Akhlak Islam

Definisi akhlak

Al-Khuluq bererti tabiat atau tingkah laku. Menurut Al-Ghazali (dalam Ihya’ Ulumuddin) akhlak ialah sesuatu yang sebati dalam jiwa seseorang dan melahirkan tingkah laku secara spontan tanpa dirancang atau disengajakan.

Oleh itu dapatlah dikatakan akhlak ialah kumpulan nilai atau sifat yang sebati dalam jiwa seseorang yang menjadi neraca atau kayu ukur bagi menentukan sesuatu perbuatan itu samada baik atau buruk, seterusnya menentukan samada mahu dilaksanakan atau ditinggalkan.

Pentingnya akhlak

Akhlak sangat penting dan pengaruhnya sangat besar dalam membentuk tingkah laku manusia. Apa saja yang lahir daripada manusia atau segala tindak-tanduk manusia adalah sesuai dengan pembawaan dan sifat yang ada dalam jiwanya.

Tepatlah apa yang dikatakan oleh Al-Ghazali dalam bukunya Ihya’ Ulumuddin:

Sesungguhnya semua sifat yang ada dalam hati akan lahir pengaruhnya (tandanya) pada anggota manusia, sehingga tidak ada suatu perbuatan pun melainkan semuanya mengikut apa yang ada dalam hati manusia.

Tingkah laku atau perbuatan manusia mempunyai hubungan yang erat dengan sifat dan pembawaan dalam hatinya. Umpama pokok dengan akarnya. Bermakna, tingkah laku atau perbuatan seseorang akan baik apabila baik hatinya, sepertimana pokok, apabila baik akarnya maka baiklah pokoknya. Apabila rosak akar, maka akan rosaklah pokok dan  cabangnya. Allah Subhanahuwata‘ala berfirman:

وَٱلۡبَلَدُ ٱلطَّيِّبُ يَخۡرُجُ نَبَاتُهُۥ بِإِذۡنِ رَبِّهِۦۖ وَٱلَّذِي خَبُثَ لَا يَخۡرُجُ إِلَّا نَكِدٗاۚ كَذَٰلِكَ نُصَرِّفُ ٱلۡأٓيَٰتِ لِقَوۡمٖ يَشۡكُرُونَ ٥٨

Dan tanah yang baik, tanaman-tanamannya tumbuh subur dengan seizin Allah, dan tanah yang tidak subur, tanaman-tanamannya hanya tumbuh merana. Demikianlah Kami mengulangi tanda-tanda kebesaran (Kami) bagi orang yang bersyukur.

(Surah Al- A’raf: 58)

Islam adalah ajaran yang  benar untuk memperbaiki manusia dan membentuk akhlaknya demi mencapai kehidupan yang baik. Islam memperbaiki manusia dengan cara terlebih dahulu memperbaiki jiwa, membersihkan hati dan menanamkan sifat-sifat terpuji. Islam benar-benar dapat membawa manusia untuk mencapai kebahagiaan, kelapangan dan ketenteraman.

Sebaliknya manusia akan menjadi hina apabila ia merosakkan sifat, pembawaan dan keadaan dalam jiwanya. Allah Subhanahuwata‘ala berfirman:

 إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوۡمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُواْ مَا بِأَنفُسِهِمۡۗ

Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri.

 (Surah Ar-Ra’d: 11)

Manusia sebelum berbuat sesuatu atau meninggalkan sesuatu terlebih dahulu mempertimbangkan dan memikirkannya samada hendak membuatnya atau meninggalkannya. Pertimbangan  ini akan mengikut akhlak yang ada dalam jiwanya. Apabila dia telah mengambil keputusan untuk melakukan atau tidak, maka barulah lahir dorongan dan keinginan untuk membuat sesuatu atau meninggalkannya.

Pertimbangan itu kadang-kadang berlaku secara spontan sehingga lahir suatu tindakan tanpa sengaja dan tanpa memikirkannya. Kadang-kadang pula pertimbangan itu berlaku melalui satu proses pemikiran yang mendalam dan mengambil waktu yang lama. Kadang-kadang manusia, dalam pertimbangannya timbul keraguan samada ingin membuat sesuatu atau meninggalkannya. Namun, dalam semua keadaan, tingkah laku atau perbuatan manusia didahului oleh pertimbangan dan penilaian. Ini semua menunjukkan betapa pentingnya akhlak.

Sesungguhnya tingkah laku atau perbuatan manusia bergantung kepada akhlaknya. Akhlak Islam perlu ditanam betul-betul pada jiwa manusia sehingga ia dapat menguasai seluruh tindak-tanduk dan pemikirannya. Dan, sehingga manusia sentiasa tertarik dengan akhlak Islam dan yakin bahawa kehidupan ini  semestinya disesuaikan dengan akhlak Islam.

Oleh itu Islam sentiasa mengingatkan manusia  agar berpegang dan mencintai  akhlak yang baik. Juga berusaha untuk melaksanakan akhlak Islam sehingga tercerna dengan jelas dalam semua amal perbuatannya.

Kedudukan akhlak dalam Islam

Akhlak dalam Islam sangat penting. Ini dapat dilihat dari beberapa sudut:

1. Tujuan risalah Islam itu adalah untuk menyempurnakan akhlak yang mulia, sepertimana sabda Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam:

إنما بُعِثْتُ لأُتَمِّمَ مكارمَ الأخلاقِ

Sesungguhnya aku dibangkitkan (diutus) untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.

(Riwayat Albani)[1]

2. Definisi Islam dihubungkan dengan akhlak yang baik. Dalam sebuah hadits diterangkan seorang lelaki pernah bertanya kepada Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam

فقال: يا رسولَ اللهِ ما الدِّينُ ؟ قال الرسول صلى الله عليه وسلم: حُسْنُ الخلقِ

Maka telah berkata : Wahai Rasulullah, apakah din itu? Ar-Rasul Sallallahu’alaihiwasallam menjawab: Akhlak yang baik.

(Riwayat al-Iraqi)[2]

Ini menunjukkan bahawa akhlak  adalah salah satu tiang din yang penting dan  mesti ditegakkan untuk mengukuhkan din. Ia sama seperti pentingnya wukuf di Arafah sebagai salah satu amalan untuk sahnya haji. Dalam sebuah hadits diterangkan bahawa haji adalah wukuf di Arafah. Oleh itu seseorang itu tidak boleh dikatakan sudah berhaji jika tidak berwukuf di Arafah.

3. Akhlak akan memberatkan timbangan kebaikan seseorang di hari kiamat. Dalam sebuah hadits diterangkan:

أثقلُ شيءٍ في الميزانِ الخُلقُ الحسَنُ

Perkara yang paling berat timbangannya ialah akhlak yang baik.

(Riwayat Ibn Hibban)[3]

4Orang yang beriman mempunyai darjat iman yang berbeza-beza dan orang yang terbaik di kalangan mereka ialah yang terbaik akhlaknya. Dalam sebuah hadits diterangkan:

قال : أيُّ المُؤمِنينَ أكمَلُ إيمانًا؟ قال : أحسَنُهم خُلُقًا

Seorang lelaki bertanya: orang mu’min yang manakah yang paling sempurna? Baginda menjawab: Orang yang akhlaknya paling baik.

(Riwayat at-Tabrani)[4]

5. Orang yang paling dikasihi dan paling dekat dengan Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam di hari kiamat nanti ialah orang beriman yang paling berakhlak baik. Dalam sebuah hadits diterangkan:

إنَّ من أحبِّكم إليَّ وأقربِكُم منِّي مجلسًا يومَ القيامةِ أحاسنَكُم أخلاقًا

Orang yang paling aku kasihi dan paling dekat denganku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya.

(Riwayat at-Tirmizi)[5]

6. Dengan akhlak yang baik manusia terhindar daripada api neraka dan membawanya masuk ke dalam syurga. Ternyatalah, sangat tinggi nilai akhlak yang baik dan tidak akan dapat diganti dengan ibadah-ibadah yang lain seperti sembahyang dan puasa. Dalam hadits diterangkan:

قيل للنبيِّ صلَّى اللهُ عليهِ وسلَّمَ : يا رسولَ اللهِ إنَّ فلانةً تقومُ الليلَ وتصومُ النهارَ وتفعلُ وتصدَّقُ وتُؤذي جيرانَها بلسانِها فقال رسولُ اللهِ صلَّى اللهُ عليهِ وسلَّمَ : لا خيرَ فيها هي من أهلِ النَّارِ

Beberapa orang sahabat berkata kepada Rasusulullah Sallallahu’alaihiwasallam: wahai Rasulullah sesungguhnya  seorang wanita yang solat pada malam hari dan berpuasa pada siang hari, sedangkan akhlaknya buruk dan mengganggu jiran tetangga dengan lidahnya. Maka Baginda bersabda: Tidak ada kebaikan padanya, dia adalah ahli neraka.

(Riwayat Albani)[6]

7. Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam selalu berdoa kepada Allah agar Allah memperbaiki akhlaknya. Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam berdoa:

اللَّهمَّ كما حَسَّنتَ خَلقي ، فحسِّن خُلُقي

Ya Allah, sepertimana engkau perelokkan kejadianku maka hiasilah budi pekertiku dengan akhlak yang baik.

(Riwayat Ibn Hibban)[7]

Juga doa Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam:

اللهم اهدِني لأحسنِ الأخلاقِ . لا يهدي لأحسنِها إلا أنت . واصرِفْ عني سيِّئَها . لا يصرفُ عني سيِّئَها إلا أنت

 Ya Allah, tunjukilah aku kepada akhlak yang baik, tidak ada yang dapat memberikan petunjuk kepada yang lebih baik kecuali Engkau. Jauhkanlah aku dari akhlak yang buruk, kerana tidak ada yang dapat menghindarkan aku dari akhlak yang buruk kecuali Engkau.

(Riwayat Muslim)[8]

Sebagaimana yang kita maklumi Rasulullah tidak akan meminta kepada Allah kecuali apa yang disukai dan disenangi oleh Allah, dan yang dapat mendekatkan diri kepada Allah.

 8. Allah Subhanahuwata‘ala telah memuji Rasul-Nya kerana akhlaknya yang baik dalam firman-Nya:

وَإِنَّكَ لَعَلَىٰ خُلُقٍ عَظِيمٖ ٤

Dan Sesungguhnya kamu benar-benar berbudi pekerti yang agung

(Surah Al-Qalam: 4)

 Allah Subhanahuwata‘ala tidak akan memuji sesuatu itu melainkan ia suatu yang baik. Olen itu akhlak yang baik sangat penting dalam din Islam.\

9. Dalam Al-Quran terdapat banyak ayat-ayat yang berhubung dengan akhlak samada ayat-ayat yang memerintah memperbaiki akhlak, memuji orang yang berakhlak baik ataupun memberi pahala kepada orang yang berakhlak baik.

Terdapat juga ayat-ayat yang melarang berakhlak buruk, mencela akhlak yang buruk dan mengancam orang yang berakhlak buruk.

Ayat-ayat berhubung dengan akhlak bukan saja turun di Mekah bahkan juga turun sesudah Rasulullah berhijrah ke Madinah. Oleh kerana banyaknya ayat-ayat mengenai akhlak, maka tidak diragukan lagi akan kepentingan akhlak dalam Islam.

Akhlak Islam secara umum

Islam dengan secara umumnya menyeru manusia agar berakhlak baik. Firman Allah Subhanahuwata‘ala:

وَقُل لِّعِبَادِي يَقُولُواْ ٱلَّتِي هِيَ أَحۡسَنُۚ إِنَّ ٱلشَّيۡطَٰنَ يَنزَغُ بَيۡنَهُمۡۚ إِنَّ ٱلشَّيۡطَٰنَ كَانَ لِلۡإِنسَٰنِ عَدُوّٗا مُّبِينٗا ٥٣

Dan katakanlah kepada hamha-hamba-Ku: Hendaklah mereka mengucapkan perkataan yang lebih baik (benar). Sesungguhnya syaitan itu menimbulkan perselisihan di antara mereka. Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi manusia.

                        (Surah Al-Isra’: 53)

Islam menda’wahkan manusia agar berkata yang baik. Setiap orang harus berkata baik dalam semua bentuk, baik semasa memanggil mahupun semasa berbicara.

Dalam ayat lain Allah Subhanahuwata‘ala berfirman:

۞إِنَّ ٱللَّهَ يَأۡمُرُ بِٱلۡعَدۡلِ وَٱلۡإِحۡسَٰنِ وَإِيتَآيِٕ ذِي ٱلۡقُرۡبَىٰ وَيَنۡهَىٰ عَنِ ٱلۡفَحۡشَآءِ وَٱلۡمُنكَرِ وَٱلۡبَغۡيِۚ يَعِظُكُمۡ لَعَلَّكُمۡ تَذَكَّرُونَ ٩٠

Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat kebajikan, memberi kepada kaum kerabat, dan Allah melarang perbuatan keji, kemungkaran dan permusuhan, Dia memberi pengajaran kepadamu agar kamu dapat mengambil pelajaran.

(Surah An-Nahl: 90)

Da’wah Islam menyeru manusia menghindarkan diri dari perbuatan-perbuatan keji dan buruk. Da’wah seperti ini juga terdapat dalam beberapa hadits, seperti:

اتَّقِ اللَّهِ حيثُ ما كنتَ ، وأتبعِ السَّيِّئةَ الحسنةَ تمحُها ، وخالقِ النَّاسَ بخلقٍ حسنٍ

Bertaqwalah kamu kepada Allah di mana sahaja kamu berada, ikutilah  kejahatan itu dengan kebaikan, nescaya kebaikan dapat menghapuskan kejahatan. Berakhlaklah (bergaullah) kepada manusia dengan akhlak yang baik.

(Riwayat Albani)[9]

Akhlak yang baik termasuk dalam kumpulan amal yang baik. Dalam hadits diterangkan:

إِنَّ الرجلَ لَيُدْرِكُ بحسنِ خُلُقِهِ دَرَجَاتِ قائِمِ الليلِ ، صائِمِ النَّهارِ

Seorang lelaki boleh mencapai dengan akhlak yang baik darjat orang yang mendirikan qiamulail dan berpuasa di siang hari.

(Riwayat Albani)[10]

Islam tidak sekadar berda’wah agar manusia  berakhlak baik secara umum dan meninggalkan akhlak keji, tetapi juga menerangkan  akhlak itu secara terperinci. Ini supaya manusia tidak salah faham tentang erti akhlak. Islam menerangkan jenis-jenis akhlak buruk yang harus ditinggalkan dan jenis-jenis akhlak  baik yang harus diamalkan.

Berikut akan dikemukakan contoh-contoh akhlak berdasar Al-Quran dan As-Sunnah.

Contoh akhlak dalam al-Quran

1. Menunaikan janji

 وَأَوۡفُواْ بِٱلۡعَهۡدِۖ إِنَّ ٱلۡعَهۡدَ كَانَ مَسۡ‍ُٔولٗا ٣٤

Hendaklah kamu menepati janji,  sesungguhnya manusia itu akan dipertanggungjawabkan (diperiksa) tentang janjinya.

(Surah Al-Isra’ : 34)

2. Larangan bercakap sesuatu yang tidak diketahui.

Allah Subhanahuwata‘ala berfirman:

وَلَا تَقۡفُ مَا لَيۡسَ لَكَ بِهِۦ عِلۡمٌۚ إِنَّ ٱلسَّمۡعَ وَٱلۡبَصَرَ وَٱلۡفُؤَادَ كُلُّ أُوْلَٰٓئِكَ كَانَ عَنۡهُ مَسۡ‍ُٔولٗا ٣٦

Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya, sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan dipertanggungjawabkan (diperiksa).

(Surah Al-Isra’ : 36)

3. Larangan berlaku sombong dan takabbur.

Allah Subhanahuwata’ala berfirman:

وَلَا تَمۡشِ فِي ٱلۡأَرۡضِ مَرَحًاۖ إِنَّكَ لَن تَخۡرِقَ ٱلۡأَرۡضَ وَلَن تَبۡلُغَ ٱلۡجِبَالَ طُولٗا ٣٧

Dan janganlah kamu berjalan di muka bumi ini dengan sombong, Karena sesungguhnya kamu sekali-kali tidak dapat menembus bumi dan sekali-kali kamu tidak akan sampai setinggi gunung.

(Surah Al-Isra’: 37)

4. Larangan berlaku boros, membazir, tamak dan kedekut (bakhil).

Allah Subhanahuwata‘ala berfirman:

وَءَاتِ ذَا ٱلۡقُرۡبَىٰ حَقَّهُۥ وَٱلۡمِسۡكِينَ وَٱبۡنَ ٱلسَّبِيلِ وَلَا تُبَذِّرۡ تَبۡذِيرًا ٢٦ إِنَّ ٱلۡمُبَذِّرِينَ كَانُوٓاْ إِخۡوَٰنَ ٱلشَّيَٰطِينِۖ وَكَانَ ٱلشَّيۡطَٰنُ لِرَبِّهِۦ كَفُورٗا ٢٧

Dan berikanlah kepada keluarga-keluarga yang dekat akan haknya, kepada orang miskin dan orang yang dalam perjalanan dan janganlah kamu menghambur-hamburkan (hartamu) secara boros. Sesungguhnya pemboros-pemboros itu adalah saudara-saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat ingkar kepada Rabnya.

 (Surah Al-Isra’: 26-27)

لَا تَجۡعَلۡ يَدَكَ مَغۡلُولَةً إِلَىٰ عُنُقِكَ وَلَا تَبۡسُطۡهَا كُلَّ ٱلۡبَسۡطِ فَتَقۡعُدَ مَلُومٗا مَّحۡسُورًا ٢٩

Dan janganlah kamu jadikan tanganmu terbelenggu pada lehermu dan janganlah kamu terlalu mengulurkannya, nanti  kamu menjadi tercela dan menyesal.

(Surah Al-Isra’: 29)

5. Suruhan berlaku adil dalam semua keadaan dan terhadap semua manusia bahkan kepada orang yang kafir.

Allah Subhanahuwata‘ala berfirman:

وَإِذَا قُلۡتُمۡ فَٱعۡدِلُواْ وَلَوۡ كَانَ ذَا قُرۡبَىٰۖ وَبِعَهۡدِ ٱللَّهِ أَوۡفُواْۚ ذَٰلِكُمۡ وَصَّىٰكُم بِهِۦ لَعَلَّكُمۡ تَذَكَّرُونَ ١٥٢

Dan apabila kamu berkata, maka hendaklah kamu berlaku adil, meskipun ia adalah kerabat(mu), dan penuhilah janji Allah, yang demikian itu diperintahkan Allah kepadamu agar kamu ingat.

(Surah Al-An’am: 152)

6. Suruhan bantu membantu dalam melakukan kebaikan dan taqwa.

Firman Allah Subhanahuwata‘ala:

وَتَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡبِرِّ وَٱلتَّقۡوَىٰۖ وَلَا تَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡإِثۡمِ وَٱلۡعُدۡوَٰنِۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۖ

Tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan taqwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. dan bertaqwalah kamu kepada Allah.

(Surah Al-Maidah: 2)

7. Kezaliman membawa akibat yang buruk di hari kiamat dan membawa kepada siksaan yang pedih. Kezaliman terdiri dari pelbagai jenis, manakala kezaliman yang paling keji ialah melanggar peraturan Allah dan berdusta terhadap Allah. Orang zalim terputus hubungan dengan Allah dan jauh  daripada rahmat Allah. Islam melarang kezaliman. Allah Subhanahuwata‘ala berfirman:

وَسَيَعۡلَمُ ٱلَّذِينَ ظَلَمُوٓاْ أَيَّ مُنقَلَبٖ يَنقَلِبُونَ ٢٢٧

Dan orang yang zalim itu kelak akan mengetahui ke tempat mana mereka akan kembali.

(Surah As-Syu‘ara’: 227)

وَمَنۡ أَظۡلَمُ مِمَّنِ ٱفۡتَرَىٰ عَلَى ٱللَّهِ كَذِبًا أَوۡ كَذَّبَ بِ‍َٔايَٰتِهِۦٓۚ إِنَّهُۥ لَا يُفۡلِحُ ٱلظَّٰلِمُونَ ٢١

Dan siapakah yang lebih aniaya daripada orang yang membuat-buat suatu kedustaan terhadap Allah, atau mendustakan ayat-ayat-Nya? Sesungguhnya orang yang aniaya itu tidak mendapat keberuntungan.

 (Surah Al-An‘am: 21)

تِلۡكَ حُدُودُ ٱللَّهِ فَلَا تَعۡتَدُوهَاۚ وَمَن يَتَعَدَّ حُدُودَ ٱللَّهِ فَأُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلظَّٰلِمُونَ ٢٢٩

Itulah hukum-hukum Allah, maka janganlah kamu melanggarnya. barangsiapa yang melanggar hukum-hukum Allah mereka Itulah orang yang zalim.

 (Surah Al-Baqarah: 229)

وَمَا لِلظَّٰلِمِينَ مِن نَّصِيرٖ ٧١

Dan bagi orang yang zalim sekali-kali tidak ada seorang penolong pun.

(Surah Al-Hajj: 71)

8. Sabar sebahagian dari iman sepertimana kepala sebahagian dari tubuh. Seorang muslim harus bersabar dalam melakukan ketaatan, bersabar dalam meninggalkan maksiat dan bersabar dalam menghadapi takdir Allah. Dengan bersabar, seseorang akan menjadi orang yang baik dan berbuat baik. Orang yang bersabar akan dicurahkan rahmat oleh Allah Subhanahuwata’ala. Justeru itu Islam memerintahkan umatnya bersifat sabar. Allah Subhanahuwata‘ala berfirman:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱصۡبِرُواْ وَصَابِرُواْ وَرَابِطُواْ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ لَعَلَّكُمۡ تُفۡلِحُونَ ٢٠٠

Wahai orang yang beriman, bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaranmu dan tetaplah bersiap siaga dan bertaqwalah kepada Allah, supaya kamu beruntung.

(Surah Ali-Imran: 200)

فَٱصۡبِرۡ إِنَّ وَعۡدَ ٱللَّهِ حَقّٞۖ وَلَا يَسۡتَخِفَّنَّكَ ٱلَّذِينَ لَا يُوقِنُونَ ٦٠

Dan bersabarlah kamu, sesungguhnya janji Allah adalah benar dan sekali-kali janganlah orang yang tidak meyakini (kebenaran ayat-ayat Allah) itu menggelisahkan kamu.

 (Surah Ar-Rum: 60)

9. Benar adalah tanda atau buah iman. Islam memerintahkan muslim agar bersifat benar. Allah Subhanahuwata‘ala berfirman:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱتَّقُواْ ٱللَّهَ وَكُونُواْ مَعَ ٱلصَّٰدِقِينَ ١١٩

Wahai orang yang beriman bertaqwalah kepada Allah, dan hendaklah kamu bersama orang yang benar.

(Surah At-Taubah: 119)

10. Dusta adalah satu kehinaan. Pendusta akan dijauhkan daripada hidayah Allah dan akan menjadi orang munafik. Islam melarang berdusta. Allah Subhanahuwata’ala berfirman:

إِنَّ ٱللَّهَ لَا يَهۡدِي مَنۡ هُوَ مُسۡرِفٞ كَذَّابٞ ٢٨

Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang yang melampaui batas lagi pendusta.

 (Surah Ghafir: 28)

فَأَعۡقَبَهُمۡ نِفَاقٗا فِي قُلُوبِهِمۡ إِلَىٰ يَوۡمِ يَلۡقَوۡنَهُۥ بِمَآ أَخۡلَفُواْ ٱللَّهَ مَا وَعَدُوهُ وَبِمَا كَانُواْ يَكۡذِبُونَ ٧٧

Maka Allah menimbulkan kemunafikan pada hati mereka sampai kepada waktu mereka menemui Allah, kerana mereka telah memungkiri terhadap Allah apa yang telah mereka ikrarkan kepada-Nya dan juga kerana mereka selalu berdusta.

 (Surah At-Taubah: 77)

11. Sombong, ujub, kikir dan riya’ adalah sifat-sifat atau penyakit-penyakit yang hina dan merbahaya yang akan menghapuskan cahaya hati sehingga, pada akhirnya, seseorang itu akan jauh daripada Allah. Islam melarang seseorang daripada memiliki sifat-sifat tersebut. Allah Subhanahuwata’ala berfirman:

وَلَا تُصَعِّرۡ خَدَّكَ لِلنَّاسِ وَلَا تَمۡشِ فِي ٱلۡأَرۡضِ مَرَحًاۖ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُحِبُّ كُلَّ مُخۡتَالٖ فَخُورٖ ١٨

Dan janganlah kamu memalingkan mukamu dari manusia (karena sombong) dan janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang sombong lagi membanggakan diri.

(Surah Luqman: 18)

إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُحِبُّ مَن كَانَ مُخۡتَالٗا فَخُورًا ٣٦

Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang sombong dan membangga-banggakan diri

(Surah An-Nisa’: 36)

ٱلَّذِينَ يَبۡخَلُونَ وَيَأۡمُرُونَ ٱلنَّاسَ بِٱلۡبُخۡلِ وَيَكۡتُمُونَ مَآ ءَاتَىٰهُمُ ٱللَّهُ مِن فَضۡلِهِۦۗ وَأَعۡتَدۡنَا لِلۡكَٰفِرِينَ عَذَابٗا مُّهِينٗا ٣٧ وَٱلَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمۡوَٰلَهُمۡ رِئَآءَ ٱلنَّاسِ وَلَا يُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَلَا بِٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِۗ وَمَن يَكُنِ ٱلشَّيۡطَٰنُ لَهُۥ قَرِينٗا فَسَآءَ قَرِينٗا ٣٨

(Iaitu) orang yang kikir dan menyuruh orang lain berbuat kikir, dan menyembunyikan kurnia Allah yang telah diberikan-Nya kepada mereka, dan Kami telah menyediakan untuk orang kafir siksa yang menghinakan. Dan (juga) orang yang menafkahkan harta-harta mereka kerana riya’ kepada manusia, dan orang yang tidak beriman kepada Allah dan kepada hari kemudian. Barangsiapa yang mengambil syaitan itu menjadi temannya, maka syaitan itu adalah teman yang seburuk-buruknya.

(Surah An-Nisa’: 37-38)

12. Orang yang beriman memelihara akhlak sewaktu berjalan dan bercakap. Sewaktu berjalan, tidak terlalu lambat dan tidak pula terlalu cepat. Sewaktu bercakap tidak terlalu nyaring, jika nyaring itu tidak diperlukan. Allah Subhanahuwata‘ala berfirman:

وَٱقۡصِدۡ فِي مَشۡيِكَ وَٱغۡضُضۡ مِن صَوۡتِكَۚ إِنَّ أَنكَرَ ٱلۡأَصۡوَٰتِ لَصَوۡتُ ٱلۡحَمِيرِ ١٩

Dan sederhanalah kamu dalam berjalan dan lunakkanlah suaramu. Sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai.

(Surah Luqman: 19)

13. Tetap di atas kebenaran, beribadah dan menjalankan perintah din. Semua ini adalah buah iman dan akan membawa manusia kepada kesolehan dan ketaatan hingga mencapai keuntungan dan keredhaan daripada Allah. Allah Subhanahuwata‘ala berfirman:

إِنَّ ٱلَّذِينَ قَالُواْ رَبُّنَا ٱللَّهُ ثُمَّ ٱسۡتَقَٰمُواْ تَتَنَزَّلُ عَلَيۡهِمُ ٱلۡمَلَٰٓئِكَةُ أَلَّا تَخَافُواْ وَلَا تَحۡزَنُواْ وَأَبۡشِرُواْ بِٱلۡجَنَّةِ ٱلَّتِي كُنتُمۡ تُوعَدُونَ ٣٠

Sesungguhnya orang yang mengatakan: “Rab kami ialah Allah”, kemudian mereka meneguhkan pendirian mereka, maka malaikat akan turun kepada mereka dengan mengatakan: “Janganlah kamu takut dan janganlah merasa sedih, dan gembirakanlah mereka dengan jannah yang telah dijanjikan Allah kepadamu”.

 (Surah Fushilat: 30)

14. Syurga adalah tempat orang yang soleh, bertaqwa dan berakhlak baik. Bakal penghuni-penghuni syurga ialah mereka bertaqwa baik dalam keadaan lapang mahupun sempit, menafkahkan harta dan tidak kikir meskipun harta yang dimiliki itu sedikit. Mereka dapat menahan marah demi mentaati perintah Allah, takut kepada kemurkaan-Nya dan mengharapkan pahala dari-Nya. Mereka tidak menuntut hak orang lain, bahkan sebagian daripada hak mereka dikorbankan untuk kepentingan dan kebaikan umat manusia. Allah Subhanahuwata‘ala berfirman:

۞وَسَارِعُوٓاْ إِلَىٰ مَغۡفِرَةٖ مِّن رَّبِّكُمۡ وَجَنَّةٍ عَرۡضُهَا ٱلسَّمَٰوَٰتُ وَٱلۡأَرۡضُ أُعِدَّتۡ لِلۡمُتَّقِينَ ١٣٣ ٱلَّذِينَ يُنفِقُونَ فِي ٱلسَّرَّآءِ وَٱلضَّرَّآءِ وَٱلۡكَٰظِمِينَ ٱلۡغَيۡظَ وَٱلۡعَافِينَ عَنِ ٱلنَّاسِۗ وَٱللَّهُ يُحِبُّ ٱلۡمُحۡسِنِينَ ١٣٤

Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Rabmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang yang bertaqwa. (Iaitu) orang yang menafkahkan (hartanya), baik di waktu lapang mahupun sempit, dan orang yang menahan marahnya dan memaafkan (kesalahan) orang lain, Allah menyukai orang yang berbuat kebajikan.

(Surah Al-Imran: 133-134)

15. Islam melarang umatnya berhasad dengki. Allah Subhanahuwata‘ala berfirman:

وَٱلَّذِينَ جَآءُو مِنۢ بَعۡدِهِمۡ يَقُولُونَ رَبَّنَا ٱغۡفِرۡ لَنَا وَلِإِخۡوَٰنِنَا ٱلَّذِينَ سَبَقُونَا بِٱلۡإِيمَٰنِ وَلَا تَجۡعَلۡ فِي قُلُوبِنَا غِلّٗا لِّلَّذِينَ ءَامَنُواْ رَبَّنَآ إِنَّكَ رَءُوفٞ رَّحِيمٌ ١٠

Dan orang yang datang sesudah mereka (Muhajirin dan Ansar), mereka berdoa: “Ya Rab kami, beri ampunlah kami dan saudara-saudara kami yang telah beriman terlebih duhulu daripada kami, dan janganlah Engkau membiarkan kedengkian dalam hati kami terhadap orang yang beriman, ya Rab kami, sesungguhnya Engkau Maha Penyantun lagi Maha Penyayang.

(Surah Al-Hasyr: 10)

16. Seorang yang berakhlak tidak menghabiskan masanya melayani orang jahil (melainkan jika orang itu ingin memahami Islam). Allah Subhanahuwata‘ala berfirman:

خُذِ ٱلۡعَفۡوَ وَأۡمُرۡ بِٱلۡعُرۡفِ وَأَعۡرِضۡ عَنِ ٱلۡجَٰهِلِينَ ١٩٩

Jadilah engkau pema’af dan suruhlah orang mengerjakan yang ma’ruf, serta berpalinglah dari pada orang yang jahil.

(Surah Al-A’raf: 199)

17. Islam melarang mencaci, menghina dan memperolok-olokkan antara sesama muslim. Allah Subhanahuwata‘ala berfirman:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا يَسۡخَرۡ قَوۡمٞ مِّن قَوۡمٍ عَسَىٰٓ أَن يَكُونُواْ خَيۡرٗا مِّنۡهُمۡ وَلَا نِسَآءٞ مِّن نِّسَآءٍ عَسَىٰٓ أَن يَكُنَّ خَيۡرٗا مِّنۡهُنَّۖ وَلَا تَلۡمِزُوٓاْ أَنفُسَكُمۡ وَلَا تَنَابَزُواْ بِٱلۡأَلۡقَٰبِۖ بِئۡسَ ٱلِٱسۡمُ ٱلۡفُسُوقُ بَعۡدَ ٱلۡإِيمَٰنِۚ وَمَن لَّمۡ يَتُبۡ فَأُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلظَّٰلِمُونَ ١١

Wahaiorang yang beriman, janganlah sekumpulan orang laki-laki merendahkan kumpulan yang lain, boleh jadi yang ditertawakan itu lebih baik daripada mereka.dan jangan pula sekumpulan perempuan merendahkan kumpulan lainnya, boleh jadi yang direndahkan itu lebih baik. dan janganlah suka mencela dirimu sendiri dan jangan memanggil dengan gelaran yang mengandungi ejekan. Seburuk-buruk panggilan adalah (panggilan) yang buruk sesudah iman dan barangsiapa yang tidak bertaubat, maka mereka itulah orang yang zalim.

 (Surah Al-Hujarat: 11)

18. Akhlak mu’min adalah tanda keimanan orang beriman.

Allah Subhanahuwata‘ala berfirman:

قَدۡ أَفۡلَحَ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ ١ٱلَّذِينَ هُمۡ فِي صَلَاتِهِمۡ خَٰشِعُونَ ٢  وَٱلَّذِينَ هُمۡ عَنِ ٱللَّغۡوِ مُعۡرِضُونَ ٣ وَٱلَّذِينَ هُمۡ لِلزَّكَوٰةِ فَٰعِلُونَ ٤  وَٱلَّذِينَ هُمۡ لِفُرُوجِهِمۡ حَٰفِظُونَ ٥ إِلَّا عَلَىٰٓ أَزۡوَٰجِهِمۡ أَوۡ مَا مَلَكَتۡ أَيۡمَٰنُهُمۡ فَإِنَّهُمۡ غَيۡرُ مَلُومِينَ ٦ فَمَنِ ٱبۡتَغَىٰ وَرَآءَ ذَٰلِكَ فَأُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡعَادُونَ ٧ وَٱلَّذِينَ هُمۡ لِأَمَٰنَٰتِهِمۡ وَعَهۡدِهِمۡ رَٰعُونَ ٨ وَٱلَّذِينَ هُمۡ عَلَىٰ صَلَوَٰتِهِمۡ يُحَافِظُونَ ٩  أُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡوَٰرِثُونَ ١٠ ٱلَّذِينَ يَرِثُونَ ٱلۡفِرۡدَوۡسَ هُمۡ فِيهَا خَٰلِدُونَ ١١

Sesungguhnya beruntunglah orang beriman. (Iaitu) orang yang khusyu’ dalam solatnya. Dan, orang yang menjauhkan diri dari (perbuatan dan perkataan) yang sia-sia.  Dan, orang yang menunaikan zakat. Dan, orang yang menjaga kehormatannya.   Kecuali terhadap isteri-isteri atau hamba yang mereka miliki. Maka sesungguhnya mereka dalam hal ini tidak tercela. Barangsiapa mencari yang di balik itu, maka mereka itulah orang yang melampaui batas. Dan orang yang memelihara amanah-amanah (yang dipikulnya) dan janjinya. Dan orang yang memelihara solatnya. Mereka itulah orang yang akan mewarisi. (Yakni) yang akan mewarisi syurga firdaus, mereka kekal di dalamnya.

 (Surah Al-Mu’minun : 1-11)

وَعِبَادُ ٱلرَّحۡمَٰنِ ٱلَّذِينَ يَمۡشُونَ عَلَى ٱلۡأَرۡضِ هَوۡنٗا وَإِذَا خَاطَبَهُمُ ٱلۡجَٰهِلُونَ قَالُواْ سَلَٰمٗا ٦٣  وَٱلَّذِينَ يَبِيتُونَ لِرَبِّهِمۡ سُجَّدٗا وَقِيَٰمٗا ٦٤ وَٱلَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَا ٱصۡرِفۡ عَنَّا عَذَابَ جَهَنَّمَۖ إِنَّ عَذَابَهَا كَانَ غَرَامًا ٦٥  إِنَّهَا سَآءَتۡ مُسۡتَقَرّٗا وَمُقَامٗا ٦٦

Dan hamba-hamba Yang Maha Penyayang itu (ialah) orang yang berjalan di atas bumi dengan rendah hati dan apabila orang jahil menyapa mereka, mereka mengucapkan kata-kata (yang mengandungi) keselamatan. Dan orang yang melalui malam hari dengan bersujud dan berdiri untuk Rab mereka. Dan orang yang berkata: “Ya Rab kami, jauhkan azab jahannam dari kami, sesungguhnya azabnya itu adalah kebinasaan yang kekal”.  Sesungguhnya jahannam itu seburuk-buruk tempat menetap dan tempat kediaman.

(Surah Al-Furqan : 63-66)

Contoh-contoh akhlak dari sunnah Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam

1. Tidak bersifat pemarah.

أنَّ رجلًا قال للنبيِّ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم : أَوصِني ، قال : لا تَغضَبْ

Seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam, “Wahai Rasulullah, berikanlah wasiat kepadaku.” Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam menjawab, “Janganlah kamu marah.”

(Riwayat al-Bukhari)[11]

2. Bersifat malu. Dalam beberapa buah hadits diterangkan:

الحياءُ لا يأتي إلَّا بخيرٍ

“Tidak ada yang datang dari sifat pemalu itu kecuali kebaikan.”

(Riwayat al-Bukhari)[12]

الحياءُ كلُّهُ خيرٌ

“Sitat pemalu itu semuanya baik.”

(Riwayat Muslim)[13]

إنَّ لِكُلِّ دينٍ خُلُقًا، وخُلُقُ الإسلامِ الحياءُ

“Sesungguhnya semua agama itu mempunyai akhlak dan akhlak Islam itu ialah pemalu.”

(Riwayat Albani)[14]

إذا لم تَسْتَحْيِ فاصنَعْ ما شِئْتَ

“Apabila engkau tidak merasa malu lagi maka perbuatlah apa yang engkau kehendaki.”

(Riwayat al-Bukhari)[15]

3. Tolong menolong. Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda:

اللهُ عزَّ وجلَّ في عونِ العبدِ ما كان العبدُ في عونِ أخيه

“Allah memberikan pertolongan kepada hamba itu selama hamba itu menolong saudaranya.”

(Riwayat at-Tabrani)[16]

4. Tidak melanggar hak seorang muslim. Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda :

لا تحاسَدوا ، ولا تَناجَشوا ، ولا تباغَضوا ، ولا تدابروا ، ولا يبِعْ بعضُكُم علَى بيعِ بعضٍ ، وَكونوا عبادَ اللَّهِ إخوانًا المسلمُ أخو المسلمِ ، لا يظلِمُهُ ولا يخذلُهُ ، ولا يحقِرُهُ التَّقوَى ههُنا ويشيرُ إلى صدرِهِ ثلاثَ مرَّاتٍ بحسبِ امرئٍ منَ الشَّرِّ أن يحقِرَ أخاهُ المُسلمَ ، كلُّ المسلمِ علَى المسلمِ حرامٌ ، دمُهُ ، ومالُهُ ، وَعِرْضُهُ

Janganlah kamu berlaku berhasad (dengki), suka mengintip-intip kawan, suka marah memarahi, berkelahi, berlaku durhaka sebagian kamu atas sebagian yang lain, jadilah kamu hamba Allah yang bersaudara. Seorang muslim adalah saudara dengan seorang muslim yang lain, janganlah dia menzalimi, merendah dan menghina saudaranya, dan taqwa itu disini (sambil menunjuk dadanya tiga kali). Termasuklah dalam kejahatan apabila dia menghina saudaranya yang muslim. Seorang muslim mempunyai hak  atas saudara muslim yang lain, diharamkan darahnya, harta dan kehormatannya.

(Riwayat Muslim)[17]

5. Tidak bersifat munafik. Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda :

آيةُ المنافِقِ ثلاثٌ : إذا حدَّثَ كذَبَ ، وإذا وعَدَ أخلَفَ ، وإذا اؤتُمِنَ خانَ

“Tanda orang yang munafik itu ada tiga, apabila berbicara maka ia berdusta, apabila berjanji maka ia tidak menepati janji dan apabila diberi amanat maka ia berkhianat.”

(Riwayat al-Bukhari)[18]

أربعٌ من كن فيه كان منافقًا خالصًا ، ومن كانت فيه خَصْلةٌ منهن كانت فيه خَصْلَةٌ من النفاقِ حتى يدعَها: إذا اؤتُمِنَ خانَ ، وإذا حدَّثَ كذبَ ، وإذا عاهدَ غَدرَ ، وإذا خاصمَ فجرَ.

“Empat perkara, barangsiapa ada pada dirinya maka jadilah dia orang munafik yang sebenarnya,  dan barangsiapa ada salah satu perkara pada dirinya, maka dia mempunyai tanda orang yang munafik sehingga dia melepaskannya. Apabila diberi amanat dia berkhianat, apabila berbicara dia berdusta, apabila berjanji tidak menepati janji dan apabila bertengkar dia bersikap keras (dengan pendapatnya).”

(Riwayat al-Bukhari)[19]

6. Bersifat malu dan berhati-hati. Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam berkata kepada As-Yad bin Abdil Qais :

إنَّ فيكَ خَصْلتَيْنِ يُحِبُّهما اللهُ الحِلمُ والأناةُ

“Sesungguhnya ada dua sifat yang ada padamu, yang akan dikasihi (disenangi) oleh Allah, iaitu pemalu dan berhati-hati.”

(Riwayat Ibn Hibban)[20]

7. Bersifat kasih sayang. Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda:

إنَّ اللهَ رفيقٌ ، يُحِبُّ الرفقَ في الأمرِ كلِّه

“Sesungguhnya Allah bersifat kasih sayang, mengasihi sifat kasih sayang dalam semua perkara.

(Riwayat Albani)[21]

8. Tidak bersifat riya’ dan sum’ah. Malah, mengamalkan sifat ikhlas.

سُئِلَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنِ الرَّجُلِ يُقَاتِلُ شَجَاعَةً ، وَيُقَاتِلُ حَمِيَّةً ، وَيُقَاتِلُ رِيَاءً أَيُّ ذَلِكَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ ؟ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : ” مَنْ قَاتَلَ لِتَكُونَ كَلِمَةُ اللَّهِ هِيَ الْعُلْيَا فَهُوَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ

Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam ditanya tentang seorang lelaki yang berperang kerana berani, berperang kerana membela diri dan berperang kerana riya’ (mengharap pujian orang), siapakah di antara mereka yang benar-benar berperang di jalan Allah?. Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda:

“Barangsiapa berperang demi untuk meninggikan agama Allah, sesungguhnya dia telah berperang di jalan Allah.”

(Riwayat Muslim)[22]

Sabda Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam :

إنَّما الأعمالُ بالنيةِ، ولكلِّ امرئٍ ما نوى، فمَن كانتْ هجرتُه إلى اللهِ ورسولِه فهجرتُه إلى اللهِ ورسولِه، ومَن كانتْ هجرتُه لدنيا يُصيبُها أوِ امرأةٍ يتزوجُها، فهجرتُه إلى ما هاجَر إليه .

“Sesungguhnya amal perbuatan itu sesuai dengan niat, setiap orang akan mendapat sesuai dengan apa yang diniatkannya. Barangsiapa berniat berhijrah kerana Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya kepada Allah dan rasul, dan barangsiapa hijrahnya kerana dunia nescaya dunia didapatinya atau wanita yang ingin dikahwininya. Maka hijrahnya sesuai dengan apa yang menjadi tujuan hijrahnya.”

(Riwayat al-Bukhari)[23]

 9Tidak bertengkar dan berdebat. Raslullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda :

أنا زعيم ببيت في ربض الجنة لمن ترك المراء وإن كان محقا ، وببيت في وسط الجنة لمن ترك الكذب وإن كان مازحا ، وببيت في أعلى الجنة لمن حسن خلقه

Aku menjamin dengan rumah di pinggir syurga bagi orang yang meninggalkan pertengkaran walaupun dia di pihak yang benar, Aku menjamin dengan rumah di tengah syurga bagi orang yang meninggalkan dusta walaupun untuk ketika bergurau, Aku menjamin dengan rumah di syurga yang paling tinggi bagi orang yang baik akhlaknya.

 (Riwayat Abu Daud)[24]

Sabda Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam :

ما ضَلَّ قومٌ بعدَ هُدًى كَانُوا عليهِ إِلَّا أُوتُوا الجَدَلَ

“Tidak akan tersesat suatu kaum sesudah mendapat petunjuk dari Allah, kecuali mereka mendatangkan jidal (debat).”

(Riwayat Tirmizi)[25]

10. Mengawal lidah. Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda :

ليس المؤمنُ بالطَّعانِ ولا اللَّعانِ ولا البذيءِ ولا الفاحشِ

“Tidak termasuk  orang yang beriman, orang yang suka menyalahkan (orang lain), melaknat, mencela dan mencaci.

(Riwayat Ibn Hibban)[26]

11. Tidak bersifat ‘ujub (bangga diri) dan kikir. Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam :

ثلاثٌ مُهلِكاتٌ : شُحٌّ مُطاعٌ , وهوًى مُتَّبعٌ , وإعجابُ المرءِ بنفسِه

“Tiga perkara yang membinasakan – orang kikir yang dita’ati, orang yang mengikuti hawa nafsu dan orang yang berbangga dengan pendapatnya.”

(Riwayat Ibn Hibban)[27]

 12. Meninggalkan kata-kata yang tidak berfaedah. Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda :

مِنْ حُسْنِ إسلامِ المرءِ تَرْكُهُ مَا لَا يَعْنِيهِ

“ (Adalah) dari kebaikan Islam, (seseorang)  meninggalkan apa-apa yang tidak menjadi kepentingannya.”

(Riwayat Tirmizi)[28]

13. Meninggalkan kata-kata yang berlebih-lebihan. Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersabda :

طُوبى لمن عمل بعلْمه وأنفق الفضلَ من مالِه وأمسكَ الفضلَ من قولِه

“Berbahagialah bagi sesiapa yang beramal dengan imu pengetahuannya, dan bersedekah pada lebihan daripada hartanya, dan berdiam lebih daripada berkata-kata.”

(Riwayat Ibn Hibban)[29]

14. Menimbangkan terlebih dahulu sesuatu kata-kata agar bersesuaian dengan Islam. Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda :

إن أحدكم ليتكلّم بالكلمةِ من رِضْوانِ الله ما يظنّ أن تبلغَ ما بلغتْ فيكتب اللهُ لهُ بها رِضْوانُهُ إلى يومِ يلقاهُ ، وإن أحدكُم ليتكلّمُ بالكلمةِ من سَخَط اللهِ ما يظنّ أن تبلغَ ما بلغت فيكتبُ اللهُ عليهِ بها سَخَطِهُ إلى يومِ يلقاه

“Apabila seorang lelaki berkata-kata dengan kata-kata yang diredhai Allah, sedang dia tidak dapat menjangkakan sejauh mana kesan percakapannya, maka Allah menulis kata-kata itu sebagai yang diredhai-Nya hingga hari kiamat. Apabila seorang lelaki berkata-kata dengan kata-kata yang menyebabkan kemurkaan Allah, sedang dia tidak dapat menjangkakan sejauhmana kesan percakapannya, maka Allah menuliskan kemurkaanNya kerana kata-kata itu hingga hari kiamat.”

(Riwayat Tirmizi)[30]

15. Bersifat amanah dan memenuhi janji. Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda :

لا إيمانَ لِمَن لا أمانةَ له ولا دينَ لِمَن لا عهدَ له

“Tidak beriman orang yang tidak amanah dan tidak beragama orang yang tidak berpegang kepada janjinya.”

(Riwayat Ibn Hibban)[31]

قال رسولُ اللهِ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم إذا ضُيِّعت الأمانةُ فانتظِرِ السَّاعةَ . قال : كيف إضاعتُها يا رسولَ اللهِ ؟ قال : إذا أُسنِد الأمرُ إلى غيرِ أهلِه فانتظِرِ السَّاعةَ

Rasulullah bersabda: Apabila telah hilang sifat amanah, maka nantikanlah masa kehancuran. Lelaki itu bertanya lagi: Bagaimanakah sifat amanah itu hilang ? Jawab Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam: Apabila suatu urusan disandarkan kepada yang bukan ahlinya tunggulah kehancurannya.”

(Riwayat al-Bukhari)[32]

16. Berlaku benar dan tidak berdusta. Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda :

عليكم بالصِّدقِ . فإنَّ الصِّدقَ يهدي إلى البرِّ . وإنَّ البرَّ يهدي إلى الجنَّةِ . وما يزالُ الرَّجلُ يصدُقُ ويتحرَّى الصِّدقَ حتَّى يُكتبَ عند اللهِ صِدِّيقًا . وإيَّاكم والكذِبَ . فإنَّ الكذِبَ يهدي إلى الفجورِ . وإنَّ الفجورَ يهدي إلى النَّارِ . وما يزالُ الرَّجلُ يكذِبُ ويتحرَّى الكذِبَ حتَّى يُكتبَ عند اللهِ كذَّابًا

“Lazimilah berlaku benar, kerana kebenaran itu membawa kepada kebaikan dan kebaikan menyebabkan masuk syurga. Seseorang yang benar dan sentiasa dalam kebenaran, maka Allah menulis di sisi-Nya sebagai seorang yang benar. Jauhilah dusta, kerana dusta itu membawa kepada kejahatan dan kejahatan menyebabkan masuk  neraka. Seseorang yang berdusta dan sentiasa dalam kedustaan, maka Allah menulis di sisi-Nya sebagai seorang pendusta.”

(Riwayat Muslim)[33]

17. Kuat dan tabah. Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda :

المؤمنُ القويُّ خيرٌ وأحبُّ إلى اللَّهِ منَ المؤمنِ الضَّعيفِ ، وفي كلٍّ خيرٌ ، احرِص على ما ينفعُكَ ، واستِعِن باللَّهِ ولا تعجِزْ ، وإن أصابَكَ شيءٌ ، فلا تقُل : لو أنِّي فعلتُ كان كذا وَكَذا ، ولَكِن قل : قدَّرَ اللَّهُ ، وما شاءَ فعلَ ، فإنَّ لو تَفتحُ عملَ الشَّيطانِ

“Mu’min yang kuat lebih baik dan lebih dikasihi Allah daripada mu’min yang lemah, namun kedua-duanya ada kebaikan. Carilah sesuatu yang mendatangkan kebaikan kepada kamu serta mohonlah bantuan kepada Allah dan janganlah kamu merasa lemah. Dan jika telah menimpa kepada kamu sesuatu musibah, maka janganlah kamu mengatakan: Kalau aku berbuat begini nescaya akan jadi begini. Tetapi katakanlah: Allah telah mentakdirkan dan apa yang dikehendaki-Nya pasti terjadi. Sesungguhnya ‘kalau’ hanya akan membuka pintu syaitan.”

(Riwayat Muslim)[34]

 18Menurut atau mengikut yang baik, bukan yang jahat. Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda :

لا يكن أحدُكم إمَّعَةً ، يقول : أنا مع الناسِ ، إن أحسن الناسُ أحسنتُ ، وإن أساؤوا أسأتُ ، ولكن وَطِّنوا أنفُسَكم ، إن أحسن الناسُ أن تُحسِنوا ، وإن أساؤوا ألا تَظلِموا

“Hendaklah kamu jangan seperti ‘pak turut’ yang mengatakan: Aku mengikuti manusia ramai, kalau mereka baik maka aku pun baik dan kalau mereka jahat maka aku pun menjadi jahat. Tetapi kawallah dirimu, jika manusia baik hendaklah kamu juga baik dan jika manusia jahat, hendaklah kamu menjauhi kejahatan mereka.”

(Riwayat Albani)[35]

19. Berhati-hati dan berwaspada. Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda :

لا يُلدَغُ المؤمنُ ، من جُحرٍ واحدٍ ، مرتينِ

“Tidak akan terjatuh seorang mu’min dari satu lubang sebanyak dua kali.”

(Riwayat al-Bukhari)[36]

20. Tidak boleh menghina diri sendiri. Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda :

لا ينبغي للمؤمنِ أن يُذِلَّ نفسَه، قالوا : وكيف يُذِلُّ نفسَه ؟ قال : أن يتعرَّضَ من البلاءِ ما لا يُطيقُ

“Tidaklah sepatutnya bagi seorang mu’min menghinakan dirinya sendiri. Sahabat berkata : Bagaimana seseorang itu menghina dirinya sendiri? Rasulullah menjawab : Iaitu tidak mendedahkan diri kepada ujian yang tidak mampu dia hadapi.”

(Riwayat al-Baihaqi)[37]

21. Hidup berkasih sayang dan saling bantu membantu. Rasulullah Sallallahu‘alaihiwasallam bersabda :

مَثلُ المؤمنين في توادِّهم وتراحُمِهم وتعاطُفِهم ، مَثلُ الجسدِ . إذا اشتكَى منه عضوٌ ، تداعَى له سائرُ الجسدِ بالسَّهرِ والحُمَّى

Perumpamaan orang yang beriman dalam berkasih sayang dan bertolong-tolongan adalah laksana satu tubuh, apabila menderita satu anggota tubuhnya maka seluruh tubuhnya turut berjaga dan merasakan sakit panasnya.”

(Riwayat Muslim)[38]

Penutup – kesyumulan akhlak islam

Salah satu ciri khusus sistem akhlak Islam ialah syumul dan lengkap. Syumul di sini bermaksud akhlak Islam itu luas bidangnya dan meliputi semua aspek perbuatan manusia, baik yang mengenai diri individu mahupun mengenai orang lain, baik mengenai hubungan individu, masyarakat mahupun negara. Tidak ada suatu pun perbuatan manusia yang terkeluar dari peraturan akhlak Islam. Setiap muslim diwajibkan memelihara akhlak Islam.

[1] Al-Silsilah As-Sahihah, no.hadits : 45

[2] Takhrij al-Ihya’, no.hadits dan juzu’ : 3/61

[3] Sahih Ibn Hibban, no.hadits : 481

[4] Al-Mu’jam Al-Aushot, no.hadits dan juzu : 8/110

[5] Sunan at-Tirmizi, no.hadits : 2018

[6] As-Silsilah As-Sahihah, no.hadits dan juzu’ : 1/369

[7] Bulughul Muram, no.hadits : 451

[8] Sahih Muslim, no.hadits : 771

[9] Sahih at-Tirmizi, no.hadits : 1987

[10] Al-Silsilah As-Sahihah, no.hadits : 795

[11] Sahih al-Bukhari, no.hadits : 6116

[12] Sahih al-Bukhari, no.hadits : 6117

[13] Sahih Muslim, no.hadits : 37

[14] Sahih Ibn Majah, no.hadits : 3389

[15] Sahih al-Bukhari, no.hadits : 3484

[16] Al-Mu’jam Al-Ausot, no.hadits dan juzu’ : 2/86

[17] Sahih Muslim, no.hadits : 2564

[18] Sahih al-Bukhari, no.hadits : 6095

[19] Sahih al-Bukhari, no.hadits : 34

[20] Sahih Ibn Hibban, no.hadits : 7204

[21] Sahih Al-Jami’, no.hadits : 7920

[22] Sahih Muslim, no.hadits : 1904

[23] Sahih al-Bukhari, no.hadits : 54

[24] Sunan Abu Daud, no.hadits : 4800

[25] Sunan at-Tirmizi, no.hadits : 3253

[26] Sahih Ibn Hibban, no.hadits : 192

[27] Al-Majruhin, no.hadits dan juzu’ : 1/321

[28] Sunan at-Tirmizi, no.hadits : 2317

[29] Al-Majruhin, no.hadits dan juzu’ : 1/90

[30] Sunan at-Tirmizi, no.hadits : 2319

[31] Sahih Ibn Hibban, no.hadits : 194

[32] Sahih al-Bukhari, no.hadits : 6496

[33] Sahih Muslim, no.hadits : 2607

[34] Sahih Muslim, no.hadits : 2664

[35] Naqd An-Nusus, no.hadits : 30

[36] Sahih al-Bukhari, no.hadits : 6133

[37] Al-Adab, no.hadits : 510

[38] Sahih Muslim, no.hadits : 2586

Check Also

Mujhahid Ialah Orang Yang Berjihad Melawan Nafsu

Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersabda: الْمُجَاهِدُ مَنْ جَاهَدَ نَفْسَهُ فِي اللهِ Mujahid adalah orang yang berjihad melawan …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *