Home / Dasar Umum Islam / Ibadah / Beberapa Noktah Tentang Madrasah Ramadhan

Beberapa Noktah Tentang Madrasah Ramadhan

Muqaddimah

Marilah sama-sama kita pertingkatkan ketaqwaan kepada Allah Subhanahuwata’ala dengan terus iltizam kepada titah perintah Allah Subhanahuwata’ala – suruhan dan tegahan-Nya.  Dan marilah kita terus bersyukur kehadrat Allah Subhanahuwata’ala kerana kita dipanjangkan umur, bertemu dan berada dalam bulan Ramadhan Al-Mubarak.  Bulan yang agung dan penuh keberkatan serta diliputi  suasana didikan dan  latihan bagi melahirkan insan yang bertaqwa dalam ertikata yang sebenarnya. Marilah kita menyambut kedatangan bulan Ramadhan itu dengan sebaik-baik sambutan ( حُسْنُ اَلاِسْتِقْبَالِ ). Setiap sesuatu sering ada musimnya, maka Ramadhan adalah musim beribadah, mengukuhkan taqwa, bermujahadah dan membina ruh jihad di jalan Allah Subhanahuwata’ala.

Berikut adalah beberapa noktah mengenai Madrasah Ramadhan:

  1. Al Marhum Ustaz Said Hawwa dalam kitabnya الاسلام pernah mengeluarkan kenyataan: ورمضان فى الحقيقة مدرسة Ramadhan pada hakikatnya adalah umpama sekolah. Ertinya tempat, masa, suasana dan persekitaran didikan yang khusus lagi istimewa dan tiada bandingannya.  Kelebihan dan fadhilatnya adalah ditentukan oleh Allah Subhanahuwata’ala.
  1. Sehubungan dengan ini Dr Muhammad al-Bahi dalam kitabnya الاسلام فى حياة المسلم menyebut bahawa: رمضان شهر الايمان  – bulan Ramadhan adalah bulan iman,  kerana semua amalan yang dilaksanakan oleh orang yang benar-benar berpuasa di dalam bulan Ramadhan itu melambangkan amalan yang lahir daripada keimanan kepada Allah Subhanahuwata’ala dan memperlihatkan keteguhan iman serta kekuatan hubungan dengan ajaran Islam.  Dr Muhammad al-Bahi juga menjelaskan bahawa: kekuatan manusia bukan semata-mata terletak pada kekuatan anggota-anggota  zahir tubuh badannya, tetapi kekuatan sebenarnya terletak pada kekuatan azamnya, kekuatan ruhnya dan kekuatan imannya yang, insyaAllah, mampu menghadapi dan mengatasi berbagai kejadian serta masalah hidup tanpa lemah semangat atau berputus asa.

Seharusnya disedari bahawa kekuatan iman dan taqwa itu bukan sekadar untuk kepuasan dan kelazatan diri sendiri, bahkah orang mukmin yang  memiliki kekuatan iman dan taqwa itu bersedia untuk mewakafkan hidupnya untuk Islam dan berdakwah kepada masyarakat supaya kembali kepada din Allah Subhanahuwata’ala.

  1. Madrasah Ramadhan mendidik hati dan minda agar sentiasa muraqabah dengan Allah Subhanahuwata’ala (مُرَا قَبَة الله), yakni sentiasa sedar bahawa segala amalan, gerak kerja bahkan juga qasad ( قصد ) atau azam dan niat kita diketahui, dilihat dan dinilai oleh Allah Subhanahuwata’ala. Dan juga merasai kebesaran dan keagungan Allah Subhanahuwata’ala, pada setiap masa dan dalam semua hal. Sebaik-baik muraqabah ialah muraqabah yang sampai ke peringkat ihsan:

أَنْ تَعْبُدَ اللهَ كَأَنَّكَ تَرَاهُ فَإِن لَمْ تَكُنَ تَرَاهُ فَإِ نَّهُ يَرَاكَ

Bahawa kamu memperhambakan diri (beribadah) kepada Allah, seolah-olah kamu melihat-Nya (Allah) dan sekiranya kamu tidak dapat melihat-Nya (dengan mata kasar), maka sedarlah bahawa Allah melihat kamu.

Jika ada rasa مُرَا قَبَة الله maka insyaAllah tidak timbullah penyakit-penyakit masyarakat di kalangan orang beriman.  Tidak timbul pengkhianatan, pecah amanah, rasuah, salah guna kuasa dan segala apa yang dilaknat oleh Allah Subhanahuwata’ala.  Sebaliknya akan lahir sifat-sifat terpuji seperti jujur, amanah, bercakap benar, menepati janji, adil dan  tawadhu’ seperti mana dikehendaki dalam ajaran Allah Subhanahuwata’ala dan Sunnah Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam.

  1. Puasa di bulan Ramadhan melahirkan jiwa yang bertaqwa seperti yang dikehendaki Allah Subhanahuwata’ala dalam ayat 183 surah al-Baqarah:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُتِبَ عَلَيۡكُمُ ٱلصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِكُمۡ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ

 Wahai orang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas orang sebelum kamu, mudah-mudahan kamu bertaqwa. (Al-Baqarah:183)

Menurut ahli tafsir muktabar, dapat difahami daripada ayat ini bahawa matlamat difardhukan ibadah puasa ialah menyediakan hati yang bertaqwa – hati yang suci, حَسَّاسِيَّة (peka dengan ajaran Islam)  dan takut kepada Allah Subhanahuwata’ala.

Menurut Syeikh Taha ‘Abdullah al-‘Afifi dalam kitabnya من وصا يا الرسول telah menghuraikan bahawa taqwa adalah sifat takut dan rasa gerun dengan Allah Subhanahuwata’ala. Seterusnya,  taat dan beribadah kepada Allah Subhanahuwata’ala serta membersihkan diri atau mengawal diri daripada dosa.

As-Syahid Syed Qutb dalam Fi Zilal al-Qur’an menjelaskan:

Ayat puasa ini datang bersama-sama dengan ayat jihad. Oleh itu secara tabi’inya puasadiwajibkan ke atas ummah sepertimana wajib berjihad untuk menentukan berlakunya sistem Allah Subhanahuwata’ala di atas muka bumi ini, untuk menentukan kemampuan sistem Allah Subhanahuwata’ala berjalan di atas muka bumi dan untuk menyaksikan kepada manusia bahawa manusia itu mampu untuk melaksanakan sistem Allah Subhanahuwata’ala (setelah melalui proses persediaan dan persiapan yang teratur dan sistematik).

Pentingnya taqwa, apabila dihubungkan dengan al-Qur’an,  maka jelaslah bahawa hati yang bertaqwa sahaja yang akan dapat menerima petunjuk al-Qur’an.  Hal ini didasarkan ayat 2 Surah al Baqarah:

الٓمٓ ١ ذَٰلِكَ ٱلۡكِتَٰبُ لَا رَيۡبَۛ فِيهِۛ هُدٗى لِّلۡمُتَّقِينَ ٢

Alif laam miim. Kitab (Al-Qur’an) ini tidak ada keraguan padanya, petunjuk bagi mereka yang bertakwa

Dalam tafsir fi zilal al-Qur’an dijelaskan :

لابد لمن يريد أن يجد الهدى من القرءان أن يجئ اليه بقلب يخشى ويتوقى ويحذر أن يكون على ضلالة او أن تستهويه ضلاله ….وعنذئذ يتفح القرءان عن أسراره وانواره ويسكبها فى هذا القلب الذى جآء اليه متقيا خائفا حسا سا مهيأ للتلقى

Sesiapa yang ingin untuk mendapat pertunjuk (hidayah) daripada al-Qur’an maka mestilah ia datang kepada al-Qur’an dengan hati yang takut dan bertaqwa serta sentiasa waspada agar tidak terjebak dalam kesesatan atau digoda oleh kesesatan.  Ketika itu barulah al-Qur’an membuka segala rahsianya dan memancarkan cahayanya untuk memenuhi semua  sudut hati orang yang datang  menemui al-Qur’an dalam keadaan bertaqwa, takut kepada Allah dan sensitif dengan Islam, serta bersedia pula untuk menerima dan menghayatinya.

Seterusnya berkaitan ibadah puasa:

  • Ibadah puasa di bulan Ramadhan adalah satu latihan membiasakan diri dengan kehidupan yang sulit dan payah, khususnya bagi para da’i, dengan cara mengasuh diri  menahan daripada  menikmati apa yang diingini dan disukai. Maka diri dapat dikawal dan dilentur untuk menjadikan da’i seorang hamba Allah Subhanahuwata’ala yang benar-benar patuh  kepada-Nya.

Sabda Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam (seperti yang terdapat dalam buku Bahtera Penyelamat dalam Kehidupan Pendakwah, karangan Fathi Yakan), bermaksud:

Biasakan diri dengan kesusahan sebab nikmat kesenangan hidup tidak kekal selama-lamanya.

Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam berpesan kepada Sayidatina Aisyah RH dengan sabdanya, bermaksud:

Wahai Aisyah, hendaklah engkau sentiasa mengetuk pintu syurga dengan lapar.

  • Puasa adalah satu proses self development atau  pembanguan jati diri. Tersebut dalam sebuah hadith qudsi, bermaksud:

Setiap amal anak Adam diberikan ganjaran sepuluh kali ganda hingga tujuh ratus kali ganda kecualilah puasa. Sesungguhnya ia adalah untuk-Ku, Akulah yang akan memberikan ganjarannya. Ia meninggalkan syahwat dan makan semata-mata kerana-Ku.

  • Dengan puasa, insyaAllah doa akan dimakbulkan Allah Subhanahuwata’ala. Sabda Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam, bermaksud:

Ada tiga orang yang doanya tidak ditolak: orang yang berpuasa hingga berbuka, pemimpin yang adil dan orang yang teraniaya…” (HR Tirmizi)

  • Puasa melatih kesabaran. Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersabda, bermaksud:

Tiap sesuatu ada zakatnya, dan zakatnya badan adalah puasa, dan puasa itu separuh daripada kesabaran. (HR Ibnu Hibban)

  • Puasa melatih diri untuk menghargai dan mensyukuri nikmat Allah Subhanahuwata’ala. Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersabda, bermaksud:

Pernah Tuhanku menawarkan kepadaku untuk menjadikan lembah Makkah penuh dengan emas. Aku menjawab: Tidak, ya Tuhanku. Akan tetapi aku ingin kenyang sehari dan lapar sehari. Jika aku lapar, aku semakin dekat dan ingat kepada-Mu, dan apabila aku kenyang, aku akan bersyukur dan memuji-Mu. (HR Tirmidzi)

  • Puasa  melahirkan rasa kasih terhadap manusia lain yang susah dan menderita. Yusuf AS banyak melakukan puasa pada hal ia berada di tengah-tengah perbendaharaan dunia. Di tangannya kekayaan dan dana yang melimpah ruah. Apabila ditanya, ia menjawab:

Aku takut, bila aku kenyang, aku akan lupa kelaparan yang diderita oleh orang miskin.

Sabda Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam, bermaksud:

Orang yang bersifat kasih sayang akan dikasihi Allah Maha Pemurah lagi Penyayang. Sayangilah makhluk di bumi nescaya kamu akan dikasihi oleh (Maha Penyayang) yang ada di langit. (HR Abu Daud dan Tirmidzi)

  • Puasa adalah jalan pengampunan dosa-dosa daripada Allah Subhanahuwata’ala. Sabda Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam (HR Ahmad dan Ashabul Sunan):

من صام رمضان ايمانا واحتسا با غفرله ماتقدم من ذنبه

Siapa puasa pada siang hari  Ramadhan kerana iman dan dengan perkiraan (dengan penuh bertanggungjawab), maka diampunkan dosa-dosa lalu.

  • Puasa adalah jalan ke syurga. Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersabda, bermaksud:

Sesungguhnya di syurga, terdapat sebuah pintu yang bernama ar-Rayyan di mana orang yang berpuasa masuk melaluinya pada hari Kiamat. Tiada (orang lain) yang dapat melalui pintu itu. Apabila mereka semua masuk, pintu tersebut tertutup dan tidak akan ada lagi orang yang akan masuk melaluinya.

  • Puasa memberi syafaat kepada tuannya pada hari yang penuh dengan kecemasan dan ketakutan itu. Sabda baginda Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam, bemaksud:

Puasa dan al-Qur’an memberi syafa’at kepada seorang hamba pada hari Kiamat. Puasa berkata: Wahai Tuhan, aku telah menghalangnya daripada makan dan nafsu syahwat, maka berikan syafaat kepadanya disebabkan oleh aku ini…

  1. Ramadhan adalah bulan mujahadah. As-Syahid Syed Qutb (dalam Tafsir Fi Zilal):

Puasa merupakan medan memerangi dan memenangi tarikan hawa nafsu.

Ustaz Abdullah Nasih ‘Ulwan (dalam buku Menuju Taqwa): Asas mujahadah terdapat dalam firman Allah Subhanahuwata’ala.:

وَٱلَّذِينَ جَٰهَدُواْ فِينَا لَنَهۡدِيَنَّهُمۡ سُبُلَنَاۚ وَإِنَّ ٱللَّهَ لَمَعَ ٱلۡمُحۡسِنِينَ

Dan orang bermujahadah (berusaha bersungguh-sungguh) di jalan Kami nescaya Kami akan pimpin mereka kepada jalan Kami dan Allah sentiasa bersama-sama dengan orang berusaha memperbaiki amalannya (muhsinin). (Al-Ankabut: 69)

Mujahadah bermakna memaksa dan mewajibkan diri dengan penuh kesungguhan untuk meningkat dan berterusan di jalan Allah Subhanahuwata’ala sehingga semua amalan ketaatan menjadi malakah dan dirasai sebagai nikmat, bukan bebanan.

Prof Muhamad Qutb (dalam buku Falsafah Ibadah Dalam Islam): Puasa difardhukan pada tahun diwajibkan jihad. Oleh itu puasa ialah latihan ketenteraan – yakni latihan ketabahan, menanggung kesusahan dan sanggup menghadapi kesulitan – sebagai persediaan untuk menghadapi perang sebenar.

  1. Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam memperbanyakkan bacaan al-Qur’an di dalam bulan Ramadhan. Pernah diceritakan oleh Ibn Abbas RA bahawa Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam telah didatangi oleh Malaikat Jibril setiap malam dalam bulan Ramadhan dan Jibril dengan Nabi Muhammad Sallallahu’alaihiwasallam bertadarus al-Qur’an. Hadith riwayat Imam Muslim daripada Abi Umamah al Bahili RA:

سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول : اِقْرَؤُوا القُرءاَنَ  فَإِنَّهُ  يَأتِى يَوْمَ القِيَامَة شَفِيْعًا ِلأَصْحَابِه

Hendaklah anda semua membaca al-Qur’an.  Maka sesungguhnya al-Qur’an datang pada hari Kiamat nanti memberi syafaat (dengan izin Allah) kepada tuan-tuannya (pembacanya).

  1. Di bulan Ramadhan disunatkan melakukan solah sunat Ia adalah sunat mu’akadah dan syiar Islam. Orang seharusnya bersemangat dalam menunaikannya. Sunnahnya adalah ia diperpanjangkan, bukan hanya memperbanyakan rakaat. Abu Bakar RA melakukan solah tarawih sampai hampir sahur, baca seluruh surah al-Baqarah dalam satu rakaat.
  1. Menghidupkan malam dengan berqiyamulail, bermunajat kepada Allah Subhanahuwata’ala dan menanti-nanti Lailatul-Qadr pada sepuluh malam terakhir . Gemblengkan tenaga dan bersihkan daripada urusan dunia dalam sepuluh malam terakhir itu. Hadapkan diri kepada Allah Subhanahuwata’ala dengan munajat, solat dan doa yang terus menerus.

Manusia celaka ialah manusia yang dihalangi daripada rahmat Allah Subhanahuwata’ala pada bulan Ramadhan. Bulan ini ialah bulan kemenangan ruh ke atas tuntutan jasad. Ruh berada di puncak kejernihan.

  1. Banyak bertaubat.

Sabda Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam:

من جاءه رمضان ولم يغفر له فيه فلا غفر الله له

Barangsiapa didatangi Ramadhan, tetapi Allah tidak mengampuninya, maka Allah tidak akan mengampuninya.

  1. Bersadaqah di bulan Ramadhan dengan zakat fitrah, zakat harta, infaq, derma dan pelbagai sumbangan kebendaan.

Hadith riwayat Bukhari daripada Ibn Abbas ada menggambarkan keperibadian Rasulullah di bulan Ramadhan yang pemurah dan dermawan bagaikan angin yang berhembus.

Maka orang mukmin seharusnya bersadaqah dengan bersemangat dan riang, bukan dengan rasa berat hati.

Penutup

Madrasah Ramadhan sebenarnya mendidik manusia agar menjadi insan Rabbani di sepanjang hidup (di bulan Ramadhan dan selepas bulan Ramadhan). Yakni insan yang sentiasa berhubung dengan Allah Subhanahuwata’ala dan ta’at kepada-Nya. Kata-kata ulama:

كونو ربانين ولاتكونو رمضانين

Jadilah kamu manusia Rabbani dan janganlah kamu menjadi manusia Ramadhani”

 

 

 

Check Also

Ibadah Yang Luas

Makna Ibadah Ibadah ialah pengabdian. Kita adalah abdi dan Allah Subhanahuwata’ala adalah Pencipta kita. Kepada-Nya …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *