Home / Jalan Dakwah & Tarbiah / Fiqh Dakwah / Berilah Peringatan

Berilah Peringatan

Firman Allah Subhanahuwata’ala:

وذكر فان الذكرى تنفع المؤمنين

Dan tetaplah memberi peringatan, maka sesungguhnya peringatan itu memberi faedah kepada orang mukmin.

(Adz-Dzariyat : 55)

Ayat ini menjelaskan bahawa orang beriman akan mendapat manfaat daripada peringatan. Berkesannya peringatan pada diri adalah ciri orang yang beriman dengan Allah Subhanahuwata’ala.

Peringatan terbahagi kepada dua:

1. Peringatan untuk diri.

Yakni peringatan untuk diri pendakwah sendiri. Dalam konteks ini, setiap pendakwah perlu ingat selalu bahawa kerja­nya adalah fisabilillah (di jalan Allah Subhanahuwata’ala). Pendakwah berkerja tidak bertujuan mendapatkan pujian daripada manusia. Juga pendakwah tidak menunggu ucapan terima kasih daripada sesiapa samada secara langsung atau tidak langsung. Pendakwah perlu benar-benar ikhlas. Pendakwah perlu sentiasa ingat kepada Allah Subhanahuwata’ala dan Rasul-Nya.

Firman Allah Subhanahuwata’ala :

وما امروا الا ليعبدوا الله مخلصين له الدين حنفاء ويقيموا الصلاة ويؤتوا الزكاة وذلك دين القيمة

Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ketaatan kepada-Nya dalam (menjalankan) din yang lurus

(Al-Bayyinah: 5)

Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersabda:

إنما الأعمال بالنيات و إنما لكل امرئ ما نوى

Sesungguhnya setiap amalan dengan niat. Dan sesungguhnya bagi tiap-tiap seorang mengikut apa yang ia niatkan

Pendakwah perlu sentiasa sedar akan matlamat dan risalah yang dibawanya. Setiap perkataan, kerja dan langkahnya adalah kerana Allah Subhanahuwata’ala. Setiap sumbangan yang ditaburnya adalah semata-mata untuk menjamin keselamatannya di akhirat nanti, bukan bermatlamatkan duniawi. Peringatan seperti ini menjadikan jiwa pendakwah bersemangat untuk melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan oleh Allah Subhanahuwata’ala, tanpa rasa jemu atau rasa takut dikritik, selagimana dia berada dalam kebenaran.

2. Peringatan untuk orang lain.

Pendakwah perlu faham bahawa dirinyalah yang perlu memikul tanggungjawab berdakwah, amar ma’aruf dan nahi mungkar. Tugas menyeru kepada ma’aruf dan mencegah kemungkaran perlu dijalankan pada setiap waktu, selagimana ia masih hidup.

Termasuk dalam tugas memberi peringatan kepada orang lain ialah mengajak manu­sia lain kepada kebenaran (Al-Haq). Dan, termasuk juga dalam tugas memberi peringatan kepada orang lain ialah berkumpul, bermesyuarat, memberi pandangan dan berfikir untuk membangunkan din Allah Subhanahuwata’ala agar kembali berdaulat dalam segala aspek kehidupan manusia.

Oleh: Dato’ Kaya Bakti Ustaz Dahlan Mohd Zain

Disunting oleh: Abu Taqiy Hussein

 

 

Check Also

Bermanfaat Kepada Orang Lain

Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda: خَيْرُ النَّاسِ أَنْفَعُهُمْ لِلنَّاسِ Sebaik-baik manusia adalah orang paling bermanfaat bagi orang …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *