Home / Jalan Dakwah & Tarbiah / Fiqh Dakwah / Berdakwah kepada Allah SWT

Berdakwah kepada Allah SWT

  1. Pengertian Berdakwah Kepada Allah SWT

Dakwah bermaksud tuntutan dan seruan. Berdakwah kepada Allah SWT bermaksud menyeru manusia kepada Allah SWT dan menuntut (mengajak) mereka supaya beriman kepada Allah SWT dan mengikut syariat-Nya. Semua rasul merupakan para pendakwah menurut pengertian di atas.

Firman Allah SWT kepada nabi-Nya Muhammad SAW:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّبِيُّ إِنَّآ أَرۡسَلۡنَٰكَ شَٰهِدٗا وَمُبَشِّرٗا وَنَذِيرٗا ٤٥ وَدَاعِيًا إِلَى ٱللَّهِ بِإِذۡنِهِۦ وَسِرَاجٗا مُّنِيرٗا ٤٦

Wahai nabi, sesungguhnya Kami mengutusmu sebagai saksi (terhadap umatmu) dan pembawa berita gembira (kepada orang yang beriman) serta pemberi amaran (kepada orang yang ingkar). Dan juga sebagai penyeru (umat manusia seluruhnya) kepada agama Allah dengan taufiq yang diberi-Nya dan sebagai lampu yang menerangi. (Surah Al-Ahzab:45-46)

Ini merupakan satu kemuliaan yang besar bagi seorang muslim agar ia melaksanakan tugas para anbiya dalam menyampaikan seruan Allah SWT kepada manusia dan memperkenalkan mereka akan jalan kebaikan dan petunjuk.

  1. Hukum Berdakwah Kepada Allah SWT

Berdakwah kepada Allah SWT adalah satu tuntutan kerana ia merupakan satu proses ta’lim (pengajaran) dan tarbiah (pendidikan dan pembentukan). Di atas pelaksanaan tuntutan inilah maka akan tertegaknya asas-asas kebahagiaan dunia dan akhirat. Allah SWT telah memerintahkan nabi-Nya untuk melaksanakan tugas ini. Kesimpulannya tugas berdakwah merupakan satu kefardhuan syar’ie dan dan keperluan dharuri bagi manusia. Banyak dalil daripada al-Quran dan hadis tentang kefardhuan melaksanakan dakwah. Antaranya adalah firman Allah SWT:

ٱدۡعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِٱلۡحِكۡمَةِ وَٱلۡمَوۡعِظَةِ ٱلۡحَسَنَةِۖ وَجَٰدِلۡهُم بِٱلَّتِي هِيَ أَحۡسَنُۚ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعۡلَمُ بِمَن ضَلَّ عَن سَبِيلِهِۦ وَهُوَ أَعۡلَمُ بِٱلۡمُهۡتَدِينَ ١٢٥

Serulah ke jalan Rabbmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik. Sesungguhnya Rabbmu, Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat daripada jalan-Nya dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk.(Surah An-Nahl: 125)

Allah SWT telah memerintahkan orang yang beriman agar berdakwah dengan firman-Nya:

وَلۡتَكُن مِّنكُمۡ أُمَّةٞ يَدۡعُونَ إِلَى ٱلۡخَيۡرِ وَيَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَيَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۚ وَأُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ ١٠٤

Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam) dan menyuruh berbuat segala perkara yang makruf (baik), serta melarang daripada segala yang mungkar/salah (buruk dan keji) dan mereka yang bersifat demikian ialah orang yang berjaya. (Surah Ali Imran: 104)

Firman Allah SWT lagi dalam Surah Al-‘Ashr:

وَٱلۡعَصۡرِ ١  إِنَّ ٱلۡإِنسَٰنَ لَفِي خُسۡرٍ ٢  إِلَّا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَعَمِلُواْ ٱلصَّٰلِحَٰتِ وَتَوَاصَوۡاْ بِٱلۡحَقِّ وَتَوَاصَوۡاْ بِٱلصَّبۡرِ ٣

Demi masa. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang yang beriman dan beramal soleh serta mereka berpesan-pesan sesama mereka dengan kebenaran dan berpesan-pesan sesama mereka dengan kesabaran.

Sebagaimana juga junjungan besar kita Rasulullah SAW telah menyuruh orang yang beriman dengan sabda baginda:

ألَا فلْيُبلِّغِ الشاهدُ مِنكم الغائب

Ingatlah kamu semua, bahawa hendaklah sesiapa di kalangan kamu yang hadir dalam majlis ini menyampaikan pula ilmu yang diterimanya kepada sesiapa yang tidak hadir. (HR Imam Bukhari dan Muslim)

Baginda SAW bersabda lagi:

بَلِّغُوا عنِّي ولو آية

Sampaikan ilmu daripadaku walaupun hanya satu ayat. (HR Imam Bukhari)

Seterusnya sabda Baginda SAW lagi:

ومَن رأى منكم مُنكَرًا فليُغيِّرْه بيده، فإنْ لم يَستطع فبِلسانه، فإنْ لم يستطع فبقلبه، وذلك أضعف الإيمان

Barangsiapa di kalangan kamu yang melihat kemungkaran maka hendaklah dia mengubahnya (mencegahnya) dengan tangannya, jika tidak mampu maka ubahlah dengan lidahnya, dan jika tidak mampu maka ubahlah dengan hatinya. Yang demikian itu adalah selemah-lemah iman. (HR Imam Muslim)

Sesungguhnya para ulamak fiqh bersepakat bahawa hukum berdakwah kepada Allah adalah fardhu kifayah. Jika sebahagian umat Islam tidak menyempurnakan tugas berdakwah ini maka semua mereka akan mendapat balasan dosa.

  1. Kepentingan Berdakwah Kepada Allah SWT

Di samping perintah Allah SWT agar berdakwah kepada-Nya, Allah SWT telah memberikan banyak galakan dan dorongan supaya kita melaksanakan tugas ini dan menjadikannya sebagai satu alamat kemuliaan bagi orang yang beriman. Firman Allah SWT:

كُنتُمۡ خَيۡرَ أُمَّةٍ أُخۡرِجَتۡ لِلنَّاسِ تَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَتَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِ وَتُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِۗ …. ١١٠

Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang makruf (baik) dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji) serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)……(Surah Ali Imran: 110)

Rasulullah SAW bersabda:

لَأنْ يَهدِيَ اللهُ بكَ رجلًا واحدًا خيرٌ لكَ مِن حُمُرِ النَّعَمِ

Sesungguhnya balasan yang kamu perolehi apabila Allah memberikan hidayah kepada seseorang melalui usaha dakwah kamu, adalah lebih baik bagi kamu berbanding kamu mendapat unta merah (harta paling mahal di sisi orang arab). (HR Imam Muslim)

Allah SWT juga memberi amaran terhadap sikap orang yang memandang rendah dan mencuaikan tugas berdakwah sehingga Dia mencela sebahagian manusia yang bersikap sedemikian. Firman Allah SWT:

لُعِنَ ٱلَّذِينَ كَفَرُواْ مِنۢ بَنِيٓ إِسۡرَٰٓءِيلَ عَلَىٰ لِسَانِ دَاوُۥدَ وَعِيسَى ٱبۡنِ مَرۡيَمَۚ ذَٰلِكَ بِمَا عَصَواْ وَّكَانُواْ يَعۡتَدُونَ ٧٨ كَانُواْ لَا يَتَنَاهَوۡنَ عَن مُّنكَرٖ فَعَلُوهُۚ لَبِئۡسَ مَا كَانُواْ يَفۡعَلُونَ ٧٩

Orang kafir Yahudi daripada Bani Israil telah dilaknat (di dalam Kitab-kitab Zabur dan Injil) melalui lidah Nabi Daud dan Nabi Isa Ibni Mariam. Yang demikian itu disebabkan mereka menderhaka dan selalu menceroboh. Mereka sentiasa tidak berlarang-larangan (sesama sendiri) daripada perbuatan mungkar (derhaka dan ceroboh), yang mereka lakukan. Demi sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka telah lakukan. (Surah Al-Maidah: 78-79)

Rasulullah SAW telah memberi ancaman ke atas orang yang mencuaikan tugas berdakwah dengan sabda baginda:

لَتَأْمُرُنَّ بالمعروفِ ولَتَنهَوُنَّ عن المُنكر أو لَيُوشِكنَّ اللهُ أن يَبعثَ عليكمْ عِقابًا مِن عنده ثُم تَدْعُونَهُ فلا يَستجيبُ لكم

Demi Allah, sesungguhnya akan berlaku sama ada kamu melaksanakan amar makruf dan mencegah kemungkaran (maka kamu akan selamat) atau (jika kamu meninggalkannya) maka akan disegerakan azab daripada Allah ke atas kamu, kemudian apabila kamu berdoa, Dia tidak akan memperkenankan doamu. (HR Imam Tarmizi)

  1. Bahaya Meninggalkan Tugas Berdakwah Kepada Allah SWT

Firman Allah SWT:

وَإِذۡ قَالَتۡ أُمَّةٞ مِّنۡهُمۡ لِمَ تَعِظُونَ قَوۡمًا ٱللَّهُ مُهۡلِكُهُمۡ أَوۡ مُعَذِّبُهُمۡ عَذَابٗا شَدِيدٗاۖ قَالُواْ مَعۡذِرَةً إِلَىٰ رَبِّكُمۡ وَلَعَلَّهُمۡ يَتَّقُونَ ١٦٤ فَلَمَّا نَسُواْ مَا ذُكِّرُواْ بِهِۦٓ أَنجَيۡنَا ٱلَّذِينَ يَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلسُّوٓءِ وَأَخَذۡنَا ٱلَّذِينَ ظَلَمُواْ بِعَذَابِۢ بَ‍ِٔيسِۢ بِمَا كَانُواْ يَفۡسُقُونَ ١٦٥ فَلَمَّا عَتَوۡاْ عَن مَّا نُهُواْ عَنۡهُ قُلۡنَا لَهُمۡ كُونُواْ قِرَدَةً خَٰسِ‍ِٔينَ ١٦٦

Dan (ingatlah) ketika segolongan di antara mereka berkata: Mengapa kamu menasihati kaum yang Allah akan membinasakan mereka atau mengazabkan mereka dengan azab yang amat berat? Orang (yang memberi nasihat) itu menjawab: (Nasihat itu ialah) untuk melepaskan diri daripada bersalah kepada Rabb kamu dan supaya mereka bertakwa. Maka ketika mereka melupakan (tidak menghiraukan) apa yang telah diperingatkan kepada mereka, Kami selamatkan orang yang melarang daripada perbuatan jahat itu dan Kami timpakan orang yang zalim dengan azab siksa yang amat berat, disebabkan mereka berlaku fasik (derhaka). Maka setelah mereka berlaku sombong takbur (tidak mengambil indah) kepada apa yang telah dilarang mereka melakukannya, Kami katakan kepada mereka: Jadilah kamu kera yang hina. (Surah Al-A’raf: 164-166)

Rasulullah SAW bersabda:

مثل القائم في حدود اللَّه والواقع فيها كمثل قوم استهموا على سفينة فصار بعضهم أعلاها وبعضهم أسفلها، فكان الذين في أسفلها إذا استقوا من الماء مروا على من فوقهم؛ فقالوا: لو أنا خرقنا في نصيبنا خرقاً ولم نؤذ من فوقنا. فإن تركوهم وما أرادوا هلكوا جميعاً، وإن أخذوا على أيديهم نجوا ونجوا جميعاً.

Perumpamaan orang yang menegakkan hukum-hukum Allah dengan orang yang melanggarnya seperti suatu kaum yang berada dalam sebuah kapal. Maka sebagian (penumpang) berada di atas dan sebagian yang lain di bawah. Dan penumpang bagian bawah jika akan mengambil air melewati penumpang yang di atas. Dan suatu saat mereka berkata: ‘Kalau kita lubangi kapal ini (untuk mengambil air), mungkin tidak mengganggu orang yang di atas’. Jika mereka membiarkan saja orang yang melubangi kapal itu, maka mereka semua akan hancur (karam), tetapi jika mereka melarangnya, maka mereka semua selamat.

  1. Beberapa Sifat Dan Kemahiran Yang Wajib Dihiasi Oleh Da’ie Yang Mengajak Kepada Allah SWT 

a. Mengikhlaskan Niat Semata-Mata Kepada Allah SWT

Makna Ikhlas:

Ikhlas bermaksud berkehendakkan kepada keredhaan Allah SWT di dalam melakukan amalan dan membersihkan amalan tersebut daripada setiap noda dunia. Tidak ada noda yang mencampuri  amalan pendakwah  seperti kecenderungan kepada dunia, untuk kepentingan diri sendiri (sama ada secara jelas mahu pun tersembunyi), menghendaki harta rampasan, kedudukan, harta benda, dikenali, supaya dihormati atau disanjungi oleh orang ramai, takut dicela, mengambil kesempatan di hadapan orang tertentu, melayani hawa nafsu tersembunyi, atau lain-lain yang seumpamanya, daripada penyakit dan noda yang mana intipatinya ialah menghendaki selain keredhaan Allah SWT melalui mana-mana amal yang dikerjakan.

Ikhlas dengan mafhum di atas adalah natijah daripada aqidah tauhid yang sempurna iaitu mengesakan Allah SWT  dalam beribadah dan dalam memohon pertolongan. Ini dinyatakan oleh Allah SWT di dalam Surah Al-Fatihah ayat 5.

إِيَّاكَ نَعۡبُدُ وَإِيَّاكَ نَسۡتَعِينُ ٥

Engkaulah sahaja (ya Allah) yang kami sembah dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan.

Sebab itulah sifat riya’ yang berlawanan dengan ikhlas dianggap sebahagian daripada syirik.

Daripada Syaddad bin Aus RA beliau berkata:

كنا نَعُدُّ على عهد رسول الله ـ صلى الله عليه وسلم : أن الرياء الشرك الأصغر

Kami dahulu pada zaman Rasulullah SAW menganggap bahawa perbuatan riya’ itu adalah syirik kecil. (HR Imam Hakim)

Kelebihan Ikhlas:

Sesungguhnya Allah SWT telah memerintahkan di dalam kitab-Nya agar bersifat ikhlas dan menggesa agar melaksanakannya di dalam banyak surah terutamanya dalam surah-surah Makkiyyah. Ini kerana sifat ikhlas berkaitan dengan memurnikan tauhid kepada Allah SWT, memperbetulkan aqidah manusia dan meluruskan hala tuju seseorang. Firman Allah SWT kepada rasul-Nya:

إِنَّآ أَنزَلۡنَآ إِلَيۡكَ ٱلۡكِتَٰبَ بِٱلۡحَقِّ فَٱعۡبُدِ ٱللَّهَ مُخۡلِصٗا لَّهُ ٱلدِّينَ ٢ أَلَا لِلَّهِ ٱلدِّينُ ٱلۡخَالِصُۚ

Sesungguhnya Kami menurunkan Al-Quran ini kepadamu (wahai Muhammad) dengan membawa kebenaran, oleh itu hendaklah engkau menyembah Allah dengan mengikhlaskan segala ibadat dan bawaanmu kepada-Nya. Ingatlah! (hak yang wajib dipersembahkan) kepada Allah ialah segala ibadat dan bawaan yang suci bersih (daripada segala rupa syirik). (S. Az-Zumar: 2-3)

Dan Allah SWT juga berfirman kepada Baginda SAW:

قُلِ ٱللَّهَ أَعۡبُدُ مُخۡلِصٗا لَّهُۥ دِينِي ١٤ فَٱعۡبُدُواْ مَا شِئۡتُم مِّن دُونِهِۦۗ ….

Katakanlah lagi: Allah jualah yang aku sembah dengan mengikhlaskan amalan dinku kepadaNya. (Setelah kamu mengetahui pendirianku ini wahai kaum musyrik dan kamu masih juga berdegil) maka sembahlah kamu apa yang kamu kehendaki, yang lain dari Allah, (kamu akan mengetahui akibatnya)…. (Surah Az-Zumar: 14-15)

Firman Allah SWT lagi:

قُلۡ إِنَّ صَلَاتِي وَنُسُكِي وَمَحۡيَايَ وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ ٱلۡعَٰلَمِينَ ١٦٢ لَا شَرِيكَ لَهُۥۖ وَبِذَٰلِكَ أُمِرۡتُ وَأَنَا۠ أَوَّلُ ٱلۡمُسۡلِمِينَ ١٦٣

Katakanlah: Sesungguhnya solatku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Rabb yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. Tiada sekutu bagi-Nya dan dengan yang demikian sahaja aku diperintahkan dan aku (di antara seluruh umatku) adalah orang Islam yang awal pertama (yang berserah diri kepada Allah dan mematuhi perintahNya). (Surah Al-An’am: 162-163)

Firman Allah SWT lagi:

وَمَآ أُمِرُوٓاْ إِلَّا لِيَعۡبُدُواْ ٱللَّهَ مُخۡلِصِينَ لَهُ ٱلدِّينَ حُنَفَآءَ

Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepada-Nya, lagi tetap teguh di atas tauhid…. (Surah Al-Bayyinah: 6)

Firman Allah SWT lagi:

وَمَنۡ أَحۡسَنُ دِينٗا مِّمَّنۡ أَسۡلَمَ وَجۡهَهُۥ لِلَّهِ وَهُوَ مُحۡسِنٞ وَٱتَّبَعَ مِلَّةَ إِبۡرَٰهِيمَ حَنِيفٗاۗ

Dan tidak ada yang lebih baik agamanya daripada orang yang menyerahkan dirinya kepada Allah (dengan ikhlas), sedang dia berusaha mengerjakan kebaikan dan ia pula mengikut agama Nabi Ibrahim yang lurus (yang tetap di atas dasar tauhid). (Surah An-Nisa’: 125)

Firman Allah SWT lagi;

فَمَن كَانَ يَرۡجُواْ لِقَآءَ رَبِّهِۦ فَلۡيَعۡمَلۡ عَمَلٗا صَٰلِحٗا وَلَا يُشۡرِكۡ بِعِبَادَةِ رَبِّهِۦٓ أَحَدَۢا ١١٠

Oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Rabbnya, hendaklah dia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah dia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Rabbnya. (Surah Al-Kahfi: 110)

Da’ie yang benar-benar ikhlas akan terpanggil untuk beramal dengan ilmunya. Beramal dengan apa yang didakwahkan. Maka akan lahir contoh yang baik.

Dia akan beringat dengan firman Allah SWT:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لِمَ تَقُولُونَ مَا لَا تَفۡعَلُونَ ٢ كَبُرَ مَقۡتًا عِندَ ٱللَّهِ أَن تَقُولُواْ مَا لَا تَفۡعَلُونَ ٣

Wahai orang yang beriman, kenapakah kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan. Amat besar kebencian di sisi Allah bahawa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan. (Surah As-Saf :2,3)

b. Membekalkan Diri Dengan Ilmu-Ilmu Yang Berkaitan Dengan Dirinya (Pendakwah) Untuk Melaksanakan Tugasnya 

  • Ilmu tentang Al-Quran: hafazan, bacaan dan kefahaman.
  • Ilmu tentang As-Sunnah: mengetahui hadis yang sahih dan dhaif, dan memahami maksudnya dengan kefahaman yang sahih dan benar mengikut penjelasan daripada nas al-quran dan hadis-hadis yang lain.
  • Ilmu Usul Fiqh: ia merupakan ilmu yang sangat penting kepada pendakwah yang mengajak kepada Allah SWT kerana dengan ilmu ini ia akan menjaga pendakwah dalam proses berfikir dan memeliharanya dengan memahami qaidah-qaidah mengistinbatkan (mengeluarkan hukum-hukum syarak) daripada dalil-dalilnya yang bersifat tafshili (terperinci).

c. Memahami Waqi’ (Realiti) Dan Menghadapi Permasalahan-Permasalahan Sebenar Yang Dialami Oleh Masyarakat Serta Berusaha Berfikir Bagi Menyediakan Jalan Penyelesaian Yang Praktikal Untuk Menyelesaikan Masalah-Masalah Tersebut. 

  • Pendakwah mesti berhati-hati daripada bersifat ghuluw (melampau-lampau) dan keras, dan berusaha memerangi segala bentuk keganasan.
  • Beliau juga mesti berusaha memerangi aliran pemikiran yang merosakkan seperti kumpulan-kumpulan sesat, athies dan aliran-aliran pemikiran yang memusuhi Islam dan umatnya.

d. Berdiri Di Atas (Mengikut) Panduan Usul Dakwah Kepada Allah SWT Dan Qaidah-Qaidahnya Serta Hukum-Hakamnya. 

Kita boleh merujuk kepada dua buah kitab yang sangat penting berkaitan perkara ini:

  • Kitab Usul Dakwah, tulisan Dr Abdul Karim Zaidan
  • Kitab Ad-Dakwah: Qaidah Dan Usulnya, tulisan Ustaz Dr Jum’ah Amin

Di antara qaidah-qaidah yang paling penting dalam melaksanakan dakwah ialah:

الترغيب قبل الترهيب

Memberi galakan sebelum memberi amaran.

Qaidah ini sangat penting bagi pendakwah. Sebahagian pendakwah menekankan tentang aspek hukuman, azab api neraka dan kemurkaan Allah SWT ke atas golongan yang melakukan maksiat dan ia mengancam manusia yang melakukan maksiat.

Soalannya, yang       manakah penekanan yang paling utama untuk difokuskan -memberi galakan atau memberi amaran? Bermula dengan syurga dahulu atau neraka?

Sesungguhnya sikap yang betul dalam perkara ini telah disebutkan oleh Imam Ali RA tatkala beliau berkata:

أَلَا أُخْبِرُكُم بالعالِم كل العالِم؟ مَنْ لَمْ يُوئِسْ عِباد الله مِن رُوح الله، وَلَمْ يُؤَمِّنْهُمْ من مَكْرِهِ

Mahukah kamu aku beritahu tentang orang paling berilmu daripada golongan ahli ilmu? Dia ialah orang yang tidak memutuskan harapan hamba-hamba Allah SWT terhadap rahmat-Nya dan juga mereka  tidak berasa selamat dan aman daripada azab-Nya.

Ini bermakna orang yang berilmu atau pendakwah hendaklah mengimbangi antara memberi harapan dan melahirkan ketakutan, antara memberi galakan dan memberi ancaman kepada jiwa manusia. Beliau tidak akan berlebih-lebihan dalam memberi ancaman dan membangkitkan ketakutan sehingga mengakibatkan seseorang putus asa daripada mengharapkan rahmat Allah SWT. Firman Allah SWT:

إِنَّهُۥ لَا يَاْيۡ‍َٔسُ مِن رَّوۡحِ ٱللَّهِ إِلَّا ٱلۡقَوۡمُ ٱلۡكَٰفِرُونَ ٨٧

Sesungguhnya tidak berputus asa daripada rahmat dan pertolongan Allah itu melainkan kaum yang kafir. (Surah Yusuf: 87)

Beliau juga tidak akan melampau-lampau dalam memberi harapan dan galakan sehingga mengakibatkan seseorang yakin (rasa terjamin) bahawa dia selamat daripada azab Allah SWT.

Firman Allah SWT:

أَفَأَمِنُواْ مَكۡرَ ٱللَّهِۚ فَلَا يَأۡمَنُ مَكۡرَ ٱللَّهِ إِلَّا ٱلۡقَوۡمُ ٱلۡخَٰسِرُونَ ٩٩

Patutkah mereka (bersukaria) sehingga mereka merasa aman akan rancangan buruk (balasan azab) yang diatur oleh Allah? Kerana sebenarnya tidak ada yang merasa aman daripada rancangan buruk (balasan azab) yang diatur oleh Allah itu melainkan orang yang rugi. (Surah Al-A’raf: 99)

Barangsiapa yang membaca Al-Quran, maka beliau akan mendapati Al-Quran telah mengimbangi antara dua perkara tersebut. Apabila Al-Quran menyebut tentang beberapa sifat Allah SWT, ia akan menggandingkan antara sifat rahmat dan sifat kuat atau antara sifat cantik dan sifat hebat perkasa. Perkara ini kita dapat lihat dalam firman Allah SWT:

غَافِرِ ٱلذَّنۢبِ وَقَابِلِ ٱلتَّوۡبِ شَدِيدِ ٱلۡعِقَابِ ذِي ٱلطَّوۡلِۖ

Yang Mengampunkan dosa dan Yang Menerima taubat, Yang Berat azab-Nya, Yang Melimpah-limpah kurnia-Nya. (S. Ghafir: 3)

Firman Allah SWT lagi:

ۗ إِنَّ رَبَّكَ لَسَرِيعُ ٱلۡعِقَابِ وَإِنَّهُۥ لَغَفُورٞ رَّحِيمٞ ١٦٧

Sesungguhnya Rabbmu amat cepat azab siksa-Nya dan sesungguhnya Dia juga Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (Surah Al-A’raf: 167)

Firman Allah SWT lagi

وَإِنَّ رَبَّكَ لَذُو مَغۡفِرَةٖ لِّلنَّاسِ عَلَىٰ ظُلۡمِهِمۡۖ وَإِنَّ رَبَّكَ لَشَدِيدُ ٱلۡعِقَابِ ٦

Dan (ingatlah) sesungguhnya Rabbmu amat melimpah keampunan-Nya bagi manusia (yang bertaubat) terhadap kezaliman mereka dan sesungguhnya Rabbmu juga amatlah keras balasan azabNya (terhadap golongan yang tetap ingkar). (S. Ar-Ra’d: 6)

Apabila Al-Quran menyebut tentang hari akhirat, maka ia akan menyebut akan ganjaran pahala dan hukuman dosa, rahmat dan azab siksa serta ganjaran syurga dan balasan neraka. Firman Allah SWT:

وَفِي ٱلۡأٓخِرَةِ عَذَابٞ شَدِيدٞ وَمَغۡفِرَةٞ مِّنَ ٱللَّهِ وَرِضۡوَٰنٞۚ ……٢٠

(Hendaklah diketahui lagi, bahawa) di akhirat ada azab yang berat (di sediakan bagi golongan yang hanya mengutamakan kehidupan dunia itu) dan (ada pula) keampunan besar serta keredhaan daripada Allah (disediakan bagi orang yang mengutamakan akhirat). (Surah Al-Hadid: 20)

Begitu juga apabila Al-Quran menyifatkan keadaan orang yang beriman yang mana mereka berada di antara perasaan mengharapkan rahmat dan takutkan balasan azab Allah SWT. Firman Allah SWT:

وَيَرۡجُونَ رَحۡمَتَهُۥ وَيَخَافُونَ عَذَابَهُۥ…. ٥٧

Serta mereka pula mengharapkan rahmat-Nya dan gerun takut akan azab-Nya. (Surah Al-Israk: 57)

Firman Allah SWT lagi:

يَحۡذَرُ ٱلۡأٓخِرَةَ وَيَرۡجُواْ رَحۡمَةَ رَبِّهِۦۗ

…sambil takutkan (azab) hari akhirat serta mengharapkan rahmat Rabbnya? ….(Surah Az-Zumar: 9)

Firman Allah SWT lagi

وَيَدۡعُونَنَا رَغَبٗا وَرَهَبٗاۖ… ٩٠

…dan sentiasa berdoa kepada kami dengan penuh harapan serta gerun takut… (Surah Al-Anbiya: 90)

Sesungguhnya telah diriwayatkan daripada Amirul Mukminin Saidina Umar Al-Khattab RA telah berkata:

لو نادَى مُنادٍ يوم القيامة: كلُّ الناس في الجنة إلا واحدًا، لخِفْتُ أن أكون ذلك الواحد، ولو نادَى منادٍ: كل الناس في النار إلا واحدًا لرَجَوْتُ أن أكون ذلك الواحد

Jika ada seorang pemanggil pada Hari Kiamat melaungkan, ”setiap manusia akan memasuki syurga kecuali hanya seorang sahaja”, maka aku tetap rasa takut jika aku inilah seorang yang disebutkan oleh pemanggil tadi. Dan jika pemanggil tersebut melaungkan, “setiap manusia akan memasuki api neraka kecuali hanya seorang sahaja yang selamat”, maka aku sangat-sangat mengharapkan agar aku inilah orang yang disebutkan oleh pemanggil tadi.

Berdasarkan pengalaman saya di medan kerja dakwah dan membimbing manusia:

Sesungguhnya penekanan terhadap aspek rahmat Allah SWT dan mengharapkannya adalah   lebih berjaya memberi kesan terhadap kebanyakan manusia. Ini akan membuka pintu hati mereka untuk bertaubat dan mengekalkan mereka di atas jalan yang menghubungkan mereka dengan dinnya walau seteruk mana sekalipun keadaan mereka sebelumnya.

Adapun dengan penekanan yang sentiasa terhadap aspek memberi ancaman dan balasan keras, ia kadang-kadang berkesan terhadap sesetengah manusia. Akan tetapi apa yang banyak berlaku adalah ia membawa natijah dan akibat sebaliknya. Sebahagian mereka tatkala  dia mengetahui bahawa dirinya sudah tenggelam di dalam maksiat dan neraka jahanam siap mengintai-ngintai dirinya lalu diapun sudah yakin akan kebinasaan dirinya, tiada peluang untuk selamat, maka dia akan semakin berterusan melakukan maksiat, sentiasa membuat dosa dan dia berputus asa daripada memohon keampunan Allah SWT. Boleh jadi keadaan ini membawanya kepada melakukan dosa yang lebih besar.

Penekanan yang melampau terhadap aspek memberi ancaman dan balasan yang keras juga boleh mewariskan (melahirkan) kepada jiwa  seseorang beberapa simpulan penyakit yang mana ia lebih banyak mendatangkan keburukan daripada kebaikan.

Oleh itu kita hendaklah mengikut jalan Al-Quran yang menggabungkan antara memberi harapan dan memberi ancaman dalam keadaan yang seimbang dan sederhana. Hendaklah kita mengingati arahan Allah SWT kepada rasul-Nya:

۞قُلۡ يَٰعِبَادِيَ ٱلَّذِينَ أَسۡرَفُواْ عَلَىٰٓ أَنفُسِهِمۡ لَا تَقۡنَطُواْ مِن رَّحۡمَةِ ٱللَّهِۚ إِنَّ ٱللَّهَ يَغۡفِرُ ٱلذُّنُوبَ جَمِيعًاۚ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلۡغَفُورُ ٱلرَّحِيمُ ٥٣

Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa, sesungguhnya Dialah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (Surah Az-Zumar: 53)

Qaidah seterusnya:

التيسير لا التعسير

Mempermudahkan, bukan menyusahkan.

Qaidah ini sesuai dalam hal memberikan fatwa. Sikap mempermudahkan adalah lebih diutamakan daripada sikap menyusahkan dalam memberikan sesuatu fatwa. Sikap mempermudahkan yang dimaksudkan di sini mestilah berasaskan dalil dan bukti.

Firman Allah SWT:

يُرِيدُ ٱللَّهُ بِكُمُ ٱلۡيُسۡرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ ٱلۡعُسۡرَ وَلِتُكۡمِلُواْ ٱلۡعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُواْ ٱللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَىٰكُمۡ وَلَعَلَّكُمۡ تَشۡكُرُونَ ١٨٥

Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu. Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur. (Surah Al-Baqarah: 185)

Firman Allah SWT lagi:

لِيُنفِقۡ ذُو سَعَةٖ مِّن سَعَتِهِۦۖ وَمَن قُدِرَ عَلَيۡهِ رِزۡقُهُۥ فَلۡيُنفِقۡ مِمَّآ ءَاتَىٰهُ ٱللَّهُۚ لَا يُكَلِّفُ ٱللَّهُ نَفۡسًا إِلَّا مَآ ءَاتَىٰهَاۚ سَيَجۡعَلُ ٱللَّهُ بَعۡدَ عُسۡرٖ يُسۡرٗا ٧

Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya dan sesiapa yang di sempitkan rezekinya, maka hendaklah dia memberi nafkah daripada apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu), Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan. (Surah At-Talaq: 7)

Firman Allah SWT lagi:

وَجَٰهِدُواْ فِي ٱللَّهِ حَقَّ جِهَادِهِۦۚ هُوَ ٱجۡتَبَىٰكُمۡ وَمَا جَعَلَ عَلَيۡكُمۡ فِي ٱلدِّينِ مِنۡ حَرَجٖۚ….. ٧٨

Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya, Dialah yang memilih kamu (untuk mengerjakan suruhan agamanya) dan Dia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama. (Surah Al-Hajj: 78)

 Firman Allah SWT lagi:

مَا يُرِيدُ ٱللَّهُ لِيَجۡعَلَ عَلَيۡكُم مِّنۡ حَرَجٖ وَلَٰكِن يُرِيدُ لِيُطَهِّرَكُمۡ وَلِيُتِمَّ نِعۡمَتَهُۥ عَلَيۡكُمۡ لَعَلَّكُمۡ تَشۡكُرُونَ ٦

Allah tidak mahu menjadikan kamu menanggung sesuatu kesusahan (kepayahan), tetapi Dia berkehendak membersihkan (mensucikan) kamu dan hendak menyempurnakan nikmat-Nya kepada kamu, supaya kamu bersyukur. (Surah Al-Maidah: 6)

Firman Allah SWT lagi:

لَّيۡسَ عَلَى ٱلضُّعَفَآءِ وَلَا عَلَى ٱلۡمَرۡضَىٰ وَلَا عَلَى ٱلَّذِينَ لَا يَجِدُونَ مَا يُنفِقُونَ حَرَجٌ إِذَا نَصَحُواْ لِلَّهِ وَرَسُولِهِۦۚ مَا عَلَى ٱلۡمُحۡسِنِينَ مِن سَبِيلٖۚ وَٱللَّهُ غَفُورٞ رَّحِيمٞ ٩١

Orang yang lemah dan orang yang sakit dan juga orang yang tidak mempunyai sesuatu yang akan dibelanjakan, tidaklah menanggung dosa (kerana tidak turut berperang) apabila mereka berlaku ikhlas kepada Allah dan Rasul-Nya. Tidak ada jalan sedikitpun bagi menyalahkan orang yang berusaha memperbaiki amalannya dan Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (Surah At-Taubah: 91)

Imam Bukhari dan Muslim telah meriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda:

يسروا ولا تعسروا وبشروا ولاتنفروا

Hendaklah kamu semua mempermudahkan dan jangan menyusah-nyusahkan, dan hendaklah kamu memberikan berita gembira dan jangan menyebabkan manusia lari darimu.

Juga diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim daripada Saidatina Aisyah RH beliau berkata:

ما خير النبي – صلى الله عليه وسلم – بين أمرين إلا اختار أيسرهما ما لم يكن إثما فإن كان إثما كان أبعد الناس منه

Tidaklah Nabi SAW apabila diberi pilihan antara dua perkara melainkan baginda akan memilih perkara yang paling mudah selagi ia tidak membawa dosa. Jika perkara tersebut adalah dosa, maka bagindalah manusia yang paling menjauhinya.

Juga diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Abdullah bin Amru bin Al-‘Ash beliau berkata:

وقف رسول الله في حجة الوداع بمنى للناس يسألونه فجاء رجل فقال يا رسول الله لم أشعر فحلقت قبل أن أذبح؟  فقال اذبح ولا حرج ثم جاءه رجل آخر فقال يا رسول الله لم أشعر فنحرت قبل أن أرمي؟  فقال ارم ولا حرج قال فما سئل رسول الله عن شيء قدم ولا أخر إلا قال افعل ولا حرج.

Sesungguhnya Rasulullah SAW telah berhenti di Mina ketika sedang melaksanakan ibadah haji (haji wida’) untuk mendengar soalan-soalan daripada orang ramai. Maka datanglah seorang lelaki bertanya, ”Wahai Rasulullah, aku tidak tahu (susunan amalan pada hari pertama mengerjakan haji) lalu aku telah bercukur sebelum menyembelih binatang qurban? “  Rasulullah menjawab, ”Teruskan menyembelih dan perbuatan kamu (tidak mengikut susunan itu) tidak mengapa.” Kemudian datang pula seorang lelaki lain bertanya, ”Wahai Rasulullah, aku tidak tahu (susunan amalan pada hari pertama mengerjakan haji) lalu aku telah korbankan binatang sebelum aku melontar anak batu di Jamrah Aqabah?” Rasulullah pun menjawab, ”Teruskan melontar di Jamrah Aqabah dan perbuatan kamu itu (tidak mengikut susunan) tidak mengapa.”

Kata Abdullah bin Amru bin Al-ash lagi, tidaklah ditanya kepada baginda tentang hukum mendahulukan atau melewatkan amalan tersebut melainkan baginda menjawab, ”Teruskan melaksanakannya dan tidak mengapa walaupun tidak mengikut susunan (yang ditunjuk oleh Nabi SAW).

Susunan amalan manasik haji yang menepati sunnah yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW pada hari pertama haji, iaitu pada 10 Zulhijjah, adalah dengan melontar anak batu di Jamratul ‘Aqabah kemudian menyembelih binatang korban lalu bercukur kepala dan akhirnya      melakukan tawaf ifadhah. Namun begitu, nabi tetap menerima amalan sebahagian sahabat baginda yang tidak mengetahui susunan amalan manasik haji pada hari tersebut.

  1. Wasilah-Wasilah Dalam Kerja Dakwah Kepada Allah SWT: 
  • Dakwah fardiyah: ia dilaksanakan melalui hubungan langsung antara pendakwah dan mad’unya (individu sasaran dakwah). Bentuk dakwah fardiyah bergantung kepada membina hubungan yang rapat dengan mad’u kemudian memperkenalkannya dengan fikrah dan akhirnya memberikannya taklif.
  • Dakwah ‘ammah: seperti pidato-pidato, kuliah-kuliah dan muktamar-muktamar (konvensyen). Ia bergantung kepada penggunaan media massa terkini untuk berhubung dengan para mad’u dan menggunakan  semua jenis alat-alat teknikal untuk mempamerkan ajaran Islam kepada manusia umumnya dan orang Islam khususnya.

Hikmah itu adalah suatu barang yang telah hilang daripada orang yang beriman. Jadi di mana saja dia menjumpainya semula maka dialah orang paling berhak ke atas hikmah tersebut. Oleh itu tidak dapat tidak mestilah diwujudkan aktiviti yang menggunakan laman-laman web di media sosial, laman-laman web khusus untuk paparan video, laman-laman web khusus untuk paparan rakaman suara, saluran satelit dan lain-lain demi menyampaikan fikrah Islamiah tanpa dikaitkan dengan sifat keras dan juga sifat melonggar-longgarkan.

Oleh: PM Dr Rejab Abu Maleh Muhammad
Pensyarah Kolej Universiti Insaniah

 

Check Also

Berilah Peringatan

Firman Allah Subhanahuwata’ala: وذكر فان الذكرى تنفع المؤمنين Dan tetaplah memberi peringatan, maka sesungguhnya peringatan …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *