendahulukan orang lain)dan qana’ah sehingga mampu memberikan yang terbaik kepada orang lain. Firman-Nya:

وَٱلَّذِينَ تَبَوَّءُو ٱلدَّارَ وَٱلۡإِيمَٰنَ مِن قَبۡلِهِمۡ يُحِبُّونَ مَنۡ هَاجَرَ إِلَيۡهِمۡ وَلَا يَجِدُونَ فِي صُدُورِهِمۡ حَاجَةٗ مِّمَّآ أُوتُواْ وَيُؤۡثِرُونَ عَلَىٰٓ أَنفُسِهِمۡ وَلَوۡ كَانَ بِهِمۡ خَصَاصَةٞۚ وَمَن يُوقَ شُحَّ نَفۡسِهِۦ فَأُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ

Mereka (orang Ansar) tiada menaruh keinginan dalam hati mereka terhadap apa-apa yang diberikan kepada mereka (orang muhajirin) atas diri mereka sendiri. Sekalipun mereka memerlukan (apa yang mereka berikan itu). Dan sesiapa yang dipelihara daripada kekikiran dirinya, mereka itulah orang yang beruntung.

(Surah Al-Hasyr: 9)

  1. Menyedari bahawa hartanya yang sebenar ialah harta yang diberikan kepada orang lain

Seorang muslim hendaklah menyedari bahawa semua harta kekayaan yang dimiliki akan meninggalkannya ketika beliau masuk ke dalam kubur dan tidak dapat membantunya. Manakala harta yang telah disedekahkan kepada orang lain, akan menemaninya dan membelanya.

  1. Menyedari bahawa sebagaimana kita memperlakukan, maka begitu pula kita akan diperlakukan

Seorang muslim hendaklah menyedari bahawa apa yang dilakukannya terhadap orang lain akan berbalik kepada dirinya jua. Kalau ia banyak membantu orang dalam kesusahan, maka akan banyak orang yang membantunya ketika ia mengalami kesusahan, dan begitulah sebaliknya. Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam  bersabda:

كما تدين تدان

Sebagaimana kamu memperlakukan, begitu pula kamu akan diperlakukan.

(Riwayat Baihaqi)[7]

Kesedaran ini akan mendorong orang muslim untuk banyak memberikan bantuan dan pertolongan kepada orang lain dengan harapan Allah Subhanahuwata‘ala  akan memberikan bantuan dan pertolongan kepadanya pula.

  1. Merangsang diri muslim untuk menyediakan bekalan

 Seorang muslim hendaklah bersungguh-sungguh menyediakan bekalan harta dengan bekerja, bekalan tenaga dan fikiran dengan memelihara kesihatan dan mengasah fikiran, serta bekalan waktu dengan cara memanfaatkan waktu sebaik-baiknya. Apabila cukup bekalan maka mudahlah baginya untuk memberi manfaat kepada orang lain. Kata-kata hikmah:

Seseorang yang tidak mempunyai sesuatu tidak dapat memberikan sesuatu.

 Kita perlu memiliki harta, ilmu, pengalaman dan iman supaya dapat berkhidmat kepada orang lain.

Rujukan utama:

Syarah Lengkap Arba’in Tarbawiyah, Fakhruddin Nursyam, Lc.

[1] Al-Majruhin, no.hadits atau juzu : 2/48

[2] Sahih Muslim, no.hadits : 1718

[3] Al-Iman li Ibn Taimiah, no.hadits : 251

[4] Al-Mu’jam Al-Ausot, no.hadits dan juzu’ : 6/139

[5] Al-Mu’jam Al-Ausot, no.hadits dab juzu’ : 6/139

[6] Al-Mu’jam Al-Ausot, no.hadits dan juzu’ : 3/86

[7] Al-Asma’ wa As-Sifat, no.hadits dan juzu’ : 1/140

Check Also

Berilah Peringatan

Firman Allah Subhanahuwata’ala: وذكر فان الذكرى تنفع المؤمنين Dan tetaplah memberi peringatan, maka sesungguhnya peringatan …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *