Home / Jalan Dakwah & Tarbiah / Fiqh Harakah / Asas-Asas Penting Yang Perlu Wujud Dalam Organisasi Dakwah (Asas 3)

Asas-Asas Penting Yang Perlu Wujud Dalam Organisasi Dakwah (Asas 3)

ASAS 3: USAHA-USAHA MESTILAH MENGIKUT SISTEM (MANHAJ) TERTENTU

Segala usaha yang dijalankan untuk perubahan menyeluruh mestilah mengikut manhaj  tertentu. Antara perkara yang terkandung dalam manhaj ialah:

  1. Wasilah atau jalannya mestilah syarak, dan menolak sama sekali kaedah di mana matlamat dapat membersihkan jalan.[1] Matlamat dakwah ialah untuk melaksanakan Islam, maka jalan ke arah pencapaian matlamat juga mestilah Islam (Rabbaniyah al-Ghayah wal Wijhah wa Rabbaniyah al-Manhaj). Maka, barulah akan melahirkan natijah Islam seperti yang Allah Subhanahuwata’ala kehendaki. Di atas asas ini, adalah harus menggunakan seluruh wasilah yang diterima oleh syarak untuk melaksanakan dakwah, sama ada melalui media cetak seperti penyebaran buku-buku dan sebagainya (juga dengan uslub (cara) seperti lembut, tegas dan nasihat yang baik) dan pelbagai wasilah lagi. Gerakan dakwah adalah untuk menghidupkan kembali penghayatan al-Sunnah yang suci baik untuk kehidupan individu mahupun masyarakat. Oleh itu ianya hendaklah bercontohkan kepada generasi awal Islam, kerana mereka adalah merupakan pakar-pakar dan graduan-graduan dakwah keluaran madrasah Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam yang telah menghayati al-Sunnah dan merealisasikan al-Quran di dalam kehidupan mereka. Mereka menjadi sebaik-baik model[2] yang diabadikan oleh Allah Subhanahuwata’ala dengan pujian terhadap mereka sebagai sebaik-baik ummah.[3]
  1. Perjalanan gerakan organisasi hendaklah sepadan dan selaras dengan kemampuan dan kekuatannya. Bermula dari keadaan yang lemah kemudian bertambah kuat hingga benar-benar kuat dalam ertikata kelahiran masyarakat Islam yang melaksanakan Islam syumul. Semuanya berpandukan kepada sirah gerakan organisasi dakwah Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam. Pada setiap tahap perkembangan, kesedaran dan kefahman Islam adalah wajib diperdalamkan ke dalam jiwa setiap ahli. Penambahan ahli-ahli, anggota-anggota, pembantu-pembantu (ansar) dan penyokong-penyokong (muayyid) hendaklah secara sihat dan wujud di dalam suasana mana sekalipun, tetapi perlu ada keseimbangan antara keluasan penyebaran dakwah dengan kemampuan tenaga pendidik (murabbi) yang dimiliki. Bukan itu sahaja, malah pendakwah dan pendidik sendiri perlu memperuntukkan masa bagi meneruskan didikan terhadap diri mereka sendiri, dengan peningkatan ilmu pengetahuan dan ibadat kepada Allah Subhanahuwata’ala. Perseimbangan ini, kewujudannya, bukanlah hanya di tahap awal sahaja tetapi ianya mestilah berterusan menguasai perkembangan dan pembesaran organisasi di semua tahap. Pengabaian terhadap perkara ini berkemungkinan besar nanti akan menyebabkan menular masuk anasir-anasir asing yang boleh menggagalkan cita-cita atau matlamat dakwah.
  1. Maudhu’ atau tajuk dakwah ialah keseluruhan ajaran Islam yang bersifat syumul[4]. Ini mesti didukung oleh para da’i dalam menyeru masyarakat kepada Islam, tanpa sebarang pengurangan, ubah suai, persemendaan atau percampuran dengan ideologi ciptaan manusia sama ada berbentuk perkauman atau isme-isme yang dipopularkan oleh manusia dan digabungkan dengan Islam seperti sosialisme Islam. Kerana, ini semua adalah terkeluar dari titik tolak dakwah Islam sebenar dan tidak dapat diterima oleh syarak.[5]

Penekanan di peringkat awal adalah penekanan keimanan kepada Allah Subhanahuwata’ala dan prinsip-prinsip keimanan lain, yang akan melahirkan perhambaan sejati kepada Allah Subhanahuwata’ala dalam hati, percakapan, amalan dan  praktik hidup yang sentiasa mengikut syarak. Maudhu’ tidak sahaja menekankan kepada masalah siasah dan seumpamanya, sehingga mengabaikan aspek ibadah.

Iman dan amal adalah regu yang tidak boleh dipisahkan. Iman itu bukanlah angan-angan dan bukan pula hiasan tetapi apa yang berada dalam hati dan dibenarkan dengan amalan. Pengabaian terhadap persoalan iman dan perhambaan kepada Allah Subhanahuwata’ala akhirnya memungkinkan para da’i sebati dan terpengaruh dengan suasana persekitaran, larut bersama-sama dengan trend dan arus masyarakat, hati sedikit demi sedikit menjadi keras, semakin jauh daripada hakikat jiwa orang yang beriman dalam mengharungi perjalanan (dakwah) yang jauh.[6] Justeru itu Dr Sa’id berkata:

Jangan jadikan sentimen (semangat) semata-mata sebagai neraca, kemudian berdakwah di atas asas tersebut dan menyangka ia berdakwah kepada Allah dan berjihad dengan jihad yang besar. Orang yang bangun melaksanakan dakwah semata-mata atas sentimen agama, yang ia merasa mulia dengannya, lebih banyak merosakkan daripada memperbaiki, boleh jadi orang ramai menjauhkan diri daripada Islam sedangkan ia ingin mendekatkan mereka kepadanya.[7]

Oleh itu langkah pertama yang mesti dimulakan terlebih dahulu ialah pembersihan jiwa daripada (‘ubudiah) perhambaan kepada sesuatu selain daripada Allah Subhanahuwata’ala dalam apa juga bentuk ‘ubudiah, sama ada dalam ‘iktikad, ibadah dan syariat. Kumpulan yang bersih hati dan jiwa dalam ‘ubudiah inilah sahaja yang dapat membangun ummah Islamiyah yang diredhai Allah Subhanahuwata’ala. Melalui proses seperti inilah lahirnya kumpulan Islam pertama yang berjaya membangunkan masyarakat atau ummah Islamiah contoh yang terkenal dengan generasi al-Quran yang unik. Cara begini sahajalah mesti dibangunkan oleh mana-mana kumpulan atau organisasi dakwah yang ingin melahirkan kembali Islam yang sempurna.

Oleh: Ustaz Abdul Hadi Osman

[1] Yakan, Fathi, Abjadiyat al-Tasawwur al-Haraki Lil ‘Amal al-Islami, h. 154

[2] Al-Qur’an, Surah al-Baqarah, 2:143

[3] Al-Qur’an, Surah Ali Imran, 3:110

[4] Al-Qur’an, Surah al-Baqarah, 2:208

[5] Yakan, Fathi, Abjadiyat al-Tasawwur al-Haraki Lil ‘Amal al-Islami, h. 156

[6] Mustafa Masyhur, Tariq al-Da’wah, h. 62

[7] Muhammad Said Ramadan al-Buti, Hakaza Fal Nad’u Ila al-Islam, (Damsyik, Suria, Maktabah al-Farabi, tanpa tarikh), h. 24

Check Also

Ciri-Ciri Keistimewaan Bergerak Secara Organisasi (Ciri 2)

CIRI 2: KESERAGAMAN DALAM MATLAMAT DAN JALAN Wujudnya keseragaman dalam matlamat mampu memberikan suatu perbendaharaan …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *